Kunjungan Ive kali kedua pukau hampir 13 ribu peminat di Kuala Lumpur 

Oleh: Nor Azlin Syafiqah Binti Shamsuddin, Sharifah Nadia Maisarah Binti Syed Salim

image

BUKIT JALIL, 5 Apr – Konsert Kpop IVE “Show What I Am” berjaya memukau hampir 13,000 peminat dengan persembahan mantap pada konsert kedua mereka yang menggegar Unifi Arena, Bukit Jalil pada 4 April 2026. 

Ive terdiri daripada enam orang ahli iaitu Gaeul (23), An Yujin (22), Rei (22), Jang Wonyoung (21), Liz (21) dan Leeseo (19). 

Mereka kembali menggegarkan ibu kota, menandakan kemunculan kali kedua kumpulan sensasi itu selepas debut mereka di Malaysia pada 2024. Namun, kali ini suasananya jauh berbeza, lebih padat, lebih emosional dan sarat dengan kisah penebusan daripada para peminat yang pernah terlepas peluang pertama.

Meskipun konsert ini berlangsung dalam kemeriahan bulan Syawal dan ketika ramai masih merayakan Hari Raya AidilFitri, namun ia bukan penghalang buat peminat setia yang dikenali sebagai Dive membanjiri stadium Unifi Arena sekaligus memberi sokongan kepada penyanyi K-Pop yang sedang mencetus fenomena itu.

Salah seorang anggota kumpulan IVE, Jang Wonyoung mengucapkan terima kasih kepada semua Dive yang hadir menyaksikan konsert kedua mereka di mana bilangan peminat yang hadir adalah 3 kali ganda berbanding konsert pertama mereka pada tahun 2024 yang pernah berlangsung di lokasi yang sama.  

“Terima kasih kepada semua Dive yang hadir, sejujurnya kami tidak menyangka ramai Dive yang akan hadir memandangkan konsert kami dulu hanya berjaya menarik perhatian 3000 peminat sahaja.”

We promise we will be back after show What I Am, dan kami akan terus menunjukkan persembahan yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya lagi disambut dengan sorakan dari penonton.

Jika tahun lalu ramai yang sekadar menjadi ‘penonton jauh’ melalui rakaman di media sosial, edisi kali ini menyaksikan ribuan DIVE memenuhi Unifi Arena dengan satu misi yang sama, menebus detik yang pernah terlepas.

Sementara itu, hasil temubual kami dengan salah seorang peminat lelaki (fanboy) yang ingin dikenali sebagai Faris, (21) pelajar IPG Bangi, mengatakan bahawa dia memang peminat tegar Ive dan memang menantikan kunjungan Ive.

“Saya memang fanboy Ive dan dah lama tunggu bila mereka akan datang lagi memandangkan konsert sebelum ini saya tidak dapat hadir akibat kekangan masa. Tapi, kali ini saya bertekad untuk membeli tiket walaupun saya hadir seorang diri tanpa kawan-kawan, memang excited dan tak sabar,” katanya lagi.

Bagi peminat yang terdiri daripada pasangan iaitu Katherine dan Kevin pula berkata, keterujaan mereka lebih bersifat sentimental. “Kami menunggu sejak 2024 lagi, terutama untuk lihat Jang Wonyoung dan Ahn Yujin secara langsung. Kami mengikuti mereka sejak Produce 48, jadi kehadiran mereka buat kali kedua ini memang sangat bermakna bagi kami,” jelas mereka.

Ive menghiburkan peminat mereka menerusi 26 set lagu yang telah ditetapkan dalam persembahan berdurasi lebih 2 jam setengah. 

Antara lagu popular yang disajikan kepada peminat seperti After Like, Baddie, Ice Queen, Blackhole, Holy Moly dan lagu yang paling dinanti-nantikan oleh peminat selepas kemunculan album baharu mereka awal tahun 2026, iaitu Bang-Bang

Suasana di Unifi Arena membuktikan betapa kuatnya aura kali kedua ini dengan lagu terbaru mereka ‘Bang Bang’ berjaya menaikkan semangat peminat untuk dimainkan di konsert buat pertama kali. 

Suasana di luar pekarangan stadium juga dibanjiri oleh Dive yang tidak sempat mendapatkan tiket. Walaupun hanya mampu mendengar nyanyian dari luar, membuktikan bahawa keterbatasan tiket bukanlah penghalang untuk memberikan sokongan padu mereka.

“Saya tunggu luar stadium sebab saya tunggu kawan saya yang ada dekat dalam, walaupun saya tak dapat tiket sekurangnya boleh dengar juga mereka menyanyi” kata Aisyah (23), pelajar UiTM Puncak Alam. 

Selain itu, seorang peminat yang hanya mahu dikenali sebagai Aina (21), pelajar Universiti Islam Antarabangsa, mengakui bahawa Jang Wonyoung dan Ahn Yujin dalam rancangan Produce 48 menjadi titik permulaan minatnya yang mendalam. Walau bagaimanapun, statusnya sebagai pelajar universiti membataskan kemampuan untuk memiliki tiket. 

“Saya sanggup datang walaupun tiada tiket disebabkan saya masih pelajar universiti, jadi saya belum mampu untuk membelinya. Tunggu di luar stadium sudah memadai bagi saya”, ujarnya ketika ditemui di sini. 

Sementara itu, Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu destinasi penting dalam jelajah Asia selepas pembukaan rasmi di Seoul, ini satu petunjuk jelas terhadap kekuatan pasaran K-pop di Malaysia sebelum kumpulan itu meneruskan siri persembahan mereka ke negara-negara Asia yang lain.

Lebih daripada sekadar konsert, “Show What I Am” di Kuala Lumpur menjadi bukti bahawa muzik mampu menghubungkan emosi, menyatukan komuniti dan memberi peluang kedua kepada mereka yang pernah terlepas kali ini, tanpa sebarang penyesalan.