Rundingan Petronas dan Petros Kunci Kestabilan Pengurusan Sumber Minyak dan Gas Negara  

Oleh: Nursyazleena Binti Mohamad Sabry, Puteri Adriana Binti Amzah

KUALA LUMPUR, 8 Apr – Rundingan antara Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) terus menjadi tumpuan apabila kedua-dua entiti berusaha mencapai persefahaman dalam memastikan kestabilan pengurusan sumber minyak dan gas negara.

Perbincangan yang berlangsung merangkumi pelbagai aspek penting termasuk bidang kuasa, pengurusan operasi, kawalan lesen serta pembahagian hasil petroleum antara kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak. Walaupun terdapat perbezaan pandangan, pendekatan rundingan secara berterusan dilihat sebagai langkah terbaik dalam mencari penyelesaian yang seimbang.

Pengurus Kanan Aset Sarawak PETRONAS Carigali, Encik Shalby Reduan, menegaskan bahawa kejelasan dasar dan hubungan kukuh antara pihak berkepentingan adalah faktor utama dalam memastikan kelancaran operasi industri minyak dan gas negara.

“Kerjasama yang erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa gangguan. Dalam industri seperti ini, kestabilan adalah kunci utama,” katanya.

image

Shalby Reduan, Head of General PETRONAS Assets (SKA / Sarawak Assets)

Beliau turut menambah bahawa rundingan yang dijalankan perlu berlandaskan profesionalisme dan saling menghormati antara kedua-dua pihak.

“Pendekatan rundingan yang matang dan berterusan dapat membantu mengelakkan salah faham serta konflik yang berpanjangan. Apa yang kita mahukan adalah penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, keyakinan pelabur juga bergantung kepada kestabilan dasar serta kejelasan hala tuju industri minyak dan gas negara.

“Pelabur akan melihat kepada bagaimana sesebuah negara mengurus sumber strategiknya. Jika wujud kestabilan dan kejelasan dasar, ia akan meningkatkan keyakinan mereka untuk terus melabur,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, wakil PETROS menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan PETRONAS melalui rundingan yang konstruktif dan telus. “Kami komited untuk memastikan setiap rundingan yang dijalankan mengambil kira kepentingan negeri Sarawak tanpa mengabaikan kepentingan nasional. Kerjasama ini perlu bersifat menang-menang,” menurut wakil tersebut. 

image

Sementara itu, pakar ekonomi tenaga yang telah ditemubual juga memberi pendapat bahawa sektor minyak dan gas adalah merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara kita, Malaysia dan ia memainkan fungsi penting dalam memastikan kestabilan fizikal negara.

“Industri sumber gas dan minyak ini menyumbang dalam lingkungan 20 hingga 25 peratus kepada hasil sumber kerajaan. Sebarang ketidaktentuan dalam pengurusan sumber petroleum boleh memberi impak besar yang tidak dijangka kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut memberi pandangan bahawa ketelusan dalam pembahagian kuasa dan hasil adalah penting bagi memastikan kelangsungan pelaburan dalam sektor ini.

“Pelabur asing amat sensitif terhadap isu ketidaktentuan dasar. Jika terdapat pertindihan kuasa atau konflik yang tidak diselesaikan, ia boleh menjejaskan aliran pelaburan ke dalam negara,” jelasnya.

Selain itu, beliau berpendapat bahawa kerjasama antara PETRONAS dan PETROS boleh menjadi contoh yang lain daripada yang lain dalam pengurusan sumber strategik negara.

“Jika rundingan ini berjaya dilaksanakan, ia menunjukkan contoh terbaik bagaimana kerajaan persekutuan dan negeri dapat bekerjasama dalam mengurus sumber yang ada secara lebih sejagat dan stabil,” katanya lagi.

Dalam konteks pembangunan negeri, Sarawak sebagai salah satu pengeluar dominan minyak dan gas negara dijangka mendapat pulangan yang lumayan  daripada kerjasama ini, termasuk peningkatan peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur.

Shalby Reduan turut mengupas akan kepentingan rundingan ini dalam perspektif jangka panjang. “Ini bukanlah semata-mata tentang keuntungan jangka pendek, tetapi juga kesinambungan industri ini untuk generasi-generasi yang akan terbentuk. Oleh itu, setiap resolusi yang dibuat perlu mengambil kira aspek keseimbangan yang berterusan,” ujarnya. Beliau turut menyatakan bahawa keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar juga perlu diberi perhatian dalam pengurusan sumber petroleum.

“Industri ini perlu bergerak sehaluan dengan tuntutan global terhadap tenaga yang lebih lestari. Ini termasuk pelaburan dalam teknologi baharu dan amalan yang lebih mesra alam,” katanya.

Dalam gambaran besar, rundingan antara PETRONAS dan PETROS melambangkan usaha berterusan dalam mencapai persefahaman yang mampu menjamin kestabilan sektor minyak dan gas negara. Selain itu, rundingan yang bersifat progresif ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua entiti dalam mengutamakan kepentingan ekonomi negara berbanding perbezaan pandangan. 

Justeru, strategi masing-masing yang berasaskan dialog, kerjasama dan saling menghormati dilihat sebagai komponen kritikal dalam memastikan manfaat sumber petroleum dapat dinikmati secara adil oleh semua pihak, sekali gus memastikan industri ini terus kekal relevan dan berdaya saing pada masa hadapan.