Program KITARA Cetus Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Lenggeng.

Oleh: Puteri Nur Adriana binti Amzah 

Gambar: Muhammad Iman Mukhriz bin Abdul Rashid 

LENGGENG, 13 MEI – Isu keselamatan jalan raya, terutamanya yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di kawasan luar bandar, sering kali menjadi perhatian utama pelbagai pihak.

Menyedari hakikat bahawa kesedaran awal mampu menyelamatkan nyawa, program yang dinamakan KITARA: Komuniti Selamat di Jalan Raya telah berjaya dianjurkan dengan penuh impak.

Program yang berteraskan khidmat masyarakat ini telah direncanakan dan digerakkan sepenuhnya oleh pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Penganjuran ini adalah sebahagian daripada pengisian penting menerusi kursus Engineers in Society atau lebih dikenali sebagai Service Learning Malaysia University for Society (SULAM).

Matlamat utama KITARA adalah untuk meningkatkan kesedaran komuniti setempat mengenai kepentingan menjaga keselamatan jalan raya melalui pendekatan yang lebih segar dan dinamik. Selain daripada menyampaikan teori akademik, program ini menggunakan kaedah aktiviti pendidikan, sesi ceramah yang informatif, serta demonstrasi fizikal serta interaktif bagi memastikan mesej yang disampaikan benar-benar memberi impak positif kepada para peserta.

Oleh itu, inisiatif ini juga bertujuan untuk memupuk budaya penggunaan jalan raya yang lebih selamat dan berhemah dalam kalangan komuniti kampung. Perkara ini dijayakan melalui jalinan kerjasama dan penglibatan aktif bersama pihak berkepentingan serta agensi-agensi keselamatan jalan raya yang bertauliah.

Lokasi pilihan bagi pelaksanaan program berimpak tinggi ini adalah di Sekolah Kebangsaan Kampung Sungai Machang Hilir, Lenggeng, Negeri Sembilan. Kehadiran para peserta amat menggalakkan apabila seramai 100 orang penduduk kampung telah meluangkan masa untuk hadir. Kumpulan sasaran ini merangkumi golongan ibu bapa, guru-guru sekolah serta golongan belia yang menjadi pelapis masa hadapan.

Fokus utama pengisian program ini adalah untuk memberikan pendedahan yang mendalam mengenai risiko serta punca-punca kemalangan jalan raya. Pada masa yang sama, ia bertujuan membentuk sikap yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin, dan berhati-hati ketika menunggang motosikal, memandangkan kenderaan beroda dua ini merupakan pengangkutan harian utama bagi majoriti penduduk di kawasan berkenaan.

Bagi memastikan program tidak kelihatan hambar, pihak urus setia pelajar UiTM telah merangka pelbagai aktiviti yang menarik dan santai. Pendekatan ini terbukti berkesan dalam memastikan penyampaian ilmu dan mesej keselamatan dapat diserap secara optimum oleh semua peringkat umur. Antara aktiviti utama yang telah dijalankan sepanjang program berlangsung termasuk ceramah keselamatan jalan raya yang dikongsikan oleh pakar bagi mendedahkan statistik kemalangan, etika pemanduan, dan kepentingan penggunaan topi keledar yang mengikut piawaian.

Pertandingan mewarna merupakan aktiviti khusus yang direka untuk kanak-kanak bagi memupuk kesedaran awal dan minda celik keselamatan jalan raya secara santai dan kreatif. Kemudian, explorace keselamatan. Sukaneka berpasukan yang mencabar fizikal dan minda, di mana setiap stesen memerlukan peserta menyelesaikan tugasan bertemakan undang-undang dan keselamatan jalan raya.

Pemasangan kanta cembung di selekoh jalan merupakan satu sumbangan fizikal dan praktikal daripada pelajar kejuruteraan awam UiTM dan MIROS untuk komuniti kampung. Pemasangan kanta cembung ini dilakukan di titik panas atau selekoh berbahaya bagi membantu meningkatkan jarak penglihatan pemandu sekaligus mengurangkan risiko kemalangan.

Pemasangan kanta cembung di selekoh jalan yang disempurnakan oleh JPKK Kampung Sungai Machang Hilir, pelajar dan pensyarah UiTM dan MIROS.

image

Pemasangan kanta cembung di selekoh jalan yang disempurnakan oleh JPKK Kampung Sungai Machang Hilir, pelajar dan pensyarah UiTM dan MIROS. 

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan dengan gilang-gemilang oleh YB Datuk Haji Asna bin Haji Amin, seorang ahli politik yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng. Kehadiran beliau membuktikan sokongan padu kepimpinan tempatan terhadap program-program berasaskan keselamatan.

Menurut Penasihat KITARA, Ir. Ts. Gs. Dr. Rosmawati binti Mamat, program berimpak tinggi seperti ini tidak seharusnya terhenti disini sahaja. Beliau menyatakan bahawa program seumpama ini akan terus dirancang dan diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu inisiatif kelestarian keselamatan jalan raya. Fokus utama masa hadapan akan terus ditumpukan kepada pelajar-pelajar sekolah dan penduduk kampung melalui kolaborasi strategik bersama Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS).

“Banyak aktiviti yang ingin kami sediakan berdasarkan keselamatan jalan raya. Jadi, perbincangan dengan MIROS dan juga UiTM memang kami nak terapkan program seperti ini yang memfokuskan kepada pelajar sekolah dan juga penduduk kampung,” ujar Dr. Rosmawati.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya. Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Ishak. Beliau menegaskan bahawa pihak MIROS amat komited dalam menjalankan dan memperkasakan aktiviti-aktiviti program keselamatan jalan raya secara inklusif, khususnya di peringkat komuniti kampung dan dalam kalangan golongan belia.

Dengan adanya sinergi yang mantap antara institusi menara gading seperti UiTM, agensi penyelidikan seperti MIROS dan sokongan padu komuniti setempat, program seperti KITARA: Komuniti Selamat di Jalan Raya diharapkan mampu menjadi anjakan paradigma dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang lebih prihatin dan selamat di jalan raya.