Diuji Kemalangan, STAR Animal Shelter Terus Perjuang Nasib Haiwan Terbiar

Oleh: Wong Jia Min & Fau Sin Yong

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Kemalangan yang menimpa van milik Persatuan Pasukan Penyelamat dan Pemuliharaan Haiwan Shikin (STAR Shelter) di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan pada 12 April lalu masih segar dalam ingatan pengasasnya, Norashikin Ahmad, apabila beberapa ekor haiwan di bawah jagaannya terlepas, cedera dan maut selepas kenderaan tersebut dirempuh sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Oh My Pet Expo

Selepas insiden yang tular di media sosial itu, semakin ramai individu mula mengenali organisasi berkenaan dan menghubungi pihak shelter untuk menawarkan bantuan. Sumbangan yang diterima merangkumi bantuan kewangan, makanan haiwan serta khidmat sukarelawan bagi membantu kelancaran operasi harian mereka. 

Penglibatan Norashikin dalam usaha menyelamatkan haiwan bermula pada 2012 selepas beliau menyaksikan operasi penangkapan kucing oleh pihak berkuasa tempatan. Kejadian itu mencetuskan kesedaran dalam dirinya mengenai kepentingan menjaga kebajikan haiwan, sekali gus mendorong beliau berkongsi gambar dan maklumat berkaitan di media sosial bagi meningkatkan pemahaman orang ramai terhadap isu kebajikan haiwan. 

“Pada mulanya, saya hanya menyelamatkan kucing yang ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan. Namun, selepas melihat lebih banyak haiwan lain, termasuk anjing, yang memerlukan bantuan, saya mula mendalami prosedur penyelamatan dan mengembangkan usaha tersebut,” katanya.

Beliau berkata pusat perlindungan yang diasaskan di atas tanah miliknya sendiri kini menempatkan kira-kira 300 ekor kucing dan 200 ekor anjing yang diselamatkan daripada pelbagai situasi termasuk kemalangan jalan raya, pengabaian dan penderaan.

Namun, usaha menguruskan ratusan haiwan bukanlah sesuatu yang mudah. Sebahagian besar kos operasi pada peringkat awal ditanggung sendiri oleh Norashikin sebelum organisasi itu mula menerima sumbangan daripada orang ramai.

image

Bagi menampung peningkatan kos operasi, STAR Shelter aktif menyertai pelbagai ekspo dan program berkaitan haiwan, antaranya Oh My Pet Expo, Pet Expo Malaysia serta acara yang dianjurkan oleh Kelab Kucing Malaysia. Platform tersebut dimanfaatkan untuk mencari keluarga angkat bagi haiwan yang diselamatkan, di samping mengumpul dana melalui sumbangan orang ramai serta tajaan syarikat dalam industri haiwan. Dana yang diperoleh melalui pelbagai inisiatif itu digunakan bagi menampung kos makanan, rawatan veterinar, vaksinasi, pemandulan serta penyelenggaraan pusat perlindungan.

Menurut Norashikin, media sosial seperti Instagram, TikTok dan Facebook memainkan peranan penting dalam memperluaskan jangkauan organisasi tersebut. Platform berkenaan digunakan untuk berkongsi aktiviti penyelamatan, mempromosikan pengadopsian dan meningkatkan kesedaran mengenai kebajikan haiwan. 

“Apabila semakin banyak haiwan yang diselamatkan, kos penjagaan juga semakin meningkat. Pada masa sama, ruang yang ada menjadi semakin sempit. Jika ada dana tambahan, kami akan menambah dan memperluaskan ruang perlindungan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan. Walaupun memerlukan kos yang tinggi, kami tetap berusaha memberikan yang terbaik untuk haiwan-haiwan ini,” katanya. 

Bagi mengurangkan jumlah haiwan yang ditempatkan di shelter, STAR Shelter aktif menjalankan program pengadopsian semasa ekspo haiwan peliharaan dan pelbagai acara komuniti. Program tersebut penting bagi membuka ruang kepada haiwan baharu yang memerlukan bantuan. Ini berikutan kapasiti pusat perlindungan yang semakin terhad akibat peningkatan jumlah haiwan yang diselamatkan setiap tahun. 

Sepanjang empat hari ekspo tersebut, pihak shelter membawa kira-kira 24 ekor kucing dan enam ekor anjing setiap hari untuk dipadankan dengan keluarga baharu. Haiwan yang berjaya diadopsi akan digantikan dengan haiwan lain sepanjang acara berlangsung.

Walau bagaimanapun, Norashikin menegaskan bahawa setiap bakal pengadopsi akan melalui proses saringan yang teliti sebelum dibenarkan meneruskan proses pengadoptasian.

“Kami akan membuat temuduga ringkas, mengambil maklumat peribadi dan meminta bakal penjaga menandatangani perjanjian. Kami mahu memastikan haiwan ini benar-benar mendapat rumah yang sesuai dan selamat,” katanya.

Tambah beliau, setiap kucing yang diadopsi telah menerima vaksinasi dan kebanyakannya telah dimandulkan. Bagi haiwan yang belum menjalani prosedur tersebut, deposit akan dikenakan dan dipulangkan semula selepas pemandulan dilakukan.

Selain itu, STAR Shelter turut menyediakan tempoh percubaan selama sebulan bagi memastikan haiwan yang diadopsi dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Jika berlaku sebarang masalah, haiwan tersebut boleh dipulangkan semula kepada pihak shelter.

Beliau turut mengakui pernah menerima kritikan kerana terlibat dalam usaha menyelamatkan anjing sebagai seorang Muslim. Namun, beliau percaya bahawa membantu haiwan yang memerlukan tidak bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan ajaran agama jika dilakukan mengikut cara yang betul.

Norashikin berkata, kebanyakan sukarelawan diperoleh melalui media sosial serta institusi pengajian tinggi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sunway University, selain program sukarelawan Roots & Shoots. Mereka membantu mengurus haiwan, mengendalikan program pengadopsian serta memberi kesedaran kepada pengunjung mengenai kepentingan pemandulan dan kebajikan haiwan semasa ekspo.

Sementara itu, sukarelawan STAR Shelter, Marha Mustapha, 23, yang merupakan pelajar Perubatan Veterinar UPM, berkata penglibatannya bermula selepas mengetahui mengenai aktiviti shelter melalui rakan-rakan sekuliah.

“Ini kali keempat saya menyertai program bersama STAR Shelter. Saya dapat menambah pengalaman mengendalikan haiwan, berinteraksi dengan orang ramai dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi oleh organisasi penyelamat haiwan,” katanya.

Bagi Norashikin, perhatian yang diterima selepas insiden tersebut bukanlah perkara yang paling penting. Sebaliknya, beliau berharap masyarakat akan lebih memahami tanggungjawab terhadap haiwan dan mempertimbangkan pengadopsian serta pemandulan sebagai langkah mengurangkan populasi haiwan terbiar. 

Kemalangan yang berlaku pada April lalu mungkin telah membawa nama STAR Shelter kepada perhatian umum, namun bagi Norashikin, perjuangan sebenar masih jauh daripada berakhir kerana masih terdapat ratusan haiwan terbiar yang memerlukan perlindungan dan peluang kedua untuk hidup.

“Selagi ada haiwan yang memerlukan bantuan, kami akan terus berusaha sedaya upaya. Itu yang memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya.