Isu Semasa

image

TAKTIK LICIK VAPE DADAH DAN BUDAYA ‘PEACE OF MIND’ PERANGKAP MAHASISWA MASA INI

BANGI, 14 MEI – Pakar Kesihatan Awam, Dr. Aishah Abas, dan Pegawai PUSPEN, Encik Herman Mohlisi, telah mendedahkan ancaman kritikal dadah terhadap mahasiswa, yang memfokuskan kepada kebanjiran vape mengandungi dadah serta budaya hedonisme ‘Peace Of Mind’, melalui forum “Tekanan Tinggi, Dadah: Satu Solusi atau Risiko?” dianjurkan oleh Kelab Urusetia Pembimbing Rakan Siswa (UPRS) UKM dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (PEMADAM) UKM sempena Hari Terbuka UPRS x PEMADAM Sejahtera @ Kampus di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.
Panel Pakar Kesihatan Awam menyifatkan kecenderungan Gen Z atau “Generasi Strawberry” untuk meneroka budaya moden yang tidak sihat. Dr. Aishah Abas menjelaskan bahawa golongan ini sering terjebak dengan trend semasa, termasuk menghadiri konsert demi mencari “Peace Of Mind”, yang akhirnya membawa kepada insiden penyalahgunaan dadah yang membimbangkan.
Menyentuh aspek biologi, beliau menjelaskan bahawa dadah moden dalam bentuk cecair jauh lebih berbahaya kerana mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan otak berbanding dadah tradisional. Walaupun evolusi dadah terus berlaku, impak akhirnya tetap sama iaitu kemusnahan diri dan kehilangan kesedaran.
Mengulas mengenai isu mudah akses bahan terlarang yang semakin membimbangkan, Dr. Aishah Abas mendedahkan taktik licik segelintir pengusaha kedai vape yang dikesan bertindak sebagai ejen pengedaran dadah secara halus.Beliau menyatakan bahawa satu operasi serbuan bersepadu yang melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas hampir 600 premis vape di seluruh negara telah membongkar penemuan yang amat menggemparkan.
“Banyak premis didapati menggunakan modus operandi yang sangat licik. Di bahagian hadapan kedai, mereka mempamerkan lesen perniagaan yang sah bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa. Namun hakikatnya, di bahagian belakang kedai yang terselindung, mereka menyimpan dan menjual cecair vape yang mengandungi dadah, termasuk dadah jenis Magic Mushroom.
“Penjualan ini dilakukan secara sembunyi namun ia sangat mudah diakses oleh sesiapa sahaja. Apabila mahasiswa mula berasa tertekan dengan bebanan tugasan atau mengejar tarikh akhir menyiapkan kerja kursus, mereka mudah tergelincir mencari jalan pintas ini tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghisap racun yang perlahan-lahan memusnahkan fungsi otak,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Aishah Abas turut mengecam budaya hiburan itu yang sering dijadikan alasan oleh anak muda masa ini untuk mencari ketenangan fikiran. Beliau berkongsi satu tragedi menyayat hati yang berlaku sewaktu penganjuran sebuah festival muzik antarabangsa, Pink Fish Festival, pada tahun lalu.
“Selepas konsert tersebut tamat, seramai hampir 10 orang pengunjung terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dimasukkan terus ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana pengsan dan tidak sedarkan diri. Punca utama tragedi ini adalah kerana pengambilan dadah berlebihan sewaktu sedang galak berseronok.
“Antara kes yang paling meruntun jiwa kami sebagai petugas perubatan melibatkan seorang wanita yang berstatus isteri dan ibu. Pesakit ini menipu suaminya dengan meminta izin untuk keluar kononnya mahu ‘healing’ bersama rakan-rakan, namun sebaliknya pergi ke konsert tersebut dan mengambil dadah.
“Suaminya yang berada di Sabah sanggup terbang ke Semenanjung dengan linangan air mata kerana terkejut menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital. Lelaki itu menangis teresak-esak di tepi katil ICU memikirkan nasib anak-anak kecil mereka yang ditinggalkan di rumah semata-mata kerana si ibu mahu berseronok tanpa memikirkan kesan buruk,” kongsi Dr. Aishah dengan nada kesal dan sebak.
Bagi menjawab persoalan sains mengapa Generasi Z begitu rapuh sehingga sering diejek sebagai ‘Generasi Strawberry’, Dr. Aishah menjelaskan hal ini mempunyai kaitan langsung dengan anatomi biologi otak anak muda yang sebenarnya belum mematang.
Jelas beliau, bahagian frontal cortex pada otak individu dalam fasa remaja hingga awal belia yang berfungsi untuk membuat pertimbangan rasional, merancang, dan menilai kesan buruk masih belum berkembang sepenuhnya. Sebaliknya, bahagian otak yang sentiasa mencari dan memproses keseronokan sudah pun berfungsi pada tahap maksimum.
“Kombinasi biologi inilah yang menyebabkan golongan belia sangat cenderung membuat keputusan melulu demi keseronokan sementara. Apabila mereka memilih dadah untuk mengawal stres, otak akan merakamkan bahan tersebut sebagai satu-satunya mekanisme penyelesaian yang mujarab.
“Lebih menakutkan, memori ketagihan ini akan kekal seumur hidup. Walaupun mahasiswa tersebut berjaya berhenti mengambil bahan terlarang selepas tamat pengajian di universiti, risiko untuk mereka kembali menagih (relapse) pada usia 30-an atau 40-an adalah sangat tinggi. Hal ini sering berlaku apabila mereka berdepan tekanan hidup yang jauh lebih besar kelak, seperti krisis kewangan, masalah rumah tangga atau bebanan kerja melampau,” jelasnya panjang lebar.
Turut senada dengan amaran tersebut, Pegawai PUSPEN, Herman Mohlisi mendedahkan pemerhatian psikologi mengenai sikap kebanyakan penagih muda yang sering dijerat oleh ego diri sendiri dan apa yang dipanggil sebagai ‘ilusi kawalan’.
Menurut beliau, majoriti pesakit di pusat pemulihan sering kali bermula dengan satu alasan yang sama; mereka mendakwa hanya mahu mencuba bahan terlarang itu sekadar untuk mengurangkan tekanan, dan berasa yakin bahawa mereka boleh berhenti menagih pada bila-bila masa sahaja tanpa bantuan.
“Hakikatnya, fasa kebergantungan secara fizikal dan mental berlaku dengan sangat drastik tanpa mereka sedari. Apabila ketagihan mula menguasai segenap hidup, penagih akan melangkah ke fasa penafian atau denial. Mereka akan mula menuding jari menyalahkan ibu bapa, pensyarah, atau rakan-rakan dengan alasan seperti ‘awak tak faham apa yang saya alami’. Kena ingat, pemulihan dadah bukanlah seperti merawat demam, ia adalah satu proses rawatan sepanjang hayat yang sangat menyeksakan,” tegas Herman Mohlisi.
Sehubungan dengan itu, para mahasiswa diseru untuk menolak sekeras-kerasnya budaya hedonisme ini dan melaporkan sebarang aktiviti penjualan vape mencurigakan bagi melindungi masa depan generasi pewaris negara daripada musnah akibat ketagihan dadah.

TAKTIK LICIK VAPE DADAH DAN BUDAYA ‘PEACE OF MIND’ PERANGKAP MAHASISWA MASA INI Read More »

image

Datuk Adi Putra Pernah Ditawar Ambil “Rasuah”

PUTRAJAYA- Datuk Adi Putra mendedahkan beliau pernah menerima tawaran wang mencecah puluhan juta ringgit yang dipercayai mempunyai unsur rasuah daripada pihak tertentu yang mahu mendapatkan kepentingan peribadi daripadanya. Pengakuan tersebut dibuat ketika beliau menghadiri malam gala dan tayangan perdana filem Konspirasi di IOI City Mall baru-baru ini.
Menurut Adi, sepanjang bergelar anak seni dan figura dikenali ramai, beliau tidak pernah terlepas daripada didekati individu tertentu yang cuba menggunakan wang sebagai jalan pintas untuk mempengaruhi pendiriannya. Pelakon terkenal itu berkata, beliau sentiasa berhati-hati dalam menilai setiap bentuk pemberian, tajaan atau tawaran yang diterima supaya tidak terjebak dalam perkara yang bertentangan dengan prinsip hidupnya.

Foto Sidang Media Konspirasi
Adi berkata, terdapat pihak yang sanggup menawarkan wang dalam jumlah sangat besar termasuk antara RM10 juta hingga RM30 juta sebagai bentuk “lobi” bagi mendapatkan sesuatu daripadanya. Bagaimanapun, beliau memilih untuk menolak tawaran berkenaan kerana enggan menggadaikan maruah dan integriti semata-mata untuk kekayaan sementara.
“Kalau sekadar hadiah ikhlas, saya tiada masalah untuk terima. Tetapi kalau pemberian itu ada niat tertentu atau unsur rasuah, saya memang tidak akan kompromi. Saya percaya rezeki yang baik datang daripada jalan yang betul,” katanya.
Menurut Adi lagi, beliau percaya wang yang diperoleh secara tidak jujur tidak akan membawa keberkatan dalam kehidupan. Malah, beliau berpendapat kekayaan yang datang terlalu mudah juga boleh hilang dalam sekelip mata jika tidak diperoleh melalui usaha yang halal dan berintegriti.
Tambahnya, sebagai individu yang sudah lama berada dalam industri hiburan tanah air, beliau sedar ramai pihak memandang tinggi kepada golongan selebriti dan menjadikan mereka sebagai pengaruh untuk mencapai kepentingan tertentu. Disebabkan itu, beliau mengambil pendekatan lebih berhati-hati agar tidak terperangkap dalam situasi yang boleh menjejaskan nama baik serta reputasinya.
Bagaimanapun, Adi tidak memperincikan tujuan sebenar tawaran wang tersebut diberikan kepadanya. Beliau juga tidak mendedahkan identiti pihak yang cuba melakukan “lobi” berkenaan serta enggan mengulas lanjut sama ada perkara itu pernah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau tidak.
Dalam masa sama, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menegaskan bahawa wang bukan ukuran utama dalam kehidupannya. Bagi beliau, apa yang lebih penting ialah maruah diri, nama baik keluarga serta legasi yang ditinggalkan untuk anak-anak pada masa depan.
“Saya tidak mahu anak-anak membesar dengan kemewahan yang datang daripada sumber meragukan. Biar hidup sederhana tetapi tenang dan diberkati. Pada akhirnya nanti, orang bukan ingat berapa banyak wang kita ada, tetapi bagaimana kita hidup dan menjaga nama keluarga,” katanya lagi.

Foto Sidang Media Tayangan Perdana
Pendedahan Adi itu turut menarik perhatian ramai kerana ia dibuat bersempena tayangan filem Konspirasi yang mengangkat tema perjuangan membanteras rasuah dan pengubahan wang haram. Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu mengetengahkan kisah keberanian pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam menumpaskan sindiket rasuah melibatkan ahli politik dan individu berpengaruh.
Dalam filem tersebut, Adi membawa watak yang sarat dengan konflik serta cabaran moral, sekali gus memberi gambaran realiti masyarakat hari ini yang masih berdepan isu salah guna kuasa dan ketamakan wang. Menurutnya, mesej yang cuba disampaikan menerusi filem itu sangat dekat dengan situasi sebenar yang berlaku dalam dunia moden.
Selain Adi, filem berkenaan turut dibintangi beberapa pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal dan Sarimah Ibrahim. Gabungan pelakon berpengalaman dan jalan cerita penuh debaran dijangka mampu menarik perhatian penonton tempatan.
Filem aksi thriller tersebut bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula Khamis ini dan dijangka mendapat sambutan hangat, terutama dalam kalangan peminat filem tempatan yang gemarkan karya berunsur jenayah, politik dan aksi mendebarkan.
Pendedahan Adi mengenai tawaran wang lumayan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa gejala rasuah bukan sahaja boleh berlaku dalam dunia politik atau perniagaan, malah berpotensi melibatkan golongan selebriti dan individu berpengaruh. Namun, ketegasan beliau menolak tawaran tersebut mendapat pujian ramai yang melihatnya sebagai contoh artis yang masih berpegang teguh kepada prinsip dan nilai integriti dalam kehidupan. Katanya ketika ditemui pada malam gala tayangan perdana filem Konspirasi semalam.

Datuk Adi Putra Pernah Ditawar Ambil “Rasuah” Read More »

image

PENUMPANG MUAK MENUNGGU LAMA. APA CERITA?

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Tiga jam berdiri, duduk dan merenung papan jadual penerbangan yang terus berubah, namun pesawat masih tidak berlepas. Itulah realiti yang dikongsi beberapa penumpang domestik dalam temu bual eksklusif bersama Nadi Bangi baru-baru ini.
Bagi mereka, kelewatan penerbangan bukan lagi sekadar gangguan kecil, sebaliknya menjejaskan perancangan harian, menghabiskan wang dan memenatkan emosi. Ada yang terpaksa menukar jadual kerja, membatalkan pertemuan keluarga dan menanggung kos tambahan hanya kerana menunggu penerbangan yang tidak pasti waktu pelepasannya.
Menerusi rakaman temu bual bersama wartawan Nadi Bangi, Reen dan Azhar, beberapa penumpang menceritakan pengalaman mereka berdepan kelewatan penerbangan domestik yang berlaku berulang kali. Purata masa menunggu dilaporkan antara satu setengah hingga tiga jam, malah ada yang pernah menunggu lebih lama tanpa sebarang maklumat yang jelas.
Antara kes yang dikongsikan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai apabila sebuah penerbangan yang dijadualkan berlepas sekitar pukul 7 atau 8 malam ditunda sehingga pukul 10 malam tanpa penjelasan yang memuaskan daripada syarikat penerbangan.
Di Pulau Pinang pula, seorang penumpang turut mengalami kelewatan hampir dua jam, sekali gus menunjukkan isu tersebut bukan kejadian terpencil. Menurut penumpang terbabit, maklumat mengenai kelewatan hanya dipaparkan di papan jadual penerbangan tanpa pengumuman lanjut kepada penumpang di ruang menunggu.
Ketika ditemu bual wartawan Nadi Bangi, Reen dan Azhar bersama Pegawai Perhubungan Pelanggan Malaysia Aviation Group, Azwan Syah Mahakh, beliau menjelaskan bahawa isu kelewatan dan pembatalan penerbangan boleh berlaku disebabkan beberapa faktor yang kadangkala di luar kawalan syarikat penerbangan.
Menurut beliau, antara faktor utama ialah masalah teknikal yang membabitkan aspek keselamatan pesawat, keadaan cuaca yang tidak menentu serta situasi tidak dijangka seperti isu melibatkan penumpang dan urusan operasi lain.
“Keselamatan penumpang dan kru sentiasa menjadi keutamaan. Jika terdapat sebarang isu teknikal pada pesawat, pihak syarikat perlu memastikan pemeriksaan dilakukan terlebih dahulu sebelum penerbangan dibenarkan berlepas,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa faktor cuaca seperti hujan lebat, ribut petir dan jarak penglihatan rendah juga boleh menyebabkan perubahan jadual penerbangan demi memastikan operasi berjalan dengan selamat.
“Kadangkala terdapat juga situasi yang tidak dapat dijangka seperti masalah melibatkan penumpang, kekangan operasi lapangan terbang atau isu logistik yang boleh memberi kesan kepada jadual penerbangan,” katanya lagi.
Sharifah, 24, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata dia pernah mengalami tiga situasi yang paling ditakuti penumpang iaitu kelewatan penerbangan, pembatalan penerbangan dan terlepas penerbangan sambungan.
“Sangat menyusahkan dan memang rugi. Kita dah ada itinerary sendiri, semua perancangan dah siap. Bila delay, semuanya jadi huru-hara,” katanya.
Menurut Sharifah, dia tidak menerima sebarang pampasan walaupun terpaksa menunggu hampir tiga jam di lapangan terbang. Dia juga mengakui tidak membeli insurans perjalanan untuk penerbangan domestik tersebut, sesuatu yang kini disesalinya selepas beberapa pengalaman kurang menyenangkan.
“Kalau delay sebab cuaca, saya boleh faham. Tapi kalau masalah teknikal, saya rasa agak mengecewakan. Mungkin pihak syarikat boleh sediakan pesawat lain atau maklumkan lebih awal,” katanya lagi.
Rakannya, Sarah, turut bersetuju bahawa kerugian terbesar akibat kelewatan penerbangan ialah masa, terutama bagi mereka yang mempunyai jadual ketat atau urusan penting sebaik tiba di destinasi.
“Masa itu sangat berharga. Kadang-kadang kita dah rancang semuanya dengan teliti, tapi bila penerbangan lewat, semua jadi terganggu,” katanya ringkas.
Bagi Khairul Bariyah, 28, pengalaman yang dialami lebih mencabar. Pekerja yang kerap berulang-alik antara Pulau Pinang dan Langkawi itu berkata dia pernah berdepan masalah ketika pulang dari Busan, Korea Selatan.
Menurutnya, selepas transit di Vietnam sebelum tiba di Kuala Lumpur, penerbangan sambungannya ke Pulau Pinang telah dijadualkan lebih awal tanpa notis yang mencukupi ketika dia masih berada dalam penerbangan.
“Ada akibatnya. Tiket lama hangus dan saya terpaksa beli tiket baharu dengan harga yang lebih mahal,” katanya.
Situasi itu menyebabkan perancangannya terganggu dan dia berdepan kebimbangan untuk pulang pada malam yang sama. Dia juga terpaksa menunggu lebih lama di lapangan terbang sementara mencari penerbangan alternatif yang masih mempunyai kekosongan tempat duduk.
“Saya risau kalau terpaksa bermalam di lapangan terbang sebab tak tahu sempat atau tidak untuk balik,” katanya.
Tinjauan Nadi Bangi di media sosial turut mendapati ramai pengguna berkongsi pengalaman hampir sama berkaitan kelewatan penerbangan domestik, khususnya pada musim cuti umum dan hujung minggu. Ada yang mendakwa menerima maklumat pada saat akhir, manakala sebahagian lagi kecewa kerana sukar mendapatkan penjelasan daripada pihak syarikat penerbangan.
Walaupun kecewa, Sharifah memilih untuk melihat situasi tersebut dari sudut yang lebih positif.
“Mungkin ada hikmah di sebalik kelewatan itu. Mana tahu Tuhan nak elakkan sesuatu daripada berlaku,” katanya.
Namun bagi kebanyakan penumpang, kesabaran tetap mempunyai batas, terutama bagi mereka yang perlu mengejar jadual kerja, mengurus keluarga atau menyambung penerbangan lain.
Mereka bukan sekadar nama dalam senarai penumpang, tetapi individu yang penat menunggu sambil memikirkan kos tambahan, perubahan jadual dan ketidakpastian perjalanan.
Apa yang mereka harapkan bukanlah sesuatu yang besar, sebaliknya hanya kepastian, komunikasi yang jelas dan sedikit penghargaan terhadap masa penumpang.

PENUMPANG MUAK MENUNGGU LAMA. APA CERITA? Read More »

image

UKMSHAPE Sertai Star Education Fair 2026, Bimbing Pelajar Pilih Laluan Pendidikan Masa Depan 

PUTRAJAYA, 17 Mei – Universiti Kebangsaan Malaysia melalui UKMShape terus memperkukuh usaha memperluas akses pendidikan tinggi apabila menyertai Star Education Fair 2026 yang berlangsung di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya pada 16 dan 17 Mei lalu.

UKMSHAPE Sertai Star Education Fair 2026, Bimbing Pelajar Pilih Laluan Pendidikan Masa Depan  Read More »

whatsapp image 2026 04 14 at 17.32.27

Klang Digelar ‘Darul Colombia’?

KLANG, 7 Apr – Adakah Klang kini wajar digelar sebagai ‘Darul Colombia’? Persoalan ini timbul susulan dakwaan pihak polis bahawa kadar jenayah di daerah ini menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini, dengan pengedaran dadah dikenal pasti sebagai antara ancaman terbesar yang menyumbang kepada situasi tersebut.

Gelaran ‘Darul Colombia’ yang mula dikaitkan dengan Klang pula bukanlah tanpa asas. Istilah tersebut lazimnya merujuk kepada reputasi Colombia suatu ketika dahulu yang sinonim dengan kegiatan kartel dadah, jenayah terancang dan konflik antara kumpulan sindiket. Perbandingan ini timbul apabila beberapa kes berprofil tinggi melibatkan aktiviti jenayah serius dilaporkan berlaku di Klang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Timbalan Superintenden Polis Bukit Aman, DSP Wan Kamal Rizal mendakwa bahawa Klang merupakan kawasan yang mencatatkan kadar jenayah tertinggi di Selangor, ia sekali gus mengukuhkan persepsi negatif masyarakat terhadap Klang Bandar Diraja berkenaan. Menurut beliau, trend peningkatan ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya berkait rapat dengan aktiviti sindiket dadah yang semakin aktif dan sistematik.

Klang Digelar ‘Darul Colombia’? Read More »

image

Trend Suplemen Tidak Berdaftar Cetus Risiko Kegagalan Buah Pinggang Golongan Muda

KUALA LUMPUR, 6 Apr – Lambakan suplemen kesihatan yang semakin popular di media sosial, khususnya di TikTok dan Instagram, kini menimbulkan kebimbangan apabila sebahagiannya didapati dipromosikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Produk seperti suplemen penurunan berat badan dan pencerahan kulit ini bukan sahaja mengelirukan pengguna, malah berpotensi menjejaskan kesihatan, termasuk meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang.

Trend Suplemen Tidak Berdaftar Cetus Risiko Kegagalan Buah Pinggang Golongan Muda Read More »

appendix

Telefon Kehabisan Bateri Punca Wanita 50 Tahun Hilang

SEREMBAN, 6 Apr – Gara-gara telefon bimbit kehabisan bateri, mangsa, Norizan Yahya,  50, hilang semasa dalam perjalanan mencari kerja. Misteri kehilangan ini akhirnya menemui  titik noktah selepas mangsa disahkan telah ditemui dalam keadaan selamat pagi tadi.  

Insiden yang mencetuskan kegusaran mendalam ahli keluarga itu berpunca daripada perkara  yang dianggap remeh namun membawa implikasi besar, iaitu kegagalan peranti  telekomunikasi akibat kehabisan bekalan bateri sehingga memutuskan hubungan mangsa  dengan dunia luar. Mangsa dilaporkan telah berjaya menghubungi abangnya kira-kira pukul  3:00 pagi tadi bagi meminta bantuan untuk menjemputnya di Terminal One, Seremban.

Telefon Kehabisan Bateri Punca Wanita 50 Tahun Hilang Read More »

tech news post featured img 11

Hans Dehmelt, Nobel Laureate for Isolating Electrons, Dies at 94

Cursus iaculis etiam in In nullam donec sem sed consequat scelerisque nibh amet, massa egestas risus, gravida vel amet, imperdiet volutpat rutrum sociis quis velit, commodo enim aliquet. Nunc volutpat tortor libero at augue mattis neque, suspendisse aenean praesent sit habitant laoreet felis lorem nibh diam faucibus viverra penatibus donec etiam sem consectetur vestibulum purus

Hans Dehmelt, Nobel Laureate for Isolating Electrons, Dies at 94 Read More »

site favicon

Antarctic Ice Reveals Earth’s Accelerating Plant Growth

Cursus iaculis etiam in In nullam donec sem sed consequat scelerisque nibh amet, massa egestas risus, gravida vel amet, imperdiet volutpat rutrum sociis quis velit, commodo enim aliquet. Nunc volutpat tortor libero at augue mattis neque, suspendisse aenean praesent sit habitant laoreet felis lorem nibh diam faucibus viverra penatibus donec etiam sem consectetur vestibulum purus

Antarctic Ice Reveals Earth’s Accelerating Plant Growth Read More »