Oleh: Aqilah Nadhirah & Izhan Zaidi

FINAS terima pengesahan berhubung penamatan tayangan filem Konspirasi daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dan Media Prima Berhad selaku pengedar filem tersebut.
KUALA LUMPUR: Tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam Malaysia telah dihentikan bermula 28 Mei lalu selepas pihak penerbit, Elepfilm Entertainment membuat keputusan dalaman untuk menamatkan tayangan filem tersebut.
Perkara itu pada awalnya dimaklumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi satu kenyataan media bertarikh 29 Mei 2026. Menurut FINAS, pihaknya menerima maklumat berhubung penamatan tayangan filem berkenaan daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pempamer pawagam.
FINAS menjelaskan, berdasarkan emel daripada pihak penerbit yang dikongsikan kepada agensi itu, Elepfilm Entertainment telah meminta supaya tayangan filem Konspirasi ditamatkan bermula pada 28 Mei 2026.
Semakan FINAS bersama pihak pengedar dan pempamer filem turut mendapati keputusan penamatan tayangan tersebut dibuat atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak.
Dalam kenyataan sama, FINAS mengesahkan bahawa filem Konspirasi telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026. Filem tersebut mula ditayangkan pada 21 Mei 2026 di 120 skrin pawagam seluruh negara
FINAS turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi pihak penerbit filem Konspirasi bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan penamatan tayangan itu.

Elepfilm Entertainment menegaskan penamatan tayangan filem Konspirasi adalah keputusan dalaman dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
Susulan kenyataan FINAS, Elepfilm Entertainment tampil mengeluarkan kenyataan rasmi pada 31 Mei 2026 bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung penamatan tayangan filem Konspirasi.
Menurut pihak pengurusan Elepfilm Entertainment, keputusan untuk menghentikan tayangan filem tersebut di pawagam dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan berdasarkan situasi semasa.
Penerbit itu menegaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat secara dalaman oleh pihak pengurusan dan bukan bertujuan untuk publisiti atau strategi pemasaran. Elepfilm Entertainment turut menafikan dakwaan bahawa terdapat mana-mana pihak yang mempengaruhi keputusan tersebut.
“Tiada mana-mana pihak yang mempengaruhi keputusan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, Elepfilm Entertainment memohon agar semua pihak menghentikan sebarang spekulasi, andaian atau penyebaran maklumat yang tidak sahih berhubung isu penamatan tayangan filem itu.
Pihak penerbit turut menyatakan penghargaan terhadap segala maklum balas, sokongan dan pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap tayangan filem Konspirasi.
Elepfilm Entertainment juga berharap para penonton akan terus memberikan sokongan kepada tenaga kreatif yang terlibat dalam filem tersebut serta industri perfileman tempatan secara keseluruhannya.

Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim dalam satu hantaran di media sosial berkongsikan berita mengejut tentang penamatan tayangan filem Konspirasi.
Terdahulu berita tentang penamatan tayangan Konspirasi dikongsikan oleh pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim yang turut membintangi Konspirasi melalui satu hantaran di media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads, Sarimah meluahkan rasa terkejut apabila menerima maklumat bahawa tayangan filem tersebut telah dihentikan tanpa sebarang alasan yang jelas.
“Saya dapat berita yang mengejutkan. Filem Konspirasi terpaksa dihentikan tayangan di semua panggung wayang serta merta. Malaysia, apa sudah berlaku? Sejujurnya, ini kali kedua saya menghadapi situasi sangat pelik pasal filem. Nak cerita semua karang terlebih. Mungkin nanti,” ciapannya.
Dalam pada itu, Sarimah turut mempersoalkan bagaimana filem tersebut masih boleh ditayangkan di Singapura, namun tidak di negara sendiri yang terpaksa melalui situasi yang berbeza.
“Tapi, di Singapura, konspirasi masih terus ditayangkan. Orang Johor Bahru kena ke seberang untuk menonton. Mungkin di luar boleh menerima cerita berat. Cerita kita Malaysia,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, Sarimah turut mendakwa poster filem berkenaan telah diturunkan di sesetengah pawagam pada hari kedua tayangan, selain ruang promosi digantikan dengan filem lain malah tempoh tayangan di beberapa lokasi menjadi lebih singkat daripada yang dijadualkan.
“Diberitahu minggu lepas, hari kedua dah ada poster Konspirasi diturunkan dan tak dibenarkan iklan di pawagam. Tapi filem lokal lain yang diletak. Timing untuk tayangan kat panggung semua terus kurang dari separuh pada hari ketiga! Belum pun bagi peluang macam mana sesuatu filem nak cuba berjaya kalau tak diberi ruang atau peluang pun?” tambahnya lagi.
Untuk info, filem Konspirasi arahan Ghaz Abu Bakar diterbitkan oleh Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films.
Konspirasi mengangkat kisah badan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu misi berisiko tinggi untuk membanteras jenayah rasuah dan kebocoran maklumat sulit.
Antara pelakon yang membintangi filem ini adalah Che Puan Sarimah Ibrahim, Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Roy Azman dan Esma Daniel.
Berdasarkan jalan cerita, filem ini memaparkan SPRM menerima maklumat mengenai sebuah pelayar tersembunyi yang menyimpan data ahli politik korup serta transaksi kewangan luar negara.
Operasi yang diketuai pasukan elit itu pada awalnya lancar, namun, bertukar kacau bilau apabila sebahagian data mula bocor ke media dan laman gelap.
