Oleh: Mirrah Nashihin Binti Mohd Asrulizam & Tan Yi Tong

Koleksi eksklusif yang dinamakan Leona x Machino ini menampilkan gabungan elemen rekaan ikonik bunga Hana khas daripada Machino serta sentuhan personaliti Leona yang ceria, berani dan sofistikated. Sejak teaser kolaborasi ini dimuat naik di akaun Instagram rasmi, rata- rata netizen telah meluahkan rasa tidak sabar untuk memiliki rekaan terbaharu ini.
Suasana di lokasi majlis pelancaran di IOI Mall Putrajaya digambarkan cukup bertenaga dengan dekorasi estetik yang sangat memukau, berkonsepkan syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang dipenuhi elemen percutian serta palet warna merah jambu dan pastel yang menjadi identiti koleksi ini. Reka bentuk ruang acara yang sangat estetik dan mesra lensa kamera itu sengaja disediakan bagi memberikan pengalaman interaktif kepada tetamu dan pelanggan yang hadir untuk mengambil gambar, membuat video dan merasakan sendiri pengalaman membeli-belah di lapangan terbang.
Selain daripada paparan visual koleksi kasut yang menakjubkan, tumpuan utama majlis sudah pastinya terarah kepada sesi eksklusif Meet and Greet bersama Kasih Iris Leona. Kehadiran pempengaruh yang mempunyai ratusan ribu pengikut itu disambut dengan sorakan gemuruh daripada para peminat yang sanggup beratur panjang sejak awal pagi demi peluang beramah mesra dan merakamkan foto kenangan bersama idola mereka. Leona yang tampil anggun menyarung rekaan yang dibuat khas untuk koleksi terbaharu itu meluahkan rasa teruja dan syukur atas sokongan padu yang diterima daripada komuniti.

Dalam pada itu, sorotan paling bermakna dalam majlis pelancaran ini adalah sesi temu bual eksklusif bersama Amy Tai, pengasas bersama Machino. Beliau mengambil peluang tersebut untuk berkongsi visi jangka masa panjang jenama fesyen berkenaan serta kepentingan membina ekosistem komuniti yang kukuh di sebalik tabir kejayaan sesebuah perniagaan tempatan.
Menurut Amy Tai, kolaborasi bersama Kasih Iris Leona bukan sekadar sebuah strategi pemasaran komersial semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu penghargaan kepada komuniti jenama mereka. Beliau menegaskan bahawa kekuatan utama Machino selama ini terletak pada keakraban hubungan yang terjalin antara jenama tersebut dengan para pelanggan setia mereka.
“Kami di Machino sentiasa percaya bahawa setiap rekaan kasut yang kami hasilkan harus membawa naratif yang dekat dengan hati pemakai. Apabila kami merancang untuk menghasilkan koleksi ini, Kasih Iris Leona adalah individu pertama yang terlintas di fikiran kami. Personaliti beliau yang ceria, berani mengekspresikan diri dan sangat dekat dengan generasi muda adalah cerminan tepat kepada nilai yang ingin kami ketengahkan melalui produk kami kali ini,” ujar Amy Tai semasa sesi temu bual berlangsung.
Amy Tai turut menjelaskan bahawa dalam era digital yang serba dinamik ini, sesebuah jenama tidak boleh lagi bergerak secara sehala. Komuniti perlu dilibatkan dalam setiap proses perkembangan jenama, termasuklah dalam aspek pemilihan konsep dan rekaan. Melalui maklum balas yang konsisten daripada komuniti pelanggan, Machino mampu mengekalkan kualiti kasut yang selesa dan menepati trend semasa.
Koleksi terbaharu Leona x Machino ini memperkenalkan beberapa rekaan utama yang sangat dinantikan, antaranya termasuklah Iris Mary Jane dan Kasih Kitten Heels. Setiap rekaan dihasilkan dengan menitikberatkan aspek ergonomik kaki wanita Asia, menggunakan bahan premium yang lembut serta mengekalkan perincian kelopak bunga Hana yang dijahit kemas secara buatan tangan oleh tukang kasut tempatan yang mahir. Kombinasi warna yang diperkenalkan juga sangat versatil, merangkumi rona bumi seperti Dusty Espresso Brown hinggalah kepada warna feminin seperti Dusty Pink.

Ratusan pembeli mengerumuni koleksi Leona x Machino di IOI Mall Putrajaya
Kejayaan majlis pelancaran ini juga dapat dilihat melalui impak digital yang luar biasa. Tanda pagar rasmi acara tersebut telah dihujani dengan ribuan hantaran video kreatif, ciapan sokongan serta gambar estetik daripada para pengunjung yang hadir. Fenomena tular ini membuktikan bahawa kolaborasi strategik antara jenama produk yang berkualiti tinggi dengan pempengaruh digital yang mempunyai reputasi mampu menghasilkan impak komersial yang luar biasa di pasaran terbuka.
Melangkah ke hadapan, Amy Tai menyatakan optimis bahawa Machino akan terus mengorak langkah lebih jauh dalam meneroka pasaran serantau dan antarabangsa. Dengan sokongan padu daripada komuniti yang sedia ada, beliau percaya jenama ini mampu berdiri setanding dengan jenama antarabangsa lain tanpa kehilangan identiti lokal yang menjadi tunjang kekuatan mereka sejak awal penubuhan.
Bagi para peminat fesyen yang tidak ingin ketinggalan untuk memiliki sebahagian daripada sejarah kolaborasi eksklusif ini, koleksi Leona x Machino kini boleh didapati secara rasmi melalui laman web interaktif mereka serta di cawangan kedai fizikal terpilih. Disebabkan kuantiti pengeluaran yang sangat terhad bagi menjaga nilai eksklusif produk, para pembeli disarankan untuk mendapatkan koleksi tersebut lebih awal sebelum kehabisan stok.

