Serpih (4:34) Bakal Menghidupkan Semula Tradisi Mock Trial UKM

Oleh: Mohammad Danieal Arisna Bin Mohd Haris, Norhanna Zuqrina Binti Zulkifli

image

BANGI, 18 Mei — Selepas lapan tahun menyepi, tradisi Mock Trial di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akhirnya akan kembali dipentaskan menerusi produksi terbaru bertajuk Serpih (4:34), sebuah pementasan perbicaraan yang mengangkat isu kesihatan mental, keganasan rumah tangga dan konflik kekeluargaan.

Program yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 2018 menerusi pementasan Nekyia itu dianggap sebagai salah satu identiti penting budaya litigasi dalam kalangan pelajar undang-undang UKM. 

Kemunculannya semula tahun ini bukan sahaja menghidupkan kembali tradisi yang hampir dilupakan, malah membawa pendekatan lebih emosional dan dekat dengan realiti masyarakat hari ini.

Menurut Pengarah Program Muhammad Syahmi Bin Muhammad Khairul, pelajar tahun 3 Fakulti Undang-Undang UKM, Mock Trial bukan sekadar sebuah persembahan teater, tetapi simulasi sebenar proses perbicaraan mahkamah yang melibatkan hakim, pendakwa raya, peguambela, saksi serta pembuktian bahan bukti seperti dalam kes jenayah sebenar.

“Program ini bukan sahaja mahu menunjukkan proses undang-undang, tetapi mahu masyarakat faham bahawa di sebalik sesuatu kes jenayah, ada trauma, penderitaan dan keadaan mental yang sering tidak dilihat oleh orang luar,” katanya.

Beliau berkata, Mock Trial juga menjadi medium kepada pelajar untuk mengasah kemahiran advokasi, penghujahan dan pengendalian saksi selain memberi peluang kepada masyarakat memahami budaya litigasi dengan lebih dekat dan mudah difahami. 

Bertemakan Serpih (4:34), jalan cerita kali ini memfokuskan kepada sebuah tragedi pembunuhan dalam institusi keluarga yang dipengaruhi konflik mental dan trauma berpanjangan. 

Penonton bukan sahaja dibawa menyaksikan perjalanan perbicaraan di mahkamah, malah turut menyelami emosi setiap watak yang terlibat.

Beliau turut mengakui antara cabaran terbesar dalam menjayakan pementasan kali ini adalah untuk memastikan jalan cerita kekal dramatik tanpa mengabaikan ketepatan prosedur mahkamah sebenar.

“Kami mahu setiap penghujahan, pemeriksaan saksi dan pembuktian kes kekal realistik. Dalam masa sama, kami cuba membina emosi penonton supaya mereka benar-benar memahami manusia di sebalik sesuatu kes,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, jurang masa yang panjang sejak Mock Trial terakhir dianjurkan turut menyebabkan ramai pelajar generasi baharu tidak pernah menyaksikan sendiri budaya litigasi tersebut.

“Ada pelajar Fakulti Undang-Undang sendiri yang tidak pernah melihat Mock Trial sebelum ini. Jadi kami bukan sekadar menghasilkan sebuah pementasan, tetapi cuba menghidupkan semula budaya Mock Trial di UKM,” katanya.

Pementasan kali ini turut membawa kelainan berbanding siri terdahulu seperti Cendol (2013), Mannequin (2014), Daffodil (2015), Sofea (2016), Katarsis (2017) dan Nekyia (2018), pementasan kali ini memberi penekanan lebih mendalam terhadap isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan dalam masyarakat.

Penonton akan melalui pelbagai emosi sepanjang pementasan termasuk tegang, sedih, marah dan tersentuh hati bagi menggambarkan realiti sebenar dalam sesuatu kes jenayah.

Menurut beliau, isu kesihatan mental dipilih kerana masih ramai masyarakat yang memandang ringan terhadap masalah tersebut sedangkan ia mampu memberi kesan besar kepada individu dan keluarga. 

Katanya, melalui Serpih (4:34), penonton akan melihat bagaimana gangguan mental yang tidak dirawat boleh membawa kepada trauma, penderitaan dan tragedi yang tidak dijangka.

Melalui pementasan tersebut, penonton turut diperlihatkan bagaimana mahkamah menilai isu gangguan mental dalam sesuatu kes jenayah, termasuk pembuktian di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan berkaitan unsoundness of mind.

image

Pementasan Serpih (4:34) akan dipersembahkan oleh seramai 13 pelakon yang terdiri daripada pelajar Fakulti Undang-Undang UKM. Kesemua mereka akan membawa pelbagai watak penting dalam perjalanan perbicaraan termasuk hakim, pendakwa raya, peguambela, saksi dan ahli keluarga yang terlibat dalam konflik utama pementasan tersebut.

Syahmi berharap penonton akan pulang bukan sekadar dengan persoalan “siapa yang bersalah”, tetapi memahami bahawa keadilan tidak hanya bergantung kepada hukuman semata-mata.

“Kadang-kadang sesuatu jenayah itu memang berlaku, tetapi masyarakat tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi di sebalik tragedi tersebut. Sebab itu mahkamah bukan sekadar tempat menghukum, tetapi tempat mencari kebenaran sebenar,” katanya.

Beliau turut berharap masyarakat akan lebih terbuka dan peka terhadap isu kesihatan mental serta memahami bahawa setiap individu mempunyai kisah dan perjuangan yang tidak dapat dilihat secara luaran. 

Menurutnya lagi, pementasan tersebut juga membawa mesej bahawa proses keadilan bukan hanya tentang menentukan salah atau benar, tetapi memahami keseluruhan keadaan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Dengan gabungan elemen perundangan, emosi dan realiti masyarakat, Serpih (4:34) dilihat bukan sahaja menghidupkan kembali legasi Mock Trial UKM, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat sisi kemanusiaan di sebalik sesuatu perbicaraan.

Tiket telah mula dijual secara atas talian menerusi platform Google Form dengan harga mengikut kategori tempat duduk iaitu Cakerawala (RM18), Asmara (RM15) dan Indera (RM12). Pementasan tersebut dijadual berlangsung di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 24 Mei 2026 bermula jam 7 malam hingga 11.30 malam.