Dari Rusia Ke Malaysia: MAI ‘Mendarat’ Buat Pertama Kali di Star Education Fair 2026

Oleh: Nur Adriana Binti Norahim & Nurizzaty Binti Nor Zakwan

image

PUTRAJAYA, 16 Mei – Penyertaan julung kali Moscow Aviation Institute (MAI) dalam Star Education Fair 2026 membuka peluang baharu kepada pelajar Malaysia yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, penerbangan dan aeroangkasa di peringkat antarabangsa.

Kehadiran institusi pendidikan dari Rusia itu antara yang mencuri perhatian pengunjung sepanjang pameran pendidikan yang dianjurkan oleh Star Media Group Berhad selama dua hari yang berlangsung pada 16 dan 17 Mei di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya. 

Timbalan Ketua Projek Antarabangsa MAI, Sofia Spasskova berkata, penyertaan mereka di Malaysia bertujuan memperkenalkan pendidikan kejuruteraan Rusia kepada pelajar tempatan serta berkongsi pelbagai peluang akademik yang ditawarkan di institusi tersebut.

Sofia Spasskova memperincikan bahawa MAI memberi penekanan terhadap asas kejuruteraan yang kukuh bagi memastikan graduan mereka bersedia dalam menempuh alam pekerjaan selepas tamatnya pengajian. Diploma institusi tersebut juga diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekaligus membuka peluang kepada graduan untuk bekerja dalam syarikat berkaitan penerbangan dan aeroangkasa.

Tambah Sofia Spasskova lagi, penyertaan institusi pendidikan antarabangsa dalam pameran seperti ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kepada pelajar tempatan, malah membantu mereka mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai pilihan pengajian dan hala tuju kerjaya pada masa hadapan.

“Platform seperti Star Education Fair sangat penting kerana ia memberi peluang kepada universiti untuk memperkenalkan program dan peluang pendidikan secara lebih dekat kepada bakal pelajar,” ujar Sofia Spasskova mengenai kepentingan pameran pendidikan tersebut. 

image

Timbalan Ketua Projek Antarabangsa MAI, Sofia Spasskova – Foto fail Nadi Bangi

Sofia Spasskova turut menitipkan pesanan kepada pelajar yang masih mencari hala tuju pendidikan untuk terus berusaha dan tidak takut untuk mengejar impian mereka. Menurutnya, sikap ingin tahu, berfikiran terbuka dan keberanian mencuba perkara baharu amat penting dalam membina masa depan yang berjaya. 

Sementara itu, wakil Star Media Group Berhad, Encik Asnol Shahib Alwi, menegaskan betapa pentingnya pameran pendidikan seperti ini kerana ia menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan di bawah satu bumbung bagi memudahkan pelajar dan ibu bapa membuat pilihan pendidikan.

“Berbeza dengan sesi hari terbuka universiti yang hanya memfokuskan kepada institusi masing-masing, Star Education Fair memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka pelbagai pilihan universiti, kolej, institusi kemahiran dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam satu tempat,” jelasnya lagi.

Kenyataan ini selari dengan objektif pameran untuk menjadi platform sehenti yang memudahkan pelajar dan ibu bapa mendapatkan akses kepada pelbagai pilihan pendidikan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan dengan lebih tepat mengenai hala tuju pengajian dan kerjaya masa depan.

Encik Asnol Shahib Alwi turut menjelaskan bahawa pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat berkaitan kursus dan institusi pendidikan, malah boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai pembiayaan pendidikan seperti biasiswa, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan pelbagai bentuk bantuan kewangan yang lain.

Bagi menambah kelainan pada edisi ke-39 ini, Star Media Group Berhad turut memperkenalkan studio podcast sebagai medium promosi digital yang interaktif.

“Antara kelainan yang dibawakan pada Star Education Fair 2026 tahun ini ialah pengenalan podcast studio yang membolehkan pihak pempamer dan institusi pendidikan berkongsi maklumat serta mengetengahkan kelebihan program masing-masing melalui sesi rakaman temu bual,” ujarnya.

Menurut Encik Asnol Shahib Alwi juga, kandungan yang dirakam di podcast studio tersebut akan digunakan semula sebagai bahan promosi dan perkongsian informasi pendidikan pada masa akan datang. 

“Sekarang ini peluang pendidikan sangat luas dan pelbagai bidang ditawarkan di institusi pengajian tinggi. Jadi saya berharap pelajar terus yakin dan meneruskan impian mereka untuk sambung belajar,” katanya lagi sambil menitipkan kata-kata semangat kepada para pelajar.

Di samping itu, Star Education Fair 2026 turut menampilkan personaliti platform digital dan ikon TVET, Muhammad Amin Othman dan Muhammad Abid Othman sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menarik minat generasi muda terhadap pendidikan dan bidang kemahiran.

Pihak penganjur berharap pendekatan yang lebih dekat dengan generasi muda melalui penglibatan personaliti media sosial dan kandungan digital dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk lebih yakin meneroka pelbagai peluang pendidikan yang tersedia pada masa kini. Selain akademik, pendedahan terhadap bidang TVET dan kemahiran juga dilihat semakin penting dalam memenuhi keperluan industri masa hadapan.

image

Personaliti media sosial dan ikon  TVET, Muhammad Amin Othman dan Muhammad Abid Othman – Foto fail Nadi Bangi

Star Education Fair 2026 menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan tempatan dan antarabangsa bagi membantu pelajar serta ibu bapa mendapatkan maklumat lanjut mengenai pilihan pengajian dan laluan kerjaya masa hadapan.

Penganjuran tahun ini juga merupakan edisi ke-39 Star Education Fair sejak diperkenalkan, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara pameran pendidikan terbesar dan paling lama dianjurkan di Malaysia.