Klang Digelar ‘Darul Colombia’?

Oleh: Aina Nabila Binti Mazlan, Aliftaufik Naquiyuddin Bin Mohd Tamrin

image


Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang

KLANG, 7 Apr – Adakah Klang kini wajar digelar sebagai ‘Darul Colombia’? Persoalan ini timbul susulan dakwaan pihak polis bahawa kadar jenayah di daerah ini menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini, dengan pengedaran dadah dikenal pasti sebagai antara ancaman terbesar yang menyumbang kepada situasi tersebut.

Gelaran ‘Darul Colombia’ yang mula dikaitkan dengan Klang pula bukanlah tanpa asas. Istilah tersebut lazimnya merujuk kepada reputasi Colombia suatu ketika dahulu yang sinonim dengan kegiatan kartel dadah, jenayah terancang dan konflik antara kumpulan sindiket. Perbandingan ini timbul apabila beberapa kes berprofil tinggi melibatkan aktiviti jenayah serius dilaporkan berlaku di Klang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Timbalan Superintenden Polis Bukit Aman, DSP Wan Kamal Rizal mendakwa bahawa Klang merupakan kawasan yang mencatatkan kadar jenayah tertinggi di Selangor, ia sekali gus mengukuhkan persepsi negatif masyarakat terhadap Klang Bandar Diraja berkenaan. Menurut beliau, trend peningkatan ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya berkait rapat dengan aktiviti sindiket dadah yang semakin aktif dan sistematik.

“Faktor utama ialah pertelingkahan dalam sindiket dadah yang menyebabkan jenayah semakin ketara di Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Berdasarkan sumber yang diperoleh oleh Nadi Bangi, siasatan pihak polis mendapati konflik antara kumpulan dalam sindiket dadah bukan sahaja mencetuskan persaingan sengit, malah turut membawa kepada peningkatan jenayah lain termasuk keganasan, ugutan dan pembunuhan. Pertelingkahan ini lazimnya melibatkan perebutan kawasan pengedaran, kawalan pasaran serta pengaruh dalam rangkaian jenayah yang lebih besar.

Antara kes yang mendapat perhatian termasuk kejadian pembunuhan seorang pengawal keselamatan di Bandar Bukit Raja pada April lalu, apabila mangsa diserang dengan objek tumpul selepas berlaku perselisihan faham ketika menjalankan rondaan. Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, manakala suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berjaya ditahan pihak polis. 

image

Sumber: Bernama

Situasi ini menunjukkan bahawa Klang bukan sahaja berdepan isu pengedaran dadah, malah turut menyaksikan peningkatan jenayah berat seperti pembunuhan dan keganasan. Dalam pada itu, kewujudan kumpulan kongsi gelap serta sindiket jenayah yang terlibat dalam pelbagai aktiviti haram seperti pemerasan, penyeludupan dan serangan fizikal turut memburukkan lagi keadaan serta meningkatkan tahap risiko keselamatan di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi menangani isu berkenaan. Antara usaha yang dilakukan termasuk menjalankan operasi secara berkala dan konsisten, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi berdasarkan analisis data jenayah.

Menurut DSP Wan Kamal Rizal, pemerhatian berasaskan data membolehkan pihak polis mengenal pasti lokasi tumpuan sindiket, seterusnya meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan. Operasi ini melibatkan pemantauan rapi, serbuan bersepadu serta kerjasama antara pelbagai unit dalam pasukan keselamatan.

Susulan itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha membanteras jenayah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa semata-mata. Sebaliknya, kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan membantu pihak polis mengenal pasti aktiviti jenayah di persekitaran masing-masing.

“Masyarakat perlu bersama PDRM dan tidak hanya bersandar kepada persepsi ‘Colombia Malaysia’ tanpa memahami usaha yang sedang dijalankan,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa persepsi negatif yang berterusan tanpa tindakan bersama hanya akan menjejaskan imej kawasan tersebut, selain boleh memberi kesan kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi penduduk.

Mengulas langkah PDRM untuk melindungi rakyat daripada jenayah, beliau memberi jaminan bahawa usaha berterusan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Klang sentiasa berada pada tahap terkawal. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah, khususnya sindiket dadah dan kumpulan jenayah terancang.

Dalam pada itu, keadaan ini turut memberi kesan terhadap persepsi masyarakat terhadap tahap keselamatan di Klang. Pelbagai spekulasi serta video tular di media sosial berkaitan kes-kes jenayah di kawasan tersebut turut menjadi perbualan dalam kalangan pengguna media sosial, sekali gus meningkatkan kebimbangan orang ramai terhadap isu keselamatan awam, khususnya melibatkan jenayah berat seperti pembunuhan dan pengedaran dadah. Pendekatan dari segi komunikasi oleh pihak PDRM seperti sidang media khas perlu diperkukuh bagi mengawal penyebaran maklumat tidak sahih serta membina semula keyakinan masyarakat terhadap keselamatan di kawasan Klang.

Selain itu, gelaran ‘Darul Colombia’ yang semakin tular di media sosial dilihat berpotensi memburukkan imej Klang sebagai kawasan ekonomi yang sedang membangun. Situasi ini boleh menyebabkan peniaga dan pelabur lebih berhati-hati, manakala penduduk setempat pula berdepan rasa kurang selamat dalam menjalani kehidupan seharian. 

Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam membanteras jenayah demi kesejahteraan bersama, bak kata pepatah, “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” kerana keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi juga seluruh masyarakat.