Maruah Mahasiswa Bukan Perkara Kecil

Oleh: Danieal Arisna , Hanna Zuqrina

Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi menjelaskan dakwaan insiden yang berlaku menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial. Sumber: Tangkap layar TikTok @nikalifaiman.ariffahmi

BANGI, 2 Jun Dakwaan yang melibatkan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UITM), Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, perlu dilihat bukan sekadar sebagai satu insiden tular di media sosial, tetapi sebagai peringatan bahawa maruah mahasiswa tidak boleh dipandang ringan dalam mana-mana ruang pendidikan.

Isu berkenaan mendapat perhatian selepas Nik Alif mendakwa dirinya ditampar oleh seorang ahli politik ketika menghadiri sebuah program kepimpinan baru-baru ini.

Walaupun dakwaan tersebut masih menjadi perbincangan awam, perkara yang lebih penting untuk diberi perhatian ialah bagaimana mahasiswa dilayan apabila berada dalam program rasmi yang melibatkan pihak berpengaruh atau individu berautoriti.

Dalam penjelasannya, Nik Alif menegaskan bahawa perkara tersebut bukan sekadar pertikaian peribadi, sebaliknya berkait rapat dengan maruah seorang mahasiswa.

“Ini bukan pertikaian, tapi ini adalah isu maruah,” katanya menerusi satu video penjelasan yang dimuat naik di media sosial.

Kenyataan itu wajar direnung kerana mahasiswa sering berada pada kedudukan yang lebih lemah apabila berhadapan dengan pihak yang mempunyai kuasa, jawatan atau pengaruh tertentu.

Dalam keadaan seperti ini, mahasiswa mungkin sukar mempertahankan diri sekiranya ditegur secara terbuka, dipermalukan di hadapan khalayak atau diperlakukan dengan cara yang boleh menjatuhkan harga diri mereka.

Mahasiswa bukan lagi kanak-kanak yang hanya perlu menerima arahan tanpa ruang untuk bersuara, sebaliknya mereka ialah golongan dewasa muda yang sedang dibentuk menjadi pemimpin dan warga masyarakat yang matang.

Oleh itu, setiap teguran terhadap mahasiswa seharusnya dibuat dengan adab, profesionalisme dan rasa hormat, bukan melalui pendekatan yang boleh menimbulkan rasa takut atau malu. Teguran dalam dunia pendidikan bukan sesuatu yang salah kerana ia masih diperlukan untuk membentuk disiplin, tanggungjawab dan kematangan pelajar.

Namun, teguran yang baik sepatutnya membina, bukan menjatuhkan. Jika teguran dibuat secara kasar atau menyentuh maruah seseorang, ia bukan sahaja memberi kesan kepada emosi pelajar, malah boleh menghakis keyakinan mahasiswa untuk bersuara dalam ruang awam. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyebabkan budaya takut bersuara berkembang dalam kalangan mahasiswa, sekali gus menjejaskan peranan universiti sebagai medan perbincangan dan pertukaran idea yang sihat.

Nik Alif turut menyatakan bahawa dirinya dibesarkan dengan nilai bahawa maruah manusia perlu dipertahankan tanpa mengira latar belakang atau kedudukan seseorang.

“Saya dibesarkan dengan nilai bahawasanya maruah manusia mesti dipertahankan,” katanya.

Prinsip tersebut sepatutnya menjadi asas dalam setiap interaksi, termasuk antara mahasiswa dengan penganjur program, tetamu jemputan, ahli politik atau mana-mana individu yang hadir dalam ruang pendidikan. Hubungan yang sihat antara pihak berautoriti dan mahasiswa perlu dibina atas dasar saling menghormati serta memahami peranan masing-masing.

Mahasiswa boleh ditegur, tetapi mereka tidak wajar diaibkan. Mahasiswa boleh dinasihati, tetapi mereka tidak sepatutnya direndahkan. Begitu juga mahasiswa perlu menerima teguran dengan terbuka, namun teguran itu mestilah disampaikan secara berhemah dan berlandaskan nilai kemanusiaan.

Dalam isu seperti ini, masyarakat tidak sepatutnya hanya bertanya sama ada sesuatu tindakan itu berlaku atau tidak, tetapi perlu turut menilai budaya layanan terhadap mahasiswa dalam program rasmi.

Jika budaya menegur secara kasar dianggap biasa, institusi pendidikan berisiko melahirkan mahasiswa yang takut bersuara dan lebih selesa berdiam diri walaupun berasa tidak adil. Budaya takut bersuara ini bertentangan dengan fungsi universiti sebagai ruang yang sepatutnya melatih mahasiswa untuk berfikir secara kritis, bertanya dan menyatakan pandangan secara matang.

Universiti bukan sekadar tempat menerima ilmu, tetapi juga ruang untuk membina keberanian, keyakinan dan keupayaan mahasiswa mempertahankan prinsip. Mahasiswa yang berani menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab merupakan aset penting kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Dalam masa sama, mahasiswa juga tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk menjaga adab, menghormati majlis dan menyuarakan pandangan melalui cara yang berhemah.

Namun, tuntutan supaya mahasiswa beradab tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan layanan yang menjatuhkan maruah mereka. Hak dan tanggungjawab perlu berjalan seiring supaya budaya pendidikan tidak hanya menuntut mahasiswa menghormati orang lain, tetapi turut memastikan mahasiswa sendiri dihormati.

Justeru, isu yang dibangkitkan Nik Alif wajar menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa maruah mahasiswa bukan perkara kecil. Ia berkait dengan budaya ilmu, kebebasan bersuara, keselamatan emosi dan kedudukan mahasiswa sebagai sebahagian daripada komuniti pendidikan tinggi. Setiap program rasmi yang melibatkan mahasiswa perlu memastikan wujud batas komunikasi yang jelas antara pelajar, penganjur dan tetamu jemputan.

Saluran aduan juga perlu diperkukuh supaya mahasiswa berani melaporkan sebarang kejadian yang dianggap tidak wajar tanpa rasa takut dikenakan tekanan atau tindakan balas.

Pada akhirnya, pendidikan tinggi tidak sepatutnya membentuk mahasiswa melalui rasa takut, tetapi melalui dialog, penghormatan dan komunikasi yang matang. Maruah mahasiswa mesti dipertahankan kerana mahasiswa yang dihormati akan lebih berani bersuara, lebih yakin memimpin dan lebih matang dalam menyumbang kepada masyarakat.