TAKTIK LICIK VAPE DADAH DAN BUDAYA ‘PEACE OF MIND’ PERANGKAP MAHASISWA MASA INI

Oleh: Thanam A/P Subramaniam & Nurina Amani Binti Norazaruddin

image

Dari kiri: Nur Fakhiyah Husna Mohd Haris Fadzilah (Moderator), Dr. Aishah Abas (Pakar Kesihatan Awam) dan Encik Herman Mohlisi (Pegawai Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, PUSPEN). 

BANGI, 14 MEI – Pakar Kesihatan Awam, Dr. Aishah Abas, dan Pegawai PUSPEN, Encik Herman Mohlisi, telah mendedahkan ancaman kritikal dadah terhadap mahasiswa, yang memfokuskan kepada kebanjiran vape mengandungi dadah serta budaya hedonisme ‘Peace Of Mind’, melalui forum “Tekanan Tinggi, Dadah: Satu Solusi atau Risiko?” dianjurkan oleh Kelab Urusetia Pembimbing Rakan Siswa (UPRS) UKM dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (PEMADAM) UKM sempena Hari Terbuka UPRS x PEMADAM Sejahtera @ Kampus di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Panel Pakar Kesihatan Awam menyifatkan kecenderungan Gen Z atau “Generasi Strawberry” untuk meneroka budaya moden yang tidak sihat. Dr. Aishah Abas menjelaskan bahawa golongan ini sering terjebak dengan trend semasa, termasuk menghadiri konsert demi mencari “Peace Of Mind”, yang akhirnya membawa kepada insiden penyalahgunaan dadah yang membimbangkan.

Menyentuh aspek biologi, beliau menjelaskan bahawa dadah moden dalam bentuk cecair jauh lebih berbahaya kerana mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan otak berbanding dadah tradisional. Walaupun evolusi dadah terus berlaku, impak akhirnya tetap sama iaitu kemusnahan diri dan kehilangan kesedaran.

Mengulas mengenai isu mudah akses bahan terlarang yang semakin membimbangkan, Dr. Aishah Abas mendedahkan taktik licik segelintir pengusaha kedai vape yang dikesan bertindak sebagai ejen pengedaran dadah secara halus.Beliau menyatakan bahawa satu operasi serbuan bersepadu yang melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas hampir 600 premis vape di seluruh negara telah membongkar penemuan yang amat menggemparkan.

“Banyak premis didapati menggunakan modus operandi yang sangat licik. Di bahagian hadapan kedai, mereka mempamerkan lesen perniagaan yang sah bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa. Namun hakikatnya, di bahagian belakang kedai yang terselindung, mereka menyimpan dan menjual cecair vape yang mengandungi dadah, termasuk dadah jenis Magic Mushroom.

“Penjualan ini dilakukan secara sembunyi namun ia sangat mudah diakses oleh sesiapa sahaja. Apabila mahasiswa mula berasa tertekan dengan bebanan tugasan atau mengejar tarikh akhir menyiapkan kerja kursus, mereka mudah tergelincir mencari jalan pintas ini tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghisap racun yang perlahan-lahan memusnahkan fungsi otak,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Aishah Abas turut mengecam budaya hiburan itu yang sering dijadikan alasan oleh anak muda masa ini untuk mencari ketenangan fikiran. Beliau berkongsi satu tragedi menyayat hati yang berlaku sewaktu penganjuran sebuah festival muzik antarabangsa, Pink Fish Festival, pada tahun lalu.

“Selepas konsert tersebut tamat, seramai hampir 10 orang pengunjung terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dimasukkan terus ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana pengsan dan tidak sedarkan diri. Punca utama tragedi ini adalah kerana pengambilan dadah berlebihan sewaktu sedang galak berseronok.

“Antara kes yang paling meruntun jiwa kami sebagai petugas perubatan melibatkan seorang wanita yang berstatus isteri dan ibu. Pesakit ini menipu suaminya dengan meminta izin untuk keluar kononnya mahu ‘healing’ bersama rakan-rakan, namun sebaliknya pergi ke konsert tersebut dan mengambil dadah.

“Suaminya yang berada di Sabah sanggup terbang ke Semenanjung dengan linangan air mata kerana terkejut menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital. Lelaki itu menangis teresak-esak di tepi katil ICU memikirkan nasib anak-anak kecil mereka yang ditinggalkan di rumah semata-mata kerana si ibu mahu berseronok tanpa memikirkan kesan buruk,” kongsi Dr. Aishah  dengan nada kesal dan sebak.

Bagi menjawab persoalan sains mengapa Generasi Z begitu rapuh sehingga sering diejek sebagai ‘Generasi Strawberry’,  Dr. Aishah  menjelaskan hal ini mempunyai kaitan langsung dengan anatomi biologi otak anak muda yang sebenarnya belum mematang.

Jelas beliau, bahagian frontal cortex pada otak individu dalam fasa remaja hingga awal belia yang berfungsi untuk membuat pertimbangan rasional, merancang, dan menilai kesan buruk masih belum berkembang sepenuhnya. Sebaliknya, bahagian otak yang sentiasa mencari dan memproses keseronokan sudah pun berfungsi pada tahap maksimum.

“Kombinasi biologi inilah yang menyebabkan golongan belia sangat cenderung membuat keputusan melulu demi keseronokan sementara. Apabila mereka memilih dadah untuk mengawal stres, otak akan merakamkan bahan tersebut sebagai satu-satunya mekanisme penyelesaian yang mujarab.

“Lebih menakutkan, memori ketagihan ini akan kekal seumur hidup. Walaupun mahasiswa tersebut berjaya berhenti mengambil bahan terlarang selepas tamat pengajian di universiti, risiko untuk mereka kembali menagih (relapse) pada usia 30-an atau 40-an adalah sangat tinggi. Hal ini sering berlaku apabila mereka berdepan tekanan hidup yang jauh lebih besar kelak, seperti krisis kewangan, masalah rumah tangga atau bebanan kerja melampau,” jelasnya panjang lebar.

Turut senada dengan amaran tersebut, Pegawai PUSPEN, Herman Mohlisi mendedahkan pemerhatian psikologi mengenai sikap kebanyakan penagih muda yang sering dijerat oleh ego diri sendiri dan apa yang dipanggil sebagai ‘ilusi kawalan’.

Menurut beliau, majoriti pesakit di pusat pemulihan sering kali bermula dengan satu alasan yang sama; mereka mendakwa hanya mahu mencuba bahan terlarang itu sekadar untuk mengurangkan tekanan, dan berasa yakin bahawa mereka boleh berhenti menagih pada bila-bila masa sahaja tanpa bantuan.

“Hakikatnya, fasa kebergantungan secara fizikal dan mental berlaku dengan sangat drastik tanpa mereka sedari. Apabila ketagihan mula menguasai segenap hidup, penagih akan melangkah ke fasa penafian atau denial. Mereka akan mula menuding jari menyalahkan ibu bapa, pensyarah, atau rakan-rakan dengan alasan seperti ‘awak tak faham apa yang saya alami’. Kena ingat, pemulihan dadah bukanlah seperti merawat demam, ia adalah satu proses rawatan sepanjang hayat yang sangat menyeksakan,” tegas  Herman Mohlisi.

Sehubungan dengan itu, para mahasiswa diseru untuk menolak sekeras-kerasnya budaya hedonisme ini dan melaporkan sebarang aktiviti penjualan vape mencurigakan bagi melindungi masa depan generasi pewaris negara daripada musnah akibat ketagihan dadah.