Oleh: Nur Ameera Fitrah Binti Yusoff & Bisha Dania Ilma Binti Hasbi

CYBERJAYA, 16 MEI – Usahawan jenama SVG Worldwide dan pengasas Astral Cafe juga selaku pempengaruh, Muhammad Ashraf Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Ashraf Anuar ditemu ramah Nadi Bangi secara langsung bagi menjawab isu kontroversi kafe miliknya yang tular di platform ‘Threads’ baru-baru ini semasa berlakunya acara Astral Market 1.0 di Astral Cafe, Tamarind Square, Cyberjaya.
“Jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Kami masih lagi tidak ada dapur yang serba lengkap, jadi jika pelanggan mengharapkan pilihan makanan seperti ‘pasta’ yang lebih sedap atau sebagainya, lebih baik pergi ke kedai makan di bawah, tunjukkan sokongan kepada mereka yang lebih serba lengkap,” kata Ashraf Anuar, menyarankan agar pelanggan yang hendak mencari makanan yang lebih berkualiti dari segi kesedapan dan beraneka jenis untuk langsung memberi sokongan kepada kedai-kedai makan dan kafe di tingkat bawah Tamarind Square, Cyberjaya.
Ashraf Anuar memohon maaf susulan kecaman di platform ‘Threads’ berkenaan kualiti makanan dan minuman di kafe miliknya, “Jika mereka memberi maklum balas tentang kualiti makanan dan minuman, kami minta maaf sangat-sangat kerana tujuan kafe ini ditubuhkan untuk mereka yang mahukan suasana dan tempat untuk mengeratkan hubungan sesama mereka. Bukan saya mahu katakan tempat ini hanya untuk melepak, tetapi ini juga merupakan tempat saya dan rakan-rakan saya berkumpul, merapatkan lagi hubungan dan tempat untuk saya dan kenalan berinteraksi bagi mengeluarkan idea.”
Ashraf Anuar menyatakan bahawa kafe yang ditubukan bukanlah untuk ‘menjual’ makanan dan minuman semata-mata tetapi bagi mewujudkan ruang sosial. Beliau menyatakan kafe yang ditubuhkan itu salah satu inisiatif untuk menyediakan ruang berkumpul dan tempat bagi menyatukan rakan-rakan, komuniti atau pelanggan untuk meluangkan masa bersama dalam suasana yang lebih santai.
Namun begitu, beliau dan pasukannya tetap komited dalam mengambil langkah untuk menambah baik lagi dari segi perkhidmatan, selain mempertingkatkan mutu hidangan makanan dan minuman yang disajikan. Menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut, Ashraf berkata, “Sudah semestinya, kami masih mengambil maklum balas dan cuba untuk meningkatkan lagi servis kami. Kami mengambil hal ini secara profesional. Tetapi kepada siapa yang mahukan tempat dengan suasana yang lebih santai, inilah tempatnya.”
Selain itu, Ashraf Anuar turut tampil menjawab spekulasi berunsur kecaman di platform ‘Threads’ berhubung isu kronisme, sejurus selepas beliau memberikan penjelasan mengenai kualiti kafe berkenaan. Sebelum ini, semasa isu kualiti makanan dan minuman di Astral Cafe sedang tular, beliau sudah pun menjelaskan hala tuju dan konsep asal kafe tersebut. Bagaimanapun, penjelasan itu menerima reaksi negatif daripada warga siber sehingga mencetuskan pertikaian seperti, “Adakah sebenarnya kafe ini hanya untuk kroni SVG sahaja?” dan “Adakah Ashraf Anuar mahukan kelompok mereka sahaja yang datang?”.
“Kami tidak pernah menganggap konsep kafe ini sebagai kronisme, ianya terbuka kepada siapa-siapa pun yang berminat untuk cuba dan datang ke kafe kami, Astral Cafe. Mengikut selera dan minat masing-masing, jika mereka tidak gemar akan suasana dan konsep kafe kami, kami mohon maaf sangat-sangat kerana tidak menepati citarasa mereka. Tetapi, mereka boleh cuba, mana tahu mungkin kafe kami menepati cita rasa mereka.” Jelas beliau lagi, perbezaan minat dan cita rasa pelanggan adalah sesuatu yang subjektif, namun beliau dan pasukannya sedia menerima segala pandangan dengan hati yang terbuka demi memastikan kelangsungan operasi kafe berkenaan kekal relevan dalam kalangan komuniti.
Berkesempatan itu, Ashraf membuka ruang dan mengalu-alukan kepada semua peniaga yang bersungguh-sungguh serta berminat untuk berniaga bagi acara Astral Market yang akan datang.
Ashraf berkata “Ini adalah salah satu rangka tindakan 1.0 bagi acara Astral Market untuk kawan-kawan dan pengunjung tahu dahulu akan keberadaan Astral Market ini. Bagi acara Astral Market yang seterusnya kita nak kembangkan lagi mungkin kita akan bawakan banyak lagi usahawan tempatan. Jadi, kita sediakan platform yang boleh membantu mereka semua menjana pendapatan mereka melalui acara sebegini. Tapak untuk unit-unit lot kedai ini kita tidak akan kenakan sebarang caj bayaran, kalau ada pun mungkin kurang dari RM100 hanya untuk orang tersebut komited terhadap tapak mereka itu sendiri.”
“Saya ada ramai kawan yang memang hebat berniaga, kawan-kawan yang memang terkenal, jadi saya bukanlah mempergunakan mereka, tapi saya rasa ini adalah sebuah idea yang terbaik untuk mereka dan orang luar yang mungkin mengidolakan mereka ini untuk dapat bersama-sama mengenali satu sama lain dengan lebih rapat. Sebab di media sosial pasti mereka tidak dapat sepenuhnya untuk membalas mesej peminat mereka tetapi di acara ini peminat boleh berbual bersama dan menanyakan soalan secara langsung kepada mereka.” tambahnya lagi. Selain daripada jenama lokal, selebriti dan pempengaruh turut dijemput berniaga di Astral Market yang akan datang.
Ashraf juga turut mengucapkan terima kasih kepada para pengunjung dan semua yang terlibat dalam menjayakan dan memeriahkan acara Astral Market 1.0 ini. “Saya boleh bagi 9/10 dari segi kehadiran dan juga sambutan, tapi dari segi kesempurnaan itu saya bagi 7/10, maksud saya, saya nak lebih bersedia untuk menerima sambutan-sambutan luar yang lagi ‘power’ jadi saya dan pasukan saya akan berbincang terlebih dahulu untuk apa yang boleh kita ‘upgrade’ dan beri pada komuniti diluar bagi acara Astral Market 2.0 yang seterusnya.”

