Oleh: Nadia Yasmin Binti Zulamin, Puteri Qistina Binti Megat Zulhazmi

Poster Sunny Side Up Market yang berlangsung pada 3 hingga 5 April di The Campus Ampang
AMPANG, 5 Apr – Sunny Side Up Market: Edisi Easteryang berlangsung dengan penuh kemeriahan dari 3 hingga 5 April di The Campus Ampang berjaya mencatat sebagai penganjur pemburuan telur Easter (Easter Egg Treasure Hunt) terbesar di Malaysia.
Suasana dimeriahkan lagi dengan para pengunjung yang hadir memadati kawasan acara sepanjang tiga hari berturut-turut. Lebih istimewa, sebanyak 3,000 biji telur mainan yang telah ‘disembunyikan’ di setiap sudut untuk sambutan Hari Ahad Easter berjaya dituntut habis dalam masa yang singkat.
Daripada coklat sehinggalah baucar membeli-belah, para pengunjung mempunyai peluang untuk memenangi pelbagai hadiah yang menarik dan ini membuktikan ketinggian minat masyarakat terhadap acara sebegini.

Sunny Side Up Market yang meriah dengan pelbagai gerai jualan dan pengunjung
Seawal 10 pagi, pengunjung sudah mula memenuhi kawasan deretan gerai di Sunny Side Up Market untuk memulakan sesi membeli-belah. Antara yang menarik perhatian pengunjung ialah sebanyak lebih 50 buah gerai menawarkan produk-produk tempatan berkualiti tinggi daripada makanan dan minuman artisanal, fesyen tempatan, aksesori buatan tangan sehingga barang rumah dan gaya hidup yang bercita rasa tinggi dan mampu milik.
Turut ditawarkan pelbagai barangan buatan tangan seperti sabun semula jadi, lilin aromaterapi, serta pelbagai produk kecantikan organik yang sukar dijumpai di pasaraya biasa. Kehadiran gerai-gerai ini bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk mereka, malah turut membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali dan menyokong jenama-jenama produk buatan Malaysia.
Penganjur turut mengambil inisiatif menghidupkan semula permainan kanak-kanak untuk tidak ketinggalan menikmati acara ini disamping pengunjung dewasa. Zon permainan YangYang Circus turut disediakan dan dilengkapi dengan mainan tradisional Cina iaitu memutar piring dan aktiviti interaktif seperti memberi makan patung arnab dengan lobak merah yang menjadikan acara ini sesuai disertai bagi pengunjung cilik dan dewasa.
Disamping itu, pengenalan kepada elemen budaya berlainan juga membuka ruang kepada pengunjung pelbagai kaum untuk saling mengenali dan menghargai kepelbagaian budaya dalam suasana meriah membeli-belah.

Telur Easter yang “tersembunyi” di gerai kecil dan kanak-kanak memberi makan lobak merah pada patung arnab yang disediakan di zon kanak-kanak; YangYang Circus
“Anak-anak saya sangat teruja dengan mainan arnab dan lobak yang ada di acara ni. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan penganjur di sebalik penganjuran acara ini. Selain itu, terdapat juga sarkas mini serta permainan tradisional,” ujar Syarifah, 34, salah seorang pengunjung yang hadir bersama keluarganya dari Subang Jaya.
Bagi beliau, acara sebegini bukan sahaja menghiburkan, malah mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.
Pada asalnya merupakan Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL), The Campus Ampang kini menjelma sebagai sebuah hub komuniti moden yang menggabungkan gaya hidup, ruang kedai dan seni di bawah satu bumbung yang selesa.

Sebanyak 3000 telur Easter yang mengandungi hadiah menarik disorokkan di sekitar Sunny Side Up Market
Lokasinya yang strategik di tengah bandaraya Kuala Lumpur menjadikan The Campus Ampang tempat yang sesuai untuk menganjurkan pelbagai acara yang berbeza bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjur acara Sunny Side Up Market berkata kekuatan utama acara ini bukan hanya pada produk yang dijual, tetapi pada interaksi antara peniaga dan komuniti yang hadir.
“Kami berhasrat untuk mewujudkan satu ruang komuniti yang bukan hanya fokus pada aspek jualan tetapi juga satu pengalaman gaya hidup yang menghubungkan orang ramai dengan jenama tempatan” katanya.
Beliau berkata, konsep pasar pop-up seperti ini juga memberi ruang kepada usahawan kecil untuk berkembang dalam suasana yang lebih mesra dan terbuka.
“Kalau kita lihat hari ini, kemeriahan itu memang sangat ketara. Dari gerai makanan, kopi artisanal sehinggalah ke produk kreatif buatan sendiri, semuanya mendapat perhatian pengunjung. Setiap booth mempunyai keistimewaan sendiri dan itu yang membuatkan pasar ini unik,” tambah beliau.
Kejayaan penganjuran acara ini sekali gus memperkukuh nama Sunny Side Up Market sebagai yang berjaya menarik komuniti serta mengukuhkan identitinya sebagai acara mesra keluarga. Dalam masa yang sama, The Campus Ampang menjadi ruang interaksi sosial dan aktiviti yang santai buat para pengunjung. Ini membuka ruang yang besar kepada penganjur untuk menganjurkan acara akan datang dengan skala yang lebih kreatif, tersusun dan meriah.

