Bukan Sekadar Balut Luka: BSMM DET88H Inisiatif ‘Ceriakan Bilik Rawatan (BR)’ Demi Keselesaan Pelajar

Oleh: Nur Nabila Izzah Binti Mohairi, Nur Hanisah Binti Mohd Ali

image

Ahli anggota Detechment BSMM 2025/2026

BANGI, 10 Apr – Meskipun, pihak Induk BSMM Cabang UKM tidak memaklumkan tarikh pertandingan “Ceriakan Bilik Rawatan (BR)” sesi 2025/2026, Majlis Tertinggi Detechment Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) DET88H sesi ini, menjalankan gotong royong BR ini awal 11 April di Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) agar dapat memberi ruang kepada para Majlis Tertinggi BSMM fokus pada pelajaran mereka berbanding Majlis Tertinggi 2024/2025. 

Ketua Program tersebut, Nur Syahira Qistina Bt Azhari, pelajar tahun 2menyatakan bahawa, pelaksanaan program tersebut hanya melibatkan ahli MT tanpa melibatkan penyertaan ahli detachment lain. “Pelaksanaan keceriaan BR ini dilakukan bersama barisan MT sahaja kerana kami mempertimbangkan kemungkinan ia akan kurang mendapat sambutan sekiranya melibatkan ahli lain, berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan yang digunakan oleh MT turut menekankan aspek kreativiti serta penggunaan semula bahan sedia ada dalam usaha memperbaharui suasana bilik rawatan untuk mengurangkan penggunaan peruntukkan. “Walaupun MT yang lepas telah menghias bilik rawatan dengan baik, namun kami melihat masih terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya dari segi penggunaan bahan yang sedia ada. Oleh itu, kami memutuskan untuk memanfaatkan bahan hiasan yang sedia ada dan mengitar semulanya dengan sentuhan baru,” jelasnya lagi.

Pendekatan tersebut bukan sahaja dapat menjimatkan kos, bahkan dapat mencerminkan nilai kecekapan dan inovasi dalam kalangan ahli MT dalam menggunakan sumber yang ada sebaiknya. Justeru, hasil daripada program tahunan ini, bilik rawatan kini tampak lebih tersusun, kemas dan luas, sekali gus memberi suasana yang lebih selesa kepada pelajar yang datang untuk mendapatkan rawatan.

Nur Shahira turut menzahirkan rasa puas hati terhadap hasil akhir program tersebut. “Saya berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan kerana bilik rawatan kini kelihatan lebih teratur dan memberi ruang yang lebih selesa berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Di sebalik tabir, Khor Wan Xuan, Komander Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi Detachment 88H sesi 2025/2026 pula, beliau memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kebajikan para pelajar di kolej kediaman terjaga menerusi penyediaan fasiliti rawatan yang berkualiti. 

Beliau menyatakan bahawa projek “Ceriakan Bilik Rawatan (BR)” bukan sekadar rutin tahunan, tetapi satu inisiatif strategik untuk mewujudkan suasana yang lebih selesa dan kondusif bagi pelajar yang memerlukan bantuan kecemasan atau tempat berehat sementara.

Melalui hasil pemerhatian Xuan selama 7 bulan memegang jawatan, beliau mendapati terdapat beberapa kelemahan kritikal pada infrastruktur sedia ada. Isu kekurangan katil dan sistem pengudaraan yang tidak efisien telah mengakibatkan keadaan di dalam Bilik BR menjadi agak bahang dan kurang kondusif untuk proses pemulihan. 

Menyedari hakikat ini, Xuan menegaskan bahawa peranan BSMM di peringkat kolej bukan sekadar memberi rawatan asas secara pasif, tetapi juga bertindak proaktif dalam menguruskan persekitaran rawatan yang lebih holistik.

Xuan memperincikan tindakan yang telah diambil oleh barisan Majlis Tertinggi (MT) “Pada tahun ini, kami bukan sahaja memberi fokus kepada aspek kebersihan atau keceriaan visual, malah turut memperkenalkan susun atur yang sistematik dan menambah elemen keselesaan untuk pelajar. Kami telah membuat aduan rasmi dan berjaya membaiki sistem penghawa dingin dalam bilik rawatan bagi memastikan aliran udara yang lebih baik.”

Selain aspek fizikal, pihak MT turut melakukan penilaian semula terhadap kelengkapan perubatan yang tersedia. Mereka bertindak menambah stok ubat-ubatan yang diperlukan serta memastikan setiap peralatan disusun mengikut protokol yang teratur. 

Langkah ini sangat penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan situasi kecemasan, di mana setiap saat adalah sangat berharga bagi menyelamatkan nyawa atau mengurangkan kecederaan.

Namun, perjalanan melaksanakan transformasi ini tidaklah semudah yang disangka. Xuan mendedahkan bahawa pasukannya berhadapan dengan cabaran besar, terutamanya dari segi kekangan peruntukkan dan pengurusan masa. Sebagai pelajar universiti, setiap ahli MT perlu bijak mengimbangi antara komitmen akademik yang menuntut perhatian tinggi dengan tanggungjawab organisasi yang padat dengan aktiviti.

Apabila ditanya mengenai rahsia kejayaan pasukan beliau mengatasi rintangan tersebut, Xuan menjelaskan “Cabaran utama adalah dari segi pengurusan masa dan kekangan bajet. Namun begitu, dengan semangat berpasukan dan sokongan ahli, cabaran ini dapat diatasi melalui perancangan jadual tugas yang rapi untuk mengagihkan beban kerja secara adil di antara kami.”

Sebagai seorang pemimpin yang juga pelajar tahun 2 dari Fakulti Pengurusan Ekonomi (FEP), Xuan sangat menitikberatkan soal disiplin dan perancangan strategik. Beliau sedar bahawa jawatan di dalam BSMM memerlukan dedikasi yang tinggi melampaui waktu kuliah biasa. 

Oleh itu, beliau menitipkan pesanan berharga buat bakal Majlis Tertinggi BSMM bagi sesi akan datang agar mempersiapkan mental dan fizikal dalam menghadapi beban kerja yang bakal datang. Xuan menasihatkan agar barisan kepimpinan masa hadapan sentiasa menguruskan masa dengan bijak dan mengekalkan komunikasi yang telus sesama ahli pasukan. 

Memandangkan BSMM merupakan sebuah organisasi yang aktif dengan pelbagai program sepanjang tahun, kegagalan dalam merancang masa boleh menjejaskan prestasi akademik dan juga kualiti khidmat yang diberikan kepada pelajar. Beliau berharap agar legasi penambahbaikan Bilik BR ini diteruskan dengan lebih kreatif pada masa akan datang demi kesejahteraan warga kolej. 

Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen BSMM Detachment 88H dalam memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik, sekali gus meningkatkan kesejahteraan pelajar.