Kesesakan di Sempadan Pengkalan Kubor – Takbai Tidak Lunturkan Semangat Pelancong

Oleh: Sharifah Hanis & Nik Auni Tasnim

PENGKALAN KUBOR, 2 Jun – Kesesakan luar biasa di laluan feri Pengkalan Kubor ke Tak Bai sempena musim cuti sekolah yang panjang tidak mematahkan semangat rakyat Malaysia yang memilih Thailand sebagai destinasi percutian mereka. Walaupun terpaksa menunggu berjam lamanya sebelum dapat menaiki feri, ramai pengunjung masih kekal bersemangat dan teruja untuk meneruskan perjalanan mereka ke negara jiran itu.

Bagi salah seorang pengunjung Saiful Bahari, 56, pengalaman menunggu dalam barisan panjang di jeti berkenaan dianggap sebagai sebahagian daripada perjalanan yang perlu ditempuh demi menikmati percutian yang menarik bersama keluarga.

Menurutnya, mereka sekeluarga bertolak dari Chendering, Terengganu seawal jam 4 pagi sebelum tiba di Pengkalan Kubor sekitar jam 8 pagi. Namun, mereka dimaklumkan yang mereka dijangkakan akan dapat melepasi sempadan menjelang tengah hari selepas menunggu giliran mereka pula untuk menaiki feri.

“Kami datang dari Chendering, Terengganu. Kami nak pergi ke selatan Thailand sahaja, macam Narathiwat, Pattani dan Hatyai. Kami tengok dalam TikTok tempat-tempat menarik dan rasa nak cuba pergi juga,” katanya ketika ditemui di jeti berkenaan.

Menurut pengunjung lain, Nurul Nur Fatihah Shapie, 24, perjalanan kali ini merupakan pengalaman pertama beliau menggunakan laluan feri Pengkalan Kubor ke Tak Bai untuk memasuki Thailand. Sebelum ini, beliau lebih kerap menggunakan laluan darat melalui sempadan Rantau Panjang ke Golok.

“Biasanya kami ikut sempadan Rantau Panjang ke Golok melalui laluan darat. Ini kali pertama kami lalu sempadan Pengkalan Kubor ke Tak Bai ikut feri,” jelasnya.

Walaupun beliau bersama rakan terpaksa menunggu hampir lima jam, Nurul mengakui beliau tetap berasa teruja kerana berpeluang mencuba laluan baharu yang belum pernah digunakan sebelum ini.

“Kami dah tunggu hampir lima jam sebenarnya untuk naik feri. Memang penat, tetapi kami juga teruja sebab tak pernah lalu jalan ini. Jadi kami sanggup beratur dan tunggu,” tambahnya.

Beliau turut mengakui tempoh menunggu kali ini lebih lama berbanding pengalaman yang pernah dilaluinya sebelum ini ketika menggunakan laluan sempadan lain.

“Agak lama kalau dibandingkan dengan laluan satu lagi. Tetapi kami faham sebab tunggu feri yang ada satu sahaja antara dua negara,” ujarnya.

Bagi Mohd Shahir Ali, 30, keadaan cuaca panas menjadi antara cabaran utama yang dihadapi oleh pengunjung seperti sepanjang menunggu giliran menaiki feri. Namun begitu, Mohd berkata keadaan masih dapat diatasi dengan baik kerana mereka mempunyai peluang untuk berehat seketika apabila barisan kenderaan tidak bergerak.

“Penat itu memang ada. Tetapi nasib baik kereta tak bergerak langsung, jadi kami boleh turun dan pergi cari makanan,” katanya.

Untuk Mohd, musim cuti sekolah merupakan waktu yang paling sesuai untuk membawa keluarga bercuti kerana anak-anak mempunyai masa lapang untuk meluangkan masa bersama.

“Waktu anak-anak cuti inilah ada masa nak pergi berjalan. Kalau tidak, memang tak pergi mana-mana,” katanya.

Walaupun berdepan kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang, beliau memaklumkan keadaan itu tidak menjejaskan perancangan perjalanan yang telah disusun lebih awal.

“Rancangan kami memang nak bermalam di Thailand. Jadi kalau masuk waktu tengah hari pun masih sempat ikut plan kami,” jelasnya.

Menurut beliau, keterujaan untuk bercuti ke Thailand masih kekal walaupun perlu menunggu lama di jeti kerana negara itu mempunyai suasana yang berbeza berbanding Malaysia.

Vibes Thailand tak sama dengan Malaysia kalau nak bercuti. Jadi walaupun lama, kami okay sahaja nak tunggu,” katanya.

Thailand sememangnya terus menjadi antara destinasi pilihan rakyat Malaysia, khususnya ketika musim cuti sekolah dan cuti umum. Bagi Mohd, faktor makanan, harga yang berpatutan serta kualiti perkhidmatan menjadi antara sebab utama ramai pelancong memilih untuk kembali berkunjung ke negara tersebut.

“Sebab makanan dan harga yang murah. Perkhidmatan pun sangat bagus, jadi buat orang nak datang lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengunjung lain Amirul Fahmi Hamdi, 28, meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pengurusan trafik dan berharap agar pengurusan trafik dan operasi feri di laluan berkenaan dapat dipertingkatkan pada masa hadapan bagi mengurangkan tempoh menunggu yang dialami pengguna.

Menurutnya, penyediaan lebih banyak feri ketika musim cuti atau penggunaan feri yang lebih pantas boleh membantu melancarkan pergerakan penumpang dan kenderaan.

“Boleh sediakan lebih banyak feri kalau dah tahu musim cuti dan ramai orang nak guna. Atau gunakan feri yang lebih laju supaya tak mengambil masa terlalu lama dan orang tak perlu menunggu sangat,” katanya.

Nur Bazilah Mahussin, 26, yang turut berkongsi pengalaman sama pengunjung lain berkata beliau berasa gembira kerana berpeluang bercuti dan meluangkan masa bersama rakan-rakan, namun mengakui tempoh menunggu yang panjang sedikit memenatkan.

“Gembira dapat jalan-jalan, tetapi pada masa yang sama letih sebab masa menunggu itu lama,” katanya.

Menurutnya, kesesakan luar biasa yang berlaku menyebabkan beliau berasa agak tertekan kerana tidak menjangkakan jumlah kenderaan yang begitu banyak di laluan berkenaan.

“Saya agak overwhelmed dengan kesesakan itu. Mungkin lain kali saya boleh merancang perjalanan dengan lebih baik,” ujarnya.

Walaupun berdepan kesesakan serta tempoh menunggu yang panjang, semangat para pelancong untuk meneruskan percutian jelas tidak luntur. Bagi mereka, pengalaman dan keseronokan yang menanti di destinasi percutian menjadi alasan utama untuk terus bersabar, sekali gus menjadikan perjalanan itu sebahagian daripada kenangan yang akan diingati bersama keluarga, rakan dan orang yang tersayang.