Buku Fizikal Masih Berkembang Dalam Era Digital

Oleh:  Deborah Lee Pei Ling & Lau Xin Ee

image

Penulis Vidhya Sathyamoorthy meraikan pelancaran bukunya, Finding DARLA, di MPH Bookstores, The Exchange TRX. 

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Dalam era dominasi kandungan digital, industri perbukuan dan penerbitan terpaksa beralih arah daripada strategi pemasaran tradisional kepada kaedah digital yang lebih luar biasa. 

Pada 16 Mei 2026 yang lalu, penulis tempatan, Vidhya Sathyamoorthy, telah mengadakan majlis pelancaran novel kedua beliau bertajuk Finding Darla, di MPH Bookstores, The Exchange TRX. Ketika ditanya mengenai strategi promosi kali ini, Vidhya mengakui terdapat perubahan besar berbanding kebiasaan industri sebelum ini di mana beliau dan pihak penerbit kini memanfaatkan media sosial seperti Instagram dan Threads secara agresif.

“Memanfaatkan platform digital kini sudah menjadi satu keperluan wajib. Kami merangka strategi pemasaran digital yang sangat teliti, bermula daripada fasa mendedahkan reka bentuk kulit buku, sinopsis, sehinggalah mengedarkan naskhah ulasan awal (ARC) kepada komuniti Bookstagrammers,” jelas Vidhya. “Langkah ini penting untuk memberi gambaran awal kepada pembaca dan membina momentum awal, terutamanya bagi penulis bebas atau yang mempunyai skala pasaran yang lebih kecil.”

Anjakan ini menggambarkan trend yang lebih besar dalam landskap penerbitan Malaysia. Penulis kini lebih banyak memberi tumpuan untuk membina jenama mereka secara dalam talian, walaupun acara fizikal seperti majlis pelancaran buku tetap mempunyai fungsi tersendiri yang tidak boleh diketepikan.

image

Gambar pelancaran buku, Finding Darla

“Platform digital memang mempunyai capaian yang sangat luas, namun acara fizikal tetap penting kerana ia menawarkan sentuhan manusiawi,” tambah Vidhya lagi. “Oleh itu, kunci utamanya adalah keseimbangan. Kami menggunakan media sosial sebagai platform utama untuk berkongsi ulasan buku dan mempromosikan acara pelancaran. Malah, promosi digital yang berterusan selepas buku diterbitkan adalah kritikal; ia memastikan pembaca sudah pun mengenali buku kita sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke kedai buku.”

Bagaimanapun, menarik perhatian pembaca di alam maya hanyalah separuh daripada perjuangan. Rupa fizikal buku itu sendiri memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Hari ini, fungsi buku fizikal telah beralih daripada sekadar bahan bacaan kepada sebuah karya seni untuk dimiliki. Reka bentuk kulit buku, pembungkusan yang menarik dan kehangatan isu yang tular di internet kini menentukan kuasa membeli kerana buku fizikal sudah mula dianggap sebagai satu pelaburan premium.

Bagi Samantha Tan, seorang pereka grafik tempatan yang hadir ke majlis pelancaran tersebut, identiti visual sesebuah buku ibarat ‘salam perkenalan’ pertama dengan pembaca moden.

“Sebagai seorang pereka, mata saya pastinya akan tertumpu pada seni reka bentuk kulit buku terlebih dahulu,” kongsi Samantha Tan. “Selepas reka bentuknya berjaya menarik perhatian, barulah saya akan membaca sinopsis sebelum membuat keputusan untuk membeli. Media sosial pula memainkan peranan yang sangat besar. Apabila kita melihat orang ramai memuat naik foto estetik mengenai sesuatu acara atau buku tertentu, ia akan mencetuskan kesan domino yang mendorong orang lain untuk turut sama membaca buku tersebut.”

Pandangan itu turut dipersetujui oleh seorang lagi pengunjung, Yasmeen Sofea. Beliau melihat kos tinggi bagi buku import fizikal telah menukarkan naskhah kertas ini menjadi barangan mewah, sekali gus mewujudkan satu hierarki sosial yang tersendiri di alam maya.

“Secara jujurnya, kalau dilihat dari sudut kemudahan dan kos, e-buku jauh lebih murah. Namun, buku fizikal tetap menjadi pilihan kerana faktor estetikanya,” ulas Yasmeen Sofea.” Memiliki buku fizikal hari ini bukan sekadar membaca, ia melambangkan usaha dan pelaburan yang sanggup anda korbankan untuk mendapatkannya. Ini mewujudkan satu bentuk status sosial. Anda boleh menayang sebuah buku berkulit nipis yang cantik di TikTok, Reddit atau YouTube, tetapi anda tidak boleh menunjuk-nunjuk e-buku yang tersimpan di sebalik skrin digital.”

Namun, di sebalik kebergantungan anak muda kepada e-buku untuk kemudahan harian dan media sosial untuk meninjau trend, kedai buku fizikal dan acara santai secara bersemuka tetap menawarkan satu elemen keunikan yang tidak mampu ditiru oleh skrin digital. Interaksi secara fizikal ini secara tidak langsung menyumbang kepada penularan organik dari mulut ke mulut.

Anusuya Nair, seorang pendidik tempatan dan juga pembaca tegar yang hadir pada majlis itu, percaya bahawa sentuhan manusiawi merupakan kelebihan utama bagi penulis tempatan untuk bersaing dengan pengaruh digital global.

“Buku fizikal tetap menjadi pilihan utama dalam mana-mana majlis pelancaran kerana ia adalah sesuatu yang nyata untuk dipegang, dibelek dan ditandatangani sendiri oleh penulisnya,” kata Anusuya Nair. “Bagi penulis Asia atau tempatan yang mungkin tidak mempunyai bajet pemasaran yang besar seperti penulis antarabangsa, hubungan peribadi sebegini adalah segala-galanya.”

Anusuya Nair menambahkan bahawa sesi fizikal sebegini memberi impak serampang dua mata dalam menghubungkan dunia dalam talian dan luar talian. “Ia bukan sahaja menghasilkan kandungan media sosial yang meluas apabila pengunjung memuat naik hantaran tentangnya, malah dalam masa yang sama berjaya menarik perhatian pelanggan yang kebetulan berjalan masuk ke kedai buku untuk mengenali penulis baharu yang mungkin akan menjadi kegemaran mereka.”

Pada akhirnya, era digital bukanlah satu titik penamat bagi industri buku fizikal tempatan, sebaliknya ia bertindak sebagai alat penguat yang paling berkesan. Dengan mengimbangi pemasaran dalam talian yang kreatif bersama keakraban acara fizikal yang sukar ditukar ganti, para pengkarya Malaysia membuktikan bahawa mereka mampu untuk terus bertahan dan berkembang maju dalam landskap yang sentiasa berubah ini.

Novel terbaharu Vidhya Sathyamoorthy, Finding Darla, kini boleh didapati dalam versi buku fizikal di rangkaian kedai buku utama tempatan serta secara dalam talian.