Oleh: Sarah Izana Binti Roszmi, Nurin Batrisyia Wadihah Binti Mohd Razi

Majlis pembukaan Program SNIB Connects 2026 di Universiti Macau.
BANGI, 14 Apr – Program mobiliti yang dianjurkan Kolej Tun Syed Nasir bersama Kolej Ibu Zain (SNIB Connects 2026) ke Macau baru-baru ini berjaya menjalinkan hubungan strategik baharu di antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universiti Macau.
Program yang berlangsung selama tujuh hari yang disertai oleh 14 pelajar tersebut merupakan sebuah inisiatif untuk mendedahkan pelajar kepada persekitaran antarabangsa, meningkatkan pemahaman budaya setempat serta menjadi medan pertukaran budaya yang berkesan untuk memperluaskan pandangan dan pemikiran seorang penuntut universiti.
Delegasi SNIB Connects 2026 memulakan program mereka dengan lawatan ke University of Macau. Ketibaan mereka di Henry Fok Pearl Jubilee College disusuli dengan orientasi ringkas ke tempat penginapan para peserta sepanjang program tersebut. Sejurus selepas itu, mereka juga mengambil kesempatan untuk melawat Masjid Macau. Lawatan ini dilihat sebagai peluang penting untuk mendalami kehidupan komuniti Muslim dan memahami kepelbagaian budaya yang wujud di Macau.
Para peserta SNIB Connects 2026 meneruskan aktiviti dengan sesi perkongsian akademik dan eksplorasi budaya sekitar Macau. Para peserta didedahkan kepada sejarah, seni bina, serta perkembangan bandar Macau yang terkenal dengan gabungan unik budaya Timur dan Barat.
Pengalaman yang diperoleh pada hari ini bukan sahaja memberikan pemahaman mendalam tentang bagaimana budaya dan sejarah membentuk identiti sesuatu tempat malah ianya turut menggalakkan peserta untuk meningkatkan penghayatan terhadap kepelbagaian budaya di peringkat global.
Program SNIB CONNECTS 2026 juga menyaksikan perkongsian akademik dan kehidupan kampus antara pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Macau melalui sesi dialog dan perkongsian pandangan tentang pengalaman di kolej kediaman masing-masing. Keberkesanan sistem di Universiti Macau yang dipelajari secara langsung ini diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada para peserta untuk membawa perubahan positif sekembalinya mereka ke kampus.

Seorang pelajar Universiti Macau memberikan demonstrasi seni mempertahankan diri Cina
Pelajar UKM juga berpeluang menyertai bengkel Chinese Martial Arts dan memperkenalkan seni mempertahankan diri Melayu kepada pelajar Macau melalui Warisan Silat UKM. Pertukaran budaya seumpama ini berfungsi sebagai pembina jambatan persefahaman melalui pergerakan dan teknik yang membolehkan kedua-dua pihak menghargai kekayaan warisan budaya masing-masing. Pengalaman ini memupuk semangat saling menghormati dan kerjasama antarabangsa di kalangan pelajar.
“Sentuhan budaya berfungsi sebagai penghubung emosi dan meningkatkan persefahaman di kalangan mahasiswa dari pelbagai negara, menjadikan hubungan antarabangsa lebih tulus, bermakna dan kekal terpahat dalam memori pelajar.” ujar Chuah Tiong Li, ketua program tersebut.

Barisan peserta SNIB Connects lengkap berbaju tradisional pada Malam Kebudayaan.
Beberapa aktiviti pertukaran budaya lain juga telah berjaya memecahkan tembok perbezaan bahasa dan mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dari kedua-dua buah negara tersebut. Salah satunya adalah Malam Kebudayaan di mana pelajar Universiti Macau kagum dengan pertunjukan busana tradisional Malaysia seperti baju kurung songket dan kebaya Nyonya. Sebuah rutin tarian Boria juga disediakan sebagai salah satu persembahan tarian tradisional Malaysia.

Kegembiraan jelas terpancar pada muka peserta UKM dan Universiti Macau apabila mempersembahkan hasil seni tangan batik mereka.
Di samping itu, bengkel kraf batik dan kaligrafi bahasa Jawi turut menarik perhatian ramai pelajar antarabangsa. Dalam sesi kraftangan ini, pelajar UKM bertindak cemerlang sebagai duta kecil di mana mereka bukan sahaja melakukan perkongsian sejarah dan makna di sebalik motif seni batik malah turut memberi bimbingan secara persendirian (one-to-one) kepada pelajar antarabangsa untuk menghasilkan karya seni mereka yang tersendiri.
Pengalaman kreatif dan unik ini membolehkan para pelajar antarabangsa untuk meluahkan kreativiti mereka melalui pilihan warna dan teknik yang dipelajari. Menerusi aktiviti interaktif ini juga, delegasi pelajar dapat membina kerjasama rapat di antara satu sama lain dalam membina identiti budaya mereka serta meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap kesenian dan warisan Malaysia lebih-lebih lagi apabila di luar negara.
Dalam satu sesi temubual bersama salah seorang wakil penyelaras program, Zaireel Shamzy, beliau menegaskan betapa pentingnya pendedahan luar negara bagi mahasiswa masa kini. Beliau memberikan penekanan terhadap nilai tambah yang diperolehi melalui pengisian program yang padat dan berstruktur.

Zaireel Shamzy, ketujuh dari barisan kiri atas, menunjukkan hasil kerjasama seni pelajar UKM dan pelajar antarabangsa Macau.
“Program begini seharusnya memberikan penekanan dan galakan yang lebih intensif memandangkan ianya mampu memberi impak signifikan. Melalui inisiatif ini, para pelajar berpeluang untuk mendalami kepelbagaian budaya serta memahami keberkesanan sistem pembelajaran yang diterapkan di sana secara langsung,” jelas beliau ketika diminta mengulas mengenai matlamat jangka panjang lawatan tersebut.
Kenyataan ini selari dengan objektif program untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang di dalam dewan kuliah malah mempunyai minda yang terbuka terhadap perubahan global.
SNIB CONNECTS 2026 telah berjaya berfungsi sebagai pemangkin perubahan mentaliti, menanamkan keazaman untuk meneruskan kecemerlangan dan mempromosikan negara Malaysia di persada global.
Impak jangka panjang program ini terhadap mahasiswa UKM diharapkan dapat menghasilkan individu yang lebih terbuka minda, meraikan perbezaan dengan matang, berkeyakinan tinggi dalam memartabatkan identiti negara di arena global serta sentiasa proaktif berkongsi ilmu serta pengalaman yang diperoleh.
Kesemua peserta diharapkan dapat menjadi duta ilmu dan budaya yang boleh memastikan bahawa hubungan yang terjalin ini kekal subur dan memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan modal insan negara.


