“KALAU AWAK CAMPAK ANJING TEPI JALAN PUN, DIA AKAN AMBIL ANJING TU” – Fatin Afeefa Jawab Persoalan Isu Curang

Oleh: Bisha Dania Ilma Binti Hasbi, Nur Ameera Fitrah Binti Yusoff

image

Foto Instagram @fatinafeefa

CYBERJAYA, 15 MEI – Pelakon dan penyanyi, Fatin Afeefa menjawab isu tentang ‘trend’ curang yang semakin menjadi topik hangat di platform-platform media sosial kini semasa berlangsungnya acara Astral Market 1.0 di Rooftop Block E Tamarind Square, Cyberjaya, Selangor.

“Curang-curang ini dia berbalik kepada individu juga, kalau lelaki itu tidak pandai bersyukur memang dia akan curanglah. Awak campak anjing tepi jalan pun, dia akan ambil anjing itu. Sebab itu sememangnya lelaki yang tidak ada guna”. Katanya, apabila diajukan soalan berkaitan tentang tanggapan lelaki yang curang terhadap pasangan mereka.

“Tapi kalau macam untuk awak dapatkan lelaki yang baik, awak kena memperbanyakkan doa dan bila lelaki ajak berkahwin, jangan! Pastikan dia ada sifat ‘provider’ dulu baru kahwin.” Fatin Afeefa mengulas lanjut serta memberi nasihat kepada para gadis di luar sana agar sentiasa bijak dalam memilih pasangan hidup supaya hubungan tersebut tidak akan memakan diri sendiri kelak.

“Kalau ikutkan dulu saya bukan seorang yang boleh mengawal tekanan dengan baik, bila saya tertekan, saya akan lari dan saya akan menangis.  Tetapi lepas daripada semua benda-benda tu saya rasa macam ‘useless’. Sebab bila saya sedih dan bila saya lari, saya tak dapat buat duit.  Jadi, bila saya fikir semula, sedih lama-lama pun duit tidak dapat. Lebih baik saya cari duit dan sibukkan diri saya. Selepas itu, baru saya terfikir, kesedihan ini sebenarnya tak perlu lama-lama pun, jika awak bersedih, selepas itu awak perlu bangun semula. Sebab itu, seperti saya, kalau saya sedih lama-lama macam dahulu, saya tidak rasa yang saya akan berada kat sini lagi.” Fatin Afeefa berkata.

Fatin Afeefa menegaskan bahawa cara untuk mengawal kesedihannya adalah dengan menyibukkan diri agar tidak berlarut-larut dalam emosi sedih yang sedang dihadapinya. Dengan melakukan aktiviti harian, memberi fokus kepada kerjaya serta tanggungjawab sebagai ibu, beliau dapat mengalihkan fikiran daripada perkara yang boleh membebankan perasaan.

Fatin juga mengingatkan bahawa apa jua cabaran yang sedang dihadapi, seseorang itu harus bangkit semula dan tidak terus terperangkap dalam kesedihan. Menurutnya, setiap ujian dalam hidup adalah peluang untuk menjadi lebih kuat, dan lebih menghargai kehidupan. Beliau menekankan bahawa kekuatan diri datang apabila seseorang memilih untuk terus bergerak ke hadapan walaupun pernah jatuh.

Selain itu, Fatin Afeefa juga turut berkongsi tanggapannya bahawa suatu ketika dahulu dia sering berasa takut dan bimbang sekiranya perkara sebegitu berlaku terhadap dirinya. Namun, seiring dengan perjalanan waktu dan pengalaman yang dilalui, Fatin kini mengakui bahawa dirinya semakin matang dalam menilai sesuatu situasi serta lebih yakin dan percaya akan kejujuran serta kesetiaan suaminya ketika ini. Menurut Fatin, kepercayaan yang dibina dalam hubungan mereka sedikit sebanyak membuatkan dirinya lebih tenang dan tidak lagi terlalu memikirkan perkara negatif.

“Setakat ini, Alhamdulliah tiada apa-apa. Dia (suaminya) tidak ada melakukan perkara karut seperti ini. Tetapi, kalau dia buat pun, saya cantik apa!” Kata Fatin dengan nada bergurau. Tambahnya lagi, beliau amat menghormati dan percaya akan suaminya. 

“Saya bukanlah orang yang seperti itu. Sebab saya rasa itu ialah satu tekanan yang tidak perlu. Asalkan dia balik rumah menjadi suami yang baik dan itu sudah cukup bagi saya. Tapi kalau dah ‘kantoi’ dengan orang lain, saya terus tinggalkan. Jangan ‘kantoi’  je”, tambahnya lagi. 

Fatin Afeefa juga sempat menyatakan ucapan serta kata-kata inspirasi kepada para ibu tunggal dan semua ibu di luar sana sempena Hari Ibu yang disambut pada Ahad lepas, 10 Mei 2026 setiap tahun. 

“Inspirasi kepada ibu tunggal dan para ibu diluar sana, walaupun awak tiada sokongan yang awak perlukan, awak tidak perlu risau. Selagi awak punya niat itu untuk memberi anak awak makan, memang akan ada rezeki untuk awak dan anak. Yang penting, orang yang tidak memberi nafkah itu akan lingkup. Jadi awak jangan bersedih terlalu lama. Bina diri awak semula, cari duit banyak-banyak dan beri anak awak pendidikan yang paling terbaik.” Bagi Fatin pendidikan anak-anak merupakan perkara penting yang harus dititikberatkan oleh setiap ibu bapa apabila sudah mengalas tanggung jawab tersebut. 

“Sebab di dalam dunia ini, banyak-banyak perkara yang awak boleh beri kepada anak awak ialah pendidikan. Perkara yang tidak boleh ditukar beli. Awak ada duit banyak mana pun, tetapi jika anak awak tidak pandai, susah! Nanti jika awak dah meninggal dunia, tiba-tiba anak awak tak boleh hidup, sebab apa? Sebab anak itu tiada pendidikan. Jadi untuk para ibu diluar sana, jangan sedih lama-lama, sedih sekejap sahaja. Selepas itu, kuatkan dan majukan diri awak semula.”

Fatin Afeefa memberikan motivasi tersebut kerana beliau sendiri pernah melalui fasa membesarkan anak-anak tanpa kehadiran seorang suami pada suatu ketika dahulu. Pengalaman itu telah membuka perspektif baharu dalam hidupnya serta menjadi sumber inspirasi kepada orang lain untuk terus kekal positif, tabah dan kuat ketika menghadapi ujian dalam kehidupan berumah tangga. Beliau juga berharap agar setiap wanita sentiasa percaya pada diri sendiri, menjaga maruah diri serta terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan walaupun diuji dengan pelbagai cabaran kehidupan.

Authors