Melangkaui Sempadan Akademik, Tiga Tokoh Mahasiswa Raih Pengiktirafan Dalam Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025

Oleh: Nur Farah Alya, Nurul Umairah &  Alany Fatini 

image

Pemenang Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025, (dari kiri) Muhammad Haikal bin Hamidi penerima Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025, manakala Farah Hazelina binti @ Bie Tan menerima Anugerah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) 2025 dan  Nylea binti Adzlan meraih Anugerah Tokoh Seni Budaya Siswa 2025

BANGI, 21 Mei 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi meraikan kecemerlangan mahasiswa menerusi Majlis Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025 yang mengiktiraf pelajar-pelajar cemerlang atas sumbangan, kepimpinan, bakat dan komitmen mereka sepanjang bergelar warga universiti. Pengiktirafan ini bukan sahaja menilai pencapaian akademik, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan, kesukarelawanan serta penglibatan dalam aktiviti yang memberi impak kepada masyarakat.

Pada majlis tersebut, Muhammad Haikal bin Hamidi pelajar Fakulti Pendidikan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025 dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.00, manakala Farah Hazelina binti @ Bie Tan dari Fakulti Sains dan Teknologi menerima Anugerah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) 2025, membawa pulang wang tunai sebanyak RM400.00. Sementara itu, Nylea binti Adzlan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan berjaya meraih Anugerah Tokoh Seni Budaya Siswa 2025 dan wang tunai sebanyak RM300.00 atas pencapaian dan penglibatan aktif beliau dalam bidang seni dan kebudayaan.

Bagi Muhammad Haikal, kejayaan yang diraih merupakan hasil daripada pengorbanan dan komitmen yang berterusan sepanjang pengajian. Beliau mengakui bahawa cabaran terbesar yang dihadapi adalah mengurus masa antara akademik, kepimpinan mahasiswa, penglibatan program dan tanggungjawab terhadap keluarga. Sebagai seorang pelajar yang aktif dalam pelbagai program dan organisasi, beliau sering berdepan kesukaran untuk mengekalkan keseimbangan antara kehidupan peribadi dan komitmen sebagai pemimpin pelajar.

Menurut beliau, penglibatan aktif dalam program-program universiti telah membuka peluang untuk membina jaringan hubungan yang luas serta memperkukuhkan kemahiran kepimpinan. Beliau percaya bahawa pengalaman tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian dan keyakinan diri sehingga membolehkan beliau mencapai tahap yang membanggakan pada hari ini. Selepas menerima anugerah tersebut, Muhammad Haikal berhasrat untuk meneruskan kecemerlangan dengan menyertai pertandingan dan pengiktirafan di peringkat yang lebih tinggi, termasuk Anugerah Tokoh Siswa Negara.

Sementara itu, Farah Hazelina atau lebih dikenali sebagai Hazel berkongsi bahawa cabaran terbesar sepanjang pengajiannya bukan datang daripada faktor luaran, sebaliknya daripada dirinya sendiri. Beliau sering berhadapan dengan konflik dalaman, keraguan diri serta pemikiran negatif yang menyebabkan beliau mempersoalkan kemampuan diri untuk mencapai sesuatu kejayaan. Namun begitu, beliau percaya bahawa perubahan pemikiran dan keupayaan untuk mengawal mindset merupakan kunci utama dalam mengatasi cabaran kehidupan.

Hazel turut menegaskan bahawa prinsip yang sentiasa menjadi pegangan hidupnya ialah memperbetulkan niat dan sentiasa berbuat baik kepada semua orang. Baginya, setiap usaha yang dilakukan tidak seharusnya berlandaskan keinginan untuk memperoleh pengiktirafan, gelaran atau kedudukan tertentu, sebaliknya perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan demi memberi manfaat kepada orang lain. Semangat tersebut mendorong beliau untuk terus aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

Selepas menerima Anugerah Timbalan Naib Canselor HEPA 2025, Hazel berhasrat untuk membantu lebih ramai individu mencapai potensi diri dan berani merebut peluang yang tersedia. Pada masa yang sama, beliau sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat vaksin serta membangunkan projek perlindungan haiwan atau Animal Shelter. Projek tersebut tercetus daripada minat mendalam beliau terhadap kebajikan haiwan dan pengalaman membantu haiwan terbiar bersama keluarganya. Beliau berharap projek tersebut dapat diperluaskan pada masa hadapan serta membuka lebih banyak peluang kesukarelawanan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Tokoh Seni Budaya Siswa 2025, Nylea binti Adzlan, menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai pemangkin semangat untuk terus mengembangkan potensi dalam bidang seni dan hiburan. Walaupun mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi, minat yang mendalam terhadap seni budaya mendorong beliau untuk aktif menyertai pelbagai program kebudayaan sepanjang berada di UKM.

Menurut Nylea, antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah mengekalkan komitmen dalam usaha mencapai matlamat yang diimpikan. Beliau percaya bahawa setiap kejayaan memerlukan perjalanan yang panjang, disiplin yang tinggi serta kesanggupan untuk berkorban. Penglibatan aktif dalam aktiviti kebudayaan turut membantu beliau membina keyakinan diri, sekali gus mengubah dirinya daripada seorang yang pemalu kepada individu yang lebih berani tampil di hadapan khalayak.

Beliau turut berkongsi bahawa penyertaannya dalam program hiburan Dewi Remaja merupakan salah satu platform yang membolehkan beliau mengembangkan bakat serta memperluaskan pengalaman dalam bidang seni dan hiburan. Selepas menamatkan pengajian dan latihan industri, Nylea berhasrat untuk meneroka peluang dalam industri kreatif sambil terus mengembangkan kerjaya profesionalnya.

image

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman, yang turut merasmikan majlis ini. Turut hadir Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Sufian Jusoh.

Kejayaan ketiga-tiga penerima anugerah ini membuktikan bahawa kecemerlangan mahasiswa tidak terhad kepada pencapaian akademik semata-mata. Sebaliknya, kecemerlangan tersebut turut terhasil melalui kepimpinan yang berwibawa, sumbangan kepada komuniti, pembangunan bakat serta kesungguhan untuk mencipta impak positif kepada masyarakat. Pengiktirafan menerusi Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025 diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga mahasiswa untuk terus berusaha, berbakti dan melakar kecemerlangan dalam pelbagai bidang.