Oleh: Fau Sin Yong & Wong Jia Min

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Bermula sebagai usaha peribadi untuk menurunkan berat badan, KL Night Runners (KLNR) kini berkembang menjadi sebuah komuniti larian malam yang menghimpunkan ratusan peserta setiap minggu di Kuala Lumpur. Komuniti tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk mengamalkan gaya hidup sihat, malah menyediakan tunjuk ajar, bimbingan dan sokongan kepada pelari baharu yang ingin melangkah ke dunia larian.
KL Night Runners ditubuhkan oleh Mohd Rasidy Damarwan, 45, seorang pegawai bank yang pernah mengalami masalah berat badan sehingga mencecah 140 kilogram. Melalui disiplin dalam aktiviti larian dan penjagaan pemakanan, beliau berjaya menurunkan berat badan kepada 82 kilogram. Kejayaan tersebut menjadi titik permulaan kepada penubuhan komuniti KL Night Runners pada tahun 2018 sebelum didaftarkan secara rasmi pada tahun 2019.
Menurut Rasidy, beliau berlari secara bersendirian pada tahun 2018, namun, beliau menyedari ramai individu yang ingin mengubah gaya hidup tetapi tidak mempunyai motivasi dan sokongan yang mencukupi. Oleh itu, beliau mula berkongsi kisah larian di Facebook malah mendapat sambutan yang tinggi.
“Tujuan saya menubuhkan komuniti ini adalah untuk memberikan motivasi kepada orang lain. Saya memahami perasaan mereka yang ingin berubah tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Melalui komuniti ini, saya mahu menghimpunkan individu yang mempunyai minat yang sama sambil berkongsi ilmu mengenai larian, penjagaan kesihatan dan pemakanan,” katanya.

Mohd Rasidy Damarwan, penggerak KL Night Runners
Pada peringkat awal, komuniti tersebut hanya mempunyai kira-kira 140 ahli dan dipromosikan melalui Facebook serta Instagram. Kini, KL Night Runners semakin berkembang hasil pendedahan menerusi TikTok, Threads dan platform media sosial lain sehingga berjaya menarik lebih 300 peserta dalam satu sesi larian malam.
Komuniti ini terbuka kepada semua tanpa mengira tahap kecergasan atau pengalaman. Pesertanya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk anggota polis, tentera, bomba, pelajar sekolah menengah dan orang awam. Peserta paling tua yang pernah menyertai aktiviti ini berusia 62 tahun, manakala peserta paling muda merupakan pelajar sekolah yang menjalani latihan untuk pertandingan larian wakil sekolah.
Aktiviti utama komuniti ini diadakan setiap hari Selasa dari pukul 8 malam hingga 10 malam di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Para pelari berlari dari Padang Merbok ke Pintasan Saloma. Bagi memastikan semua peserta dapat mengikuti larian mengikut kemampuan masing-masing, mereka dibahagikan kepada enam kumpulan berdasarkan kadar kelajuan atau rentak larian (pace).
Selain sesi mingguan, komuniti ini turut menganjurkan aktiviti Long Slow Distance (LSD) sebanyak dua kali setahun termasuk larian dari Jalan Lama Gombak ke Genting Sempah dengan kerjasama komuniti larian lain. KL Night Runners juga aktif menyertai pertandingan berkumpulan dan baru-baru ini empat wakil mereka berjaya meraih tempat ketiga dalam acara Runliga Team Race 800 yang berlangsung di Fraser’s Hill. Sempena sambutan bulan kemerdekaan pula, komuniti ini merancang untuk menganjurkan acara larian berpasangan secara bergilir-gilir.
Aspek keselamatan merupakan antara perkara yang paling dititikberatkan dalam setiap aktiviti yang dianjurkan. Setiap sesi larian disertai oleh pacer dan sweeper yang bertanggungjawab memastikan tiada peserta tercicir. Peserta yang keletihan akan dibantu melalui laluan lebih pendek supaya mereka tetap dapat menamatkan larian bersama kumpulan. Aktiviti juga diteruskan walaupun dalam keadaan hujan selagi cuaca masih berada pada tahap selamat.
Setiap sesi larian dimulakan dengan sesi pemanasan badan sebelum peserta dilepaskan mengikut kumpulan pace masing-masing. Selepas tamat larian, semua peserta akan melakukan sesi regangan dan penyejukan badan bagi mengelakkan kecederaan serta memastikan keadaan fizikal peserta sentiasa berada pada keadaan baik.
Dari segi kewangan, KL Night Runners tidak menerima tajaan tunai tetap. Dana komuniti diperoleh melalui jualan baju-T dan kutipan kecil bagi menyediakan air minuman kepada peserta. Minuman isotonik daripada Vida merupakan antara penaja utama yang menyokong komuniti tersebut. Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), komuniti ini turut menerima sokongan daripada atlet negara Muhaizar Mohamad yang pernah berkongsi pengalaman dan teknik latihan bersama peserta.
Bagi peserta baharu, Haziq, penyertaan pertamanya bersama KL Night Runners memberikan pengalaman yang amat positif. Beliau mengetahui mengenai komuniti tersebut melalui Threads sebelum mengambil keputusan untuk menyertainya.
“Ini kali pertama saya menyertai aktiviti ini. Pengalamannya sangat positif kerana laluannya pelbagai dan komuniti ini amat mementingkan aspek keselamatan. Saya mencadangkan pelari baharu menyertai kumpulan dengan pace yang lebih santai supaya mereka dapat menyesuaikan diri,” katanya.
Seorang lagi peserta, Norita, berkata beliau telah menyertai komuniti tersebut selama empat tahun selepas mengetahui mengenainya melalui Facebook.
“Sebelum ini saya sering berlari secara bersendirian. Namun selepas menyertai KL Night Runners, saya berasa lebih seronok dan selamat kerana terdapat pacer dan sweeper yang sentiasa membantu peserta,” katanya.
Norita turut menegaskan bahawa peserta baharu tidak perlu berasa malu atau takut untuk menyertai komuniti tersebut kerana mereka akan dibimbing secara berperingkat.
Rasidy mengakui masih terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa KL Night Runners hanya sesuai untuk pelari pantas. Namun begitu, beliau menegaskan komuniti tersebut menyediakan kumpulan mengikut tahap kemampuan peserta.
“Ramai beranggapan komuniti ini hanya untuk pelari laju, sedangkan kami turut menyediakan kategori santai untuk pelari baharu. Prinsip kami mudah, semua peserta akan bergerak bersama dan pulang bersama,” katanya.

