BERMULA DENGAN PITCHING IDEA, GEGAQ FESTIVAL KINI MENANG RM250,000 BERSAMA HOTLINK

Oleh: Nurul Umairah Binti Nur Hamdy, Alany Fatini Binti Alzafny, Nur Farah Alya Binti Sharuddin

image

Pemenang Hotlink Uni Legends 2025, (dari kiri) Pasukan Gegaqsters USM Nibong Tebal, Pasukan JSP UiTM Jasin dan Pasukan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Sesi 2024/2025 UiTM Kota Kinabalu.

NIBONG TEBAL, 15 MEI 2025— Apa yang bermula sebagai sebuah festival mahasiswa kini berkembang menjadi antara projek pelajar paling mendapat perhatian apabila Gegaq Festival berjaya membawa pulang kemenangan RM250,000 menerusi pertandingan Hotlink Uni Legend.

Di sebalik kejayaan itu, Shakeer Shaik Abdullah selaku Pengarah Festival Gegaq 25 tersebut berjaya menembusi arena pertandingan profesional melalui sesi pitching yang mencuri perhatian panel juri.

Menurut Shakeer, pasukan mereka pada awalnya hanya menjangkakan sekitar 5,000 pengunjung sepanjang festival berlangsung. Namun, sambutan luar biasa diterima apabila Gegaq Festival berjaya menghimpunkan seramai 16,298 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.

“Angka itu memang jauh melebihi ekspektasi kami sendiri dan menjadi salah satu bukti bahawa festival ini benar-benar mendapat sambutan daripada komuniti kampus dan luar,” Shakeer.

Kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa festival mahasiswa juga mampu berdiri setanding acara profesional sekiranya diberikan peluang dan platform yang tepat.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha yang mewakili Naib Canselor USM dalam majlis penutup berkata, kejayaan festival tersebut merupakan hasil komitmen, kerjasama dan dedikasi semua pihak sejak peringkat perancangan sehingga pelaksanaannya.

Menurut beliau, Festival Gegaq 2025 bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya menjadi platform yang menyatukan bakat, budaya dan komuniti dari tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

“Festival ini membuktikan bahawa apabila mahasiswa, industri dan masyarakat berganding bahu, sesuatu yang hebat dan berimpak besar dapat diwujudkan,” kata Mariatti.

Beliau turut menjelaskan bahawa program berskala besar seperti ini jarang dianjurkan di Kampus Kejuruteraan kerana kebiasaannya dilaksanakan di Kampus Induk. Namun, kerjasama Hotlink Uni Legend selaku penaja utama telah membuka ruang untuk merealisasikan penganjuran festival berskala besar di Nibong Tebal.

Geran bernilai RM250,000 yang dimenangi melalui Hotlink Uni Legends Challenge 2025 telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghidupkan 33 program merentasi pelbagai kategori, antaranya persembahan muzik, seni dan budaya, sukan, e-sukan, bengkel teknologi, pameran komuniti, program jaringan alumni serta aktiviti kemasyarakatan.

Festival tiga hari yang diadakan dari 5 hingga 7 Disember 2025 itu mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya mengumpulkan lebih 16,000 pengunjung, suatu pencapaian yang jauh melampaui anggaran awal seramai 6,000 orang.

Pengunjung turut dimanjakan dengan pelbagai hiburan dan aktiviti menarik, termasuk persembahan pentas oleh artis terkenal Bunkface dan Sofazr, larian Unity Run, pelbagai acara sukan yang mencabar, serta sesi bengkel yang memfokuskan kepada kemahiran digital.

Shakeer juga berkata pendekatan mereka yang lebih dekat dengan budaya mahasiswa menjadi faktor utama festival itu menonjol berbanding festival universiti lain.

Menurutnya, pasukan Gegaq bukan hanya memberi fokus kepada hiburan semata-mata, tetapi turut menitikberatkan penglibatan pelajar, pembangunan bakat dan pembinaan komuniti sepanjang festival berlangsung.

“Kami bukan hanya fokus pada hiburan, tetapi juga bagaimana festival itu boleh jadi platform untuk penglibatan pelajar, bakat, komuniti dan pengalaman yang memberi impak kepada pengunjung. Suasana yang dibawa lebih hidup, santai dan dekat dengan identiti pelajar,” katanya.

Pendekatan tersebut akhirnya berjaya menarik perhatian pihak Hotlink Uni Legend sehingga memilih Gegaq Festival sebagai antara pemenang utama pertandingan tersebut.

Kehadiran penonton pada festival tersebut dilaporkan jauh melebihi sasaran awal pasukan USM. Walaupun jumlah pengunjung yang besar menguji kapasiti operasi, beliau menyifatkannya sebagai satu kejutan yang menyeronokkan. Kejayaan ini membuktikan bahawa terdapat permintaan tinggi dalam kalangan mahasiswa Malaysia untuk ruang ekspresi seni yang sahih dan berkualiti.

image

Gimik penyerahan plak Hotlink kepada wakil Jawatankuasa Festival Gegaq, USM sebagai tanda pengiktirafan atas kejayaan penganjuran program.

Tambahan beliau secara peribadi, pengalaman mengendalikan festival sebesar itu memberi perubahan besar terhadap dirinya terutama dari sudut kepimpinan dan pengurusan tekanan.

“Saya belajar bagaimana untuk handle tekanan, membuat keputusan dalam situasi sukar dan memastikan satu pasukan besar boleh bergerak ke arah matlamat yang sama,” katanya.

Beliau mengakui pengalaman tersebut banyak mengubah cara dirinya melihat tanggungjawab, komunikasi dan kerja berpasukan dalam dunia sebenar.

Kemenangan itu juga dikatakan telah  membuka pelbagai peluang baharu buat dirinya terutama dalam aspek networking dan exposure bersama industri luar.

“Memang ada banyak ‘doors opened’ selepas kemenangan ini, terutama dari segi networking dan exposure,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi nasihat kepada mahasiswa yang ingin mencuba pertandingan pitching seperti Hotlink Uni Legend. “Jangan terlalu bergantung pada skrip. Yang paling penting ialah betul-betul faham program yang kita bawa,” katanya.

Menurutnya, apabila seseorang benar-benar memahami objektif, impak dan cabaran program yang dibawa, mereka akan lebih yakin untuk menjawab soalan panel tanpa kelihatan terlalu bergantung kepada hafalan.

Dengan kejayaan Gegaq Festival, Shakeer percaya mahasiswa hari ini mempunyai potensi besar untuk mencipta projek berskala profesional jika diberikan ruang, sokongan dan keberanian untuk mencuba.

Beliau turut menyuarakan harapan agar kejayaan Gegaq Festival dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain di seluruh Malaysia untuk tidak takut bermimpi besar. Menurutnya, batasan terbesar bukan terletak pada sumber atau kemudahan, tetapi pada keberanian untuk melangkah keluar daripada zon selesa. 

Shakeer juga berharap pihak universiti dan industri akan terus membuka lebih banyak platform seperti Hotlink Uni Legend bagi memberi ruang kepada mahasiswa untuk membuktikan kebolehan mereka di luar bilik kuliah.

Menurutnya, pengalaman praktikal sebegini jauh lebih berharga berbanding sekadar pencapaian akademik semata-mata kerana ia melatih mahasiswa untuk berhadapan dengan realiti dunia kerjaya yang sebenar.