Oleh: Ameera Nadieya Binti Ali Hassan, Anna Batrisyia Binti Azlan Iskandar

BANGI, 14 Apr – Konsert PESTALARA 2026 bakal menampilkan barisan artis tanah air yang terkenal antaranya juara kepada Anugerah Juara Lagu ke-38, Amir Jahari, diiringi oleh persembahan kumpulan Imsoniacks, Fimie Don dan Heidi Moru.
Konsert itu difahamkan akan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada 18 April ini.
Menurut Pengarah program Danish Dzarfan, program ini bertujuan menyemarakkan seni muzik dalam kalangan anak muda serta menyediakan platform hiburan berkualiti di arena universiti.
“Objektif konsert ini adalah untuk meningkatkan seni muzik khususnya dalam kalangan belia. Saya juga memilih untuk mengadakan PESTALARA 2026 demi mencapai sasaran dalam meneruskan pembikinan konsert berskala besar di universiti”
Beliau turut menyatakan konsert ini memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu yang baharu walaupun tanpa pengalaman mengendalikan acara berskala besar.
“Sasaran saya untuk konsert ini juga adalah untuk memastikan ahli jawatankuasa yang lain dapat menceburi bidang baharu khususnya dalam pengurusan kerana konsert ini merupakan acara yang besar dan dari segi pengurusan pula ia berbeza dengan program yang lain.”
Dalam pada itu, Danish turut mengakui cabaran utama sepanjang menjayakan konsert ini adalah dari aspek pengurusan tenaga kerja yang besar.
“Cabarannya adalah apabila saya perlu mengurus kira-kira 150 ahli jawatankuasa dalam satu masa. Dalam tempoh persediaan penting, ada juga dalam kalangan mereka yang perlu memberi komitmen akademik selain pulang ke rumah sempena cuti semester,” katanya.
Nazmi Azim selaku Penasihat program turut menjelaskan pemilihan lokasi penganjuran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukanlah sesuatu yang dibuat secara kebetulan, sebaliknya selari dengan identiti institusi tersebut yang menitikberatkan seni persembahan.
“Kami memilih untuk mengadakan PESTALARA di UKM kerana universiti ini amat menekankan seni persembahan, khususnya seni kebudayaan. Kebanyakan program kesenian di sini mengetengahkan elemen muzik tradisional. Jadi, kami membawa konsert PESTALARA ke sini untuk memperbanyakkan pertunjukkan ‘band scene’ serta muzik moden” katanya.
Beliau turut menegaskan terdapat sedikit perbezaan edisi kali ini berbanding konsert yang pernah dianjurkan sebelum ini iaitu Panggung Malaya Pop.
Panggung Malaya Pop merupakan sebuah konsert sulung yang dianjurkan pada tahun 2023 oleh pihak penganjur dan mereka menampilkan barisan artis tempatan terkenal seperti kumpulan Masdo.
Kejayaan penganjuran edisi pertama ini telah mencetuskan fenomena tersendiri, sekali gus mendorong penganjur untuk meneruskan kesinambungan tersebut melalui penganjuran Panggung Malaya Pop 2.0, yang turut memperluaskan skala acara dengan penglibatan artis antarabangsa.
“Sebelum ini kami telah menampilkan penyanyi Indonesia iaitu Cakra Khan bersama Marsha Milan dan Hafiz Suip sebagai elemen pertukaran budaya. Kali ini, fokus kami adalah kepada komuniti band dan artis independen tempatan yang mempunyai pengikut tersendiri” ujarnya.
Tambahnya lagi, harga tiket untuk konsert PESTALARA 2026 juga adalah jauh lebih berpatutan daripada sebelumnya. Kali ini mereka tampil membawa harga yang lebih mampu milik.
“Terdapat perbezaan dari segi harga tiket dimana pada konsert kami sebelum ini, harga tiket jauh lebih mahal kerana ia setanding dengan artis antarabangsa serta kumpulan orkestra yang kami telah bawakan ketika itu. Kini kami meletakkan harga tiket yang berpatutan mengikut kesesuaian acara”
“Kami juga meletakkan harga istimewa khususnya buat pelajar demi memastikan mereka di luar sana mampu membeli dan merasai pengalaman konsert dengan baik. Walau bagaimanapun, mereka yang telah membeli tiket pada harga asal akan dapat keistimewaan antaranya memperoleh cenderamata program dan tempat duduk yang lebih dekat dengan pentas” katanya.
Selain acara konsert, pihak penganjur bakal mengadakan aktiviti menarik seperti bengkel RESONA yang dibuat secara terbuka pada 17 April 2026.
“Sehari sebelum konsert, kami juga akan mengadakan bengkel vokal secara terbuka dengan tujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang ilmu vokal serta seni persembahan bersama guru vokal yang mempunyai pengalaman khususnya di dalam industri seni .”
“Kami juga akan mengadakan cabutan tiket bertuah ketika konsert dijalankan dimana pemenang akan mendapat cenderamata PESTALARA 2026”
Keunikan PESTALARA 2026 turut terserlah dengan slot penampilan khas yang dijangka akan menjadi tarikan utama pada hari kejadian.
“Selain daripada barisan artis utama, kami juga membawa 3 orang jemputan khas yang merupakan kejutan dan telah pun didedahkan baru-baru ini. Antaranya, Sean Lee, Kecik dari Astro Gempak dan Yonnyboi. Yonny akan membuat persembahan bersama kumpulan Imsoniacks nanti” kata Danish.
Antara lain yang menarik seperti kejayaan PESTALARA 2026 kali ini disokong melalui kerjasama dengan jenama terkenal seperti Zus, Silkygirl dan Astro Gempak sebagai rakan media.
Tiket telah mula dijual pada harga RM104.30 (Pulang), RM83.30 (Hasrat) dan RM55.30 (Koyak Ikatan) dan hanya boleh didapati melalui Ticket2U.
