Oleh: Areleen Farina Binti Ahmad Farouk, Nurul Izzati Binti Mohd Azham

Baju raya pelbagai rekaan dipamerkan di sebuah butik di Bangi Gateway yang menawarkan pilihan pakaian tradisional moden dengan harga yang berbeza mengikut material dan reka bentuk.
BANGI, 11 Apr – Rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan sederhana merungut terhadap kenaikan harga baju raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di pasaran tempatan, di mana pengguna terpaksa mengubah strategi pembelian secara dalam talian atau memilih pakaian yang lebih murah.
Tinjauan Nadi Bangi yang dilakukan di beberapa pusat membeli-belah sekitar Bangi mendapati harga sepasang baju raya kini berada dalam lingkungan RM180 hingga RM450 bergantung kepada jenis material dan jenama.
Salah seorang pelanggan di Bangi Gateaway, Siti Sakinah Samsudin, 23, berkata kenaikan harga baju raya yang mendadak tersebut memberi kesan yang besar kepada rancangan perbelanjaannya kerana dia terpaksa mengeluarkan bajet yang lebih banyak untuk membeli pakaian raya bagi dirinya dan ahli keluarga.
“Kalau ikutkan memang ada rasa terbeban sebab harga makin mahal, tapi kualiti pula ada yang tak sama dengan harga yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di pusat membeli-belah di sana.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan di Bangi Gateaway, Puteri Irna Rahmat, 22, berkata dia kini lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti dalam perancangan perbelanjaan baju raya kerana sebelum ini boleh membeli beberapa pasang, tetapi kini perlu bijak memilih pakaian yang berkualiti dan sesuai dengan bajet, malah baju yang murah pun boleh didapati dengan kualiti yang lebih baik.
“Saya terpaksa pakai baju lama kerana raya tahun ini saya lebih kepada berjimat atas faktor baju raya yang sangat mahal sehingga diluar bajet saya,” katanya.
Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan pelanggan kini lebih cenderung mengutamakan kualiti kain berbanding jenama dalam membuat pilihan pembelian baju raya.
Menurut seorang lagi pelanggan di Bangi Gateway yang ingin dikenali sebagai Muhammad Azim Jamal, 24, dia pula berkata sekiranya sesuatu pakaian itu benar-benar berbaloi dari segi kualiti, dia bersedia untuk membayar lebih, namun bukan kerana jenama semata-mata, sebaliknya lebih mengutamakan kualiti kain yang tahan lama dan selesa dipakai.
Dalam masa yang sama, peniaga turut mengakui kenaikan harga bukanlah sesuatu yang disengajakan, sebaliknya daripada peningkatan kos yang sukar dielakkan.
Menurut salah seorang Pengasas Butik Puteri N Rex, Putri Rex, kenaikan harga baju raya pada tahun ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk peningkatan kos bahan mentah serta kos operasi yang tidak dapat dielakkan.
“Bagi saya, kenaikan harga baju raya ini ialah kerana permintaan pasaran yang sangat tinggi yang secara tidak langsung menaikkan harga, dan pada masa sama trend sekarang membuatkan harga sekitar RM300 ke atas sudah menjadi perkara biasa,” katanya.
“Jika dibandingkan dengan dahulu sekitar tahun 1990-an atau awal 2000-an, harga baju raya sekitar RM100 hingga RM200 sudah dianggap biasa, namun kini harga tersebut meningkat kerana baju raya hadir dengan lebih lengkap termasuk hiasan seperti manik, renda dan butang yang menjadikannya lebih ‘complete’ dan berbeza daripada dahulu,” katanya.
“Kalau ikutkan, memang banyak sebab yang buat harga baju raya naik, paling kita boleh nampak adalah harga kain, belum kira kos operasi macam sewa kedai, gaji pekerja, elektrik semua tu pun naik. Jadi bila dua-dua meningkat, memang harga jualan tu terpaksa ikut sekali,” ujarnya lagi.
Sementara itu, tinjauan oleh Nadi Bangi turut mendapati bahawa ramai pengguna kini lebih cenderung membeli sehelai baju raya sahaja atau mengitar semula pakaian raya lama bagi mengelakkan pembaziran.
Menurut Maya Qistina Rashid, 30, dia pula memilih untuk memakai semula baju raya lama kerana berpendapat selagi pakaian tersebut masih elok dan boleh digunakan, tidak perlu untuk membeli yang baharu.
Di samping itu, tinjauan Nadi Bangi turut menunjukkan bahawa pengguna kini lebih cenderung membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membeli baju raya, sama ada secara dalam talian mahupun di kedai fizikal.
Hal ini berlaku kerana pengguna ingin memastikan mereka mendapat nilai terbaik mengikut bajet yang telah ditetapkan bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, terdapat juga peningkatan trend pembelian secara dalam talian kerana platform e-dagang menawarkan lebih banyak pilihan serta harga yang lebih kompetitif.
Selain faktor harga, trend fesyen semasa juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi permintaan baju raya setiap tahun.
Rekaan yang lebih moden, ringkas dan eksklusif dilihat lebih mendapat sambutan dalam kalangan pengguna berbanding rekaan tradisional.
Bagi sesetengah pelanggan, kenaikan harga masih dianggap berbaloi sekiranya pakaian yang dibeli mempunyai kualiti yang baik dan tahan lama untuk digunakan dalam jangka masa panjang.
Walau bagaimanapun, terdapat juga sebahagian pengguna yang merasakan harga baju raya yang semakin meningkat sedikit sebanyak membebankan golongan berpendapatan sederhana.
Sebahagian pelanggan turut memilih untuk membeli baju raya pada saat akhir atau menunggu jualan murah bagi mendapatkan harga yang lebih rendah.
“Sebagai pengunjung, saya berharap peniaga dapat menawarkan harga yang lebih berpatutan dan kerajaan pula dapat memainkan peranan dalam mengawal kenaikan harga supaya tidak terlalu membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan sederhana,” kata salah seorang pelanggan di Bangi Gateaway.
Situasi ini jelas menunjukkan realiti kos sara hidup yang semakin meningkat, di mana masyarakat terpaksa membuat penyesuaian dalam perbelanjaan, manakala peniaga pula perlu berdepan cabaran mengekalkan harga mampu milik tanpa menjejaskan keuntungan.

