Oleh: Azhar Abrisham & Rozaireen Binti Rozi

Penumpang terpaksa menunggu berjam-jam tanpa kepastian di lapangan terbang domestik
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Tiga jam berdiri, duduk dan merenung papan jadual penerbangan yang terus berubah, namun pesawat masih tidak berlepas. Itulah realiti yang dikongsi beberapa penumpang domestik dalam temu bual eksklusif bersama Nadi Bangi baru-baru ini.
Bagi mereka, kelewatan penerbangan bukan lagi sekadar gangguan kecil, sebaliknya menjejaskan perancangan harian, menghabiskan wang dan memenatkan emosi. Ada yang terpaksa menukar jadual kerja, membatalkan pertemuan keluarga dan menanggung kos tambahan hanya kerana menunggu penerbangan yang tidak pasti waktu pelepasannya.
Menerusi rakaman temu bual bersama wartawan Nadi Bangi, Reen dan Azhar, beberapa penumpang menceritakan pengalaman mereka berdepan kelewatan penerbangan domestik yang berlaku berulang kali. Purata masa menunggu dilaporkan antara satu setengah hingga tiga jam, malah ada yang pernah menunggu lebih lama tanpa sebarang maklumat yang jelas.
Antara kes yang dikongsikan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai apabila sebuah penerbangan yang dijadualkan berlepas sekitar pukul 7 atau 8 malam ditunda sehingga pukul 10 malam tanpa penjelasan yang memuaskan daripada syarikat penerbangan.
Di Pulau Pinang pula, seorang penumpang turut mengalami kelewatan hampir dua jam, sekali gus menunjukkan isu tersebut bukan kejadian terpencil. Menurut penumpang terbabit, maklumat mengenai kelewatan hanya dipaparkan di papan jadual penerbangan tanpa pengumuman lanjut kepada penumpang di ruang menunggu.
Ketika ditemu bual wartawan Nadi Bangi, Reen dan Azhar bersama Pegawai Perhubungan Pelanggan Malaysia Aviation Group, Azwan Syah Mahakh, beliau menjelaskan bahawa isu kelewatan dan pembatalan penerbangan boleh berlaku disebabkan beberapa faktor yang kadangkala di luar kawalan syarikat penerbangan.
Menurut beliau, antara faktor utama ialah masalah teknikal yang membabitkan aspek keselamatan pesawat, keadaan cuaca yang tidak menentu serta situasi tidak dijangka seperti isu melibatkan penumpang dan urusan operasi lain.
“Keselamatan penumpang dan kru sentiasa menjadi keutamaan. Jika terdapat sebarang isu teknikal pada pesawat, pihak syarikat perlu memastikan pemeriksaan dilakukan terlebih dahulu sebelum penerbangan dibenarkan berlepas,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa faktor cuaca seperti hujan lebat, ribut petir dan jarak penglihatan rendah juga boleh menyebabkan perubahan jadual penerbangan demi memastikan operasi berjalan dengan selamat.
“Kadangkala terdapat juga situasi yang tidak dapat dijangka seperti masalah melibatkan penumpang, kekangan operasi lapangan terbang atau isu logistik yang boleh memberi kesan kepada jadual penerbangan,” katanya lagi.
Sharifah, 24, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata dia pernah mengalami tiga situasi yang paling ditakuti penumpang iaitu kelewatan penerbangan, pembatalan penerbangan dan terlepas penerbangan sambungan.
“Sangat menyusahkan dan memang rugi. Kita dah ada itinerary sendiri, semua perancangan dah siap. Bila delay, semuanya jadi huru-hara,” katanya.
Menurut Sharifah, dia tidak menerima sebarang pampasan walaupun terpaksa menunggu hampir tiga jam di lapangan terbang. Dia juga mengakui tidak membeli insurans perjalanan untuk penerbangan domestik tersebut, sesuatu yang kini disesalinya selepas beberapa pengalaman kurang menyenangkan.
“Kalau delay sebab cuaca, saya boleh faham. Tapi kalau masalah teknikal, saya rasa agak mengecewakan. Mungkin pihak syarikat boleh sediakan pesawat lain atau maklumkan lebih awal,” katanya lagi.
Rakannya, Sarah, turut bersetuju bahawa kerugian terbesar akibat kelewatan penerbangan ialah masa, terutama bagi mereka yang mempunyai jadual ketat atau urusan penting sebaik tiba di destinasi.
“Masa itu sangat berharga. Kadang-kadang kita dah rancang semuanya dengan teliti, tapi bila penerbangan lewat, semua jadi terganggu,” katanya ringkas.
Bagi Khairul Bariyah, 28, pengalaman yang dialami lebih mencabar. Pekerja yang kerap berulang-alik antara Pulau Pinang dan Langkawi itu berkata dia pernah berdepan masalah ketika pulang dari Busan, Korea Selatan.
Menurutnya, selepas transit di Vietnam sebelum tiba di Kuala Lumpur, penerbangan sambungannya ke Pulau Pinang telah dijadualkan lebih awal tanpa notis yang mencukupi ketika dia masih berada dalam penerbangan.
“Ada akibatnya. Tiket lama hangus dan saya terpaksa beli tiket baharu dengan harga yang lebih mahal,” katanya.
Situasi itu menyebabkan perancangannya terganggu dan dia berdepan kebimbangan untuk pulang pada malam yang sama. Dia juga terpaksa menunggu lebih lama di lapangan terbang sementara mencari penerbangan alternatif yang masih mempunyai kekosongan tempat duduk.
“Saya risau kalau terpaksa bermalam di lapangan terbang sebab tak tahu sempat atau tidak untuk balik,” katanya.
Tinjauan Nadi Bangi di media sosial turut mendapati ramai pengguna berkongsi pengalaman hampir sama berkaitan kelewatan penerbangan domestik, khususnya pada musim cuti umum dan hujung minggu. Ada yang mendakwa menerima maklumat pada saat akhir, manakala sebahagian lagi kecewa kerana sukar mendapatkan penjelasan daripada pihak syarikat penerbangan.
Walaupun kecewa, Sharifah memilih untuk melihat situasi tersebut dari sudut yang lebih positif.
“Mungkin ada hikmah di sebalik kelewatan itu. Mana tahu Tuhan nak elakkan sesuatu daripada berlaku,” katanya.
Namun bagi kebanyakan penumpang, kesabaran tetap mempunyai batas, terutama bagi mereka yang perlu mengejar jadual kerja, mengurus keluarga atau menyambung penerbangan lain.
Mereka bukan sekadar nama dalam senarai penumpang, tetapi individu yang penat menunggu sambil memikirkan kos tambahan, perubahan jadual dan ketidakpastian perjalanan.
Apa yang mereka harapkan bukanlah sesuatu yang besar, sebaliknya hanya kepastian, komunikasi yang jelas dan sedikit penghargaan terhadap masa penumpang.

