Oleh : Nurul Fathihah Binti Huzelrayman, Nabila Saffiya Binti Nor Azahan
CYBERJAYA, 7 Apr – Jenama streetwear tempatan, SVG, terus melakar kejayaan apabila mengumumkan kolaborasi eksklusif bersama jenama fesyen terkenal dari Thailand, Gentlewoman. Kerjasama ini dijangka berlangsung di Sunway Pyramid pada Jun ini dan diramal menjadi antara acara fesyen paling hangat tahun 2026.
Kolaborasi ini dilihat sebagai satu langkah strategik dan berani oleh SVG dalam usaha memperluaskan pengaruhnya ke peringkat antarabangsa. Sebagai jenama yang semakin meningkat naik dalam industri fesyen tempatan, SVG kini tampil dengan pendekatan lebih progresif melalui kerjasama yang mampu membuka peluang baharu dalam pasaran Asia Tenggara.

Ashraff Anuar, pengasas jenama tempatan SVG Worldwide
Langkah ini juga mencerminkan perubahan landskap industri fesyen yang kini lebih terbuka kepada kolaborasi rentas negara serta pertukaran idea kreatif antara jenama. Dalam dunia fesyen, kolaborasi bukan sahaja menjadi strategi pemasaran, malah berfungsi sebagai medium untuk memperkenalkan identiti jenama kepada pasaran yang lebih luas. SVG dilihat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya bagi memastikan jenama mereka kekal relevan dan kompetitif.
Ashraff Anuar, 26, merupakan pengasas SVG Worldwide, mendapat inspirasi dan telah lama menyimpan hasrat dalam menjalinkan kerjasama fesyen tempatan ke peringkat global, khususnya bersama fesyen ikonik Gentlewoman yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia fesyen.
“Kolaborasi ini bukan sahaja merealisasikan impian kami, malah menjadi antara pencapaian terbesar bagi SVG dalam usaha syarikat kami untuk memperkukuh kedudukan kami di pasaran antarabangsa.” ujarnya.
Selain potensi jualan, fokus utama kolaborasi ini adalah memperkukuhkan hubungan dengan pelanggan sedia ada dan membina pangkalan data pelanggan yang lebih kukuh, terutamanya di Thailand. Langkah ini juga membuka peluang bagi SVG untuk mencapai audiens baharu dan mempertingkatkan kesedaran jenama di peringkat global.
Menurut beliau, strategi ini penting dalam memastikan pertumbuhan jangka panjang syarikat serta membina hubungan yang lebih dekat dengan pelanggan di luar negara. Dengan peningkatan penggunaan media sosial dan platform digital, jenama itu kini mempunyai lebih banyak peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa tanpa batasan geografi yang ketara.
Menariknya, rekod prestasi SVG dalam kolaborasi sebelum ini menunjukkan pencapaian jualan yang memberangsangkan, dengan kebanyakan koleksi mampu mencecah antara RM500,000 hingga RM700,000. Angka ini membuktikan kekuatan jenama tersebut dalam menarik minat pengguna serta membina permintaan tinggi dalam pasaran streetwear tempatan.

Ayra Messi tampil memukau dalam koleksi SS26 hasil kolaborasi SVG dan Gentlewoman, inspirasi terbaru untuk wanita moden berani bergaya.
Ayra Messi tampil memukau dalam koleksi SS26 hasil kolaborasi SVG dan Gentlewoman, inspirasi terbaru untuk wanita moden berani bergaya.
Pencapaian ini secara tidak langsung memperlihatkan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk yang ditawarkan oleh SVG. Ia juga menunjukkan bahawa jenama tempatan mampu bersaing dengan jenama antarabangsa sekiranya strategi yang tepat digunakan dalam pemasaran dan penjenamaan.
“Namun yang lebih penting adalah dari aspek branding kami mahu memperkukuhkan kehadiran SVG di luar Malaysia dan membina hubungan dengan audiens antarabangsa”, jelasnya.
Pendekatan ini selaras dengan visi SVG untuk menjadi jenama global yang dikenali bukan sahaja dari segi rekaan, tetapi juga nilai dan identiti yang dibawa. Penjenamaan yang kukuh dilihat sebagai elemen penting dalam memastikan kelangsungan sesebuah jenama dalam industri fesyen yang sangat kompetitif.
Bagaimanapun, SVG dan Gentlewoman masih mengekalkan lagi ‘brand identity’ mereka bagi setiap rekaan baju mereka yang akan datang ini untuk memuaskan hati pelanggan mereka.
Koleksi yang bakal dilancarkan menampilkan rekaan versatile yang sesuai digayakan dalam pelbagai situasi daripada gaya kasual harian hingga ke penampilan lebih bergaya. Penggunaan material berkualiti tinggi serta potongan moden turut menjadi fokus utama dalam memastikan setiap rekaan memenuhi keperluan kedua-dua jenama.
Selain itu, perhatian terhadap perincian dalam setiap rekaan turut diberi keutamaan bagi memastikan produk yang dihasilkan bukan sahaja menarik dari segi visual, malah selesa untuk dipakai. Ini penting dalam memastikan kepuasan pelanggan serta membina kesetiaan terhadap jenama.
“Cabaran dalam menjayakan kolaborasi ini bukan mudah, terutamanya dengan isu logistik dan pengeluaran yang melibatkan China. Sampel awal juga tidak menepati kehendak pihak kami, manakala perbezaan idea dan pendapat antara kedua-dua pihak turut menambah cabaran dalam memastikan kolaborasi ini berjaya.” jelas Ashraff.
Cabaran ini bagaimanapun dianggap sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang membantu kedua-dua pihak memahami keperluan serta jangkaan masing-masing. Ia juga menguji tahap kesabaran dan komitmen dalam memastikan hasil akhir memenuhi standard yang ditetapkan.
Gimik pelancaran di Sunway Pyramid dijangka berlangsung dengan meriah, melibatkan kehadiran pempengaruh, selebriti, serta penggiat industri fesyen dari dalam dan luar negara. Pelbagai aktiviti menarik seperti sesi pelancaran eksklusif, pop-up store, serta peluang bertemu pemilik jenama dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung nanti.
Usaha SVG untuk bekerjasama dengan jenama antarabangsa seperti Gentlewoman bukan sahaja meningkatkan kredibiliti jenama lokal Malaysia, tetapi juga membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi global pada masa hadapan.
Dalam pada itu, sambutan orang ramai berpotensi menjadi penanda aras kejayaan kolaborasi ini. Jika mendapat respon positif, lebih banyak jenama tempatan mungkin berani meneroka kerjasama antara negara luar untuk memperkukuh kedudukan dalam industri fesyen global.

