Oleh: Nurul Anis Najihah Binti Aziziddin & Nik Syaheera Carmilla Danial Binti Nik Abdul Qadeer Hilmy

Pelakon menampilkan persembahan penuh penghayatan semasa pementasan berlangsung
BANGI, 18 Mei – Festival Teater UKM menyaksikan tiket persembahan habis dijual sehingga ada penonton sanggup duduk di tangga dewan bagi menyaksikan pementasan teater yang berlangsung di Panggung Seni UKM.
Program yang berlangsung sepanjang minggu ke-9 itu merupakan hasil kerjasama antara Pusat Kebudayaan Universiti dengan Kelab Teater Rimba UKM. Festival tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempersembahkan bakat lakonan, malah menjadi ruang pembelajaran dalam pelbagai aspek produksi teater seperti pengarahan, penulisan skrip, seni pentas, pengurusan pentas dan teknikal produksi.
Ketua Program Festival Teater UKM, Nurariana Natasha Mohd Azhari, 22, berkata festival berkenaan dianjurkan sebagai usaha untuk memperkukuhkan budaya seni teater dalam kalangan mahasiswa memandangkan UKM tidak mempunyai fakulti seni khusus.
Pelajar Tahun 3 bidang Psikologi di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) itu berkata, festival tersebut menjadi platform kepada mahasiswa untuk menonjolkan kreativiti dan bakat mereka dalam bidang seni persembahan.
“Festival Teater UKM ini sebenarnya diwujudkan untuk merangsang minat mahasiswa terhadap seni teater. Walaupun UKM tidak mempunyai fakulti seni secara khusus, kami mahu mahasiswa tetap mempunyai ruang untuk berkarya dan mengembangkan bakat mereka,” katanya.
Menurut Ariana, persiapan festival bermula sejak cuti semester lalu kerana proses penganjuran melibatkan pelbagai aspek termasuk latihan persembahan, penyediaan teknikal pentas, pemasaran program serta pengurusan penonton.
Katanya, jawatankuasa penganjur perlu menggunakan masa cuti semester sepenuhnya bagi memastikan setiap persembahan dapat dijalankan dengan lancar dan berkualiti.
“Sepanjang cuti semester kami memang fokus sepenuhnya kepada persiapan festival. Banyak perkara perlu disusun daripada latihan pelakon, penyediaan teknikal hinggalah pengurusan tiket dan penonton,” ujarnya.
Tambah ketua program itu lagi, sambutan yang diterima pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya sehingga terdapat hari tertentu yang mencatat kehadiran melebihi kapasiti tempat duduk.
“Tahun ini sambutan memang sangat menggalakkan. Ada hari yang tempat duduk penuh sehingga kami terpaksa mempertimbangkan penambahan tempat untuk penonton. Ia menunjukkan minat masyarakat terutama mahasiswa terhadap seni teater semakin meningkat,” katanya.
Salah satu pembaharuan utama yang diperkenalkan pada Festival Teater UKM tahun ini ialah penggunaan teknologi LED dalam pementasan teater. Menurut Ariana, penggunaan teknologi tersebut memberi impak besar terhadap kualiti visual persembahan dan membantu meningkatkan pengalaman penonton.
Ujarnya lagi, sebelum ini kebanyakan produksi hanya menggunakan latar pentas biasa serta prop fizikal yang dibina sendiri oleh pelajar. Namun pada tahun ini, pihak penganjur mengambil langkah menggunakan paparan LED sebagai latar belakang digital untuk mencipta suasana pementasan yang lebih moden dan menarik.
“Tahun ini kami cuba gunakan teknologi LED untuk menambah kualiti visual persembahan. Sebelum ini kami lebih banyak gunakan prop biasa dan latar pentas manual, tetapi LED membantu menjadikan pementasan lebih hidup dan kreatif,” katanya.
Penggunaan LED juga memberi kelebihan dari segi penjimatan kos kerana pelbagai latar dan suasana dapat dipaparkan secara digital tanpa perlu membina set pentas yang besar. Katanya, pendekatan tersebut membantu produksi mahasiswa yang mempunyai bajet terhad untuk menghasilkan persembahan berkualiti tinggi tanpa memerlukan kos yang terlalu besar.
“Penggunaan LED sebenarnya banyak membantu dari segi kos dan masa. Kami tidak perlu lagi menghasilkan terlalu banyak set fizikal kerana latar boleh dipaparkan secara digital. Pada masa sama, kualiti persembahan juga nampak lebih profesional,” ujarnya.
Walaupun penggunaan teknologi baharu itu mempunyai risiko tertentu terutama dari aspek teknikal, pihak penganjur berjaya mengendalikan cabaran tersebut dengan baik melalui kerjasama pasukan teknikal dan pemantauan rapi sepanjang persembahan berlangsung.
“Kami memang agak risau pada awalnya sebab ini kali pertama menggunakan LED secara besar-besaran dalam festival. Tetapi pasukan teknikal sentiasa memantau sistem dan memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Menurut Ariana, pihak penganjur menetapkan harga tiket RM5 bagi semua tempat duduk berbanding sistem kategori harga yang digunakan sebelum ini.
Ariana berkata bahawa keputusan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa untuk hadir menonton persembahan teater tanpa terbeban dengan kos tiket yang tinggi.
“Tahun sebelum ini kami ada beberapa kategori harga seperti RM5, RM7 dan RM10. Tetapi tahun ini kami seragamkan semua tiket kepada RM5 supaya lebih ramai orang mampu datang menonton,” katanya.
Jelasnya, pendekatan itu berjaya menarik lebih ramai penonton dan membantu meningkatkan sambutan terhadap festival. Sistem pembelian tiket juga dijalankan secara dalam talian dan secara terus (walk- in) di lokasi bagi memudahkan urusan penonton.
“Kami mahu semua orang ada peluang untuk menikmati seni teater. Bila harga tiket lebih murah, lebih ramai pelajar dan masyarakat luar datang memberi sokongan,” ujarnya.
Ariana juga berharap Festival Teater UKM akan terus berkembang pada masa akan datang dan menjadi platform penting dalam melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berbakat dalam bidang seni persembahan.
Menurut Ketua Program, festival tersebut bukan sekadar sebuah acara hiburan tetapi juga medium pembelajaran yang memberi pengalaman berharga kepada mahasiswa dalam aspek kreativiti, komunikasi dan pengurusan program.
“Saya harap festival ini dapat diteruskan setiap tahun dan menjadi ruang untuk mahasiswa terus berkarya serta menunjukkan bakat mereka kepada masyarakat,” katanya.
Festival Teater UKM dilihat bukan sahaja berjaya menghidupkan budaya seni persembahan dalam kalangan mahasiswa, malah turut membuktikan bahawa golongan muda mampu menghasilkan pementasan berkualiti melalui kreativiti, kerjasama dan penggunaan teknologi moden dalam dunia teater.
Sehubungan dengan itu, Nadi Bangi sempat mendapatkan reaksi daripada seorang pengunjung yang mengakui kali pertama menonton pementasan teater sepanjang hidupnya. Hamizah yang merupakan pelajar dari jurusan Antropologi dan Sosiologi tahun 3, Fakulti Sains Sosial, berkata, “Ini merupakan pengalaman pertama saya menonton teater sepanjang pengalaman hidup saya. Saya terpegun dan terpesona dengan teknik lakonan yang dipersembahkan oleh pelakon yang sememangnya berbeza berlakon secara live dengan berlakon di hadapan kamera.”
