Modal Kecil, Impian Besar: Perniagaan Bermula Dengan Hanya Gerai Dan Modal Yang Kecil

Oleh: Muhammad Izuan Bin Izudin & Sarwiishan A/L Manohar

image

Gerai Jualan Kanigara.co

BANGI, 22 Mei – Bermula dengan hanya RM400 seorang dan sebuah meja kecil, dua pelajar tahun akhir psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuktikan bahawa modal kecil bukan penghalang untuk membina impian apabila berjaya mengusahakan perniagaan minuman mereka sendiri menerusi jenama Kanigara.co.

Muhammad Alif Iskandar Zurimi dan Nur Nayli Izzati, pelajar tahun akhir jurusan psikologi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), berkata idea perniagaan tersebut tercetus daripada minat mereka terhadap minuman matcha selain keinginan untuk menjana pendapatan sampingan ketika masih bergelar mahasiswa.

Menurut mereka, harga minuman matcha yang agak tinggi di pasaran mendorong mereka menghasilkan sendiri minuman tersebut dengan kos yang lebih rendah sambil menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

“Pada awalnya kami memang suka minum matcha. Disebabkan harganya agak mahal, kami terfikir untuk hasilkan sendiri dan cuba jadikan ia sebagai perniagaan,” kata Alif ketika ditemui.

Nama Kanigara pula dipilih kerana mereka tidak mahu jenama itu tertumpu kepada minuman matcha semata-mata, sebaliknya mahu membuka peluang untuk mengembangkan menu lain pada masa hadapan.

Bagi memulakan perniagaan tersebut, kedua-duanya menggunakan wang sendiri dengan modal permulaan sekitar RM400 seorang. Modal itu digunakan untuk membeli serbuk matcha daripada pembekal, cawan, bahan penyediaan minuman dan beberapa keperluan asas bagi memulakan jualan.

“Awal-awal kami hanya guna meja kecil sahaja. Semua barang dibeli menggunakan duit sendiri dan kami mulakan secara sederhana,” ujar Alif.

Mereka kemudiannya mula menyertai pelbagai acara dan pop-up booth sekitar kampus bagi memperkenalkan jenama mereka kepada pelanggan.Tidak lama selepas itu, mereka berjaya mendapatkan sebuah stall terpakai pada harga sekitar RM500 selepas tempahan asal tidak diambil oleh pemilik sebelumnya.

Menurut Nayli, peluang tersebut dianggap sebagai pelaburan yang berbaloi kerana membantu menjadikan operasi perniagaan mereka lebih tersusun dan profesional.“Kalau ikut harga asal memang lebih mahal. Jadi bila ada peluang beli pada harga lebih rendah, kami terus ambil sebab nampak potensi untuk berkembang walaupun berisiko,” katanya.

Walaupun perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan, perjalanan mereka sebagai usahawan mahasiswa tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Antara cabaran utama yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan pelanggan pada peringkat awal selain kekurangan pendedahan dan pemasaran.

Malah, mereka juga pernah berdepan masalah kekurangan stok serta kerosakan peralatan ketika menyertai acara jualan. Menurut Alif, terdapat situasi di mana beliau terpaksa menguruskan gerai seorang diri ketika Naili menghadiri program luar sehingga menyebabkan beberapa masalah operasi berlaku.

“Pernah penutup cawan rosak, stok tak cukup dan pelanggan menunggu. Masa itu memang mencabar sebab perlu urus semuanya sendiri,” katanya.

Pengalaman tersebut bagaimanapun menjadi pengajaran penting kepada mereka untuk lebih teliti dalam pengurusan perniagaan. Kini, mereka akan memastikan stok dan peralatan diperiksa sekurang-kurangnya satu hingga dua hari sebelum menyertai sesuatu acara bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.

Selain modal awal, mereka juga perlu menanggung kos operasi setiap kali menyertai program jualan.Kos tambahan seperti pembelian stok baharu biasanya melibatkan perbelanjaan sekitar RM30 hingga RM50, manakala jumlah keseluruhan bagi satu acara boleh mencecah RM100 hingga RM150. Walaupun jumlah itu kelihatan kecil, ia memberi kesan kepada mahasiswa yang masih bergantung kepada biasiswa dan duit poket.

image

   Muhammad Alif Iskandar Zurimi bersama gerai di Kebudayaan Festival, Fakulti Ekonomi Dan Pengurusan.

Menurut Alif, pendapatan daripada perniagaan tersebut sedikit sebanyak membantu menampung kos kehidupan mereka sebagai pelajar.“Sekurang-kurangnya boleh bantu duit makan, keperluan belajar dan tak perlu terlalu bergantung kepada ibu bapa,” katanya.

Tambah beliau, keuntungan yang diperoleh turut digunakan untuk menampung perbelanjaan harian selain mengurangkan beban kewangan sepanjang pengajian. Menariknya, mereka turut mengaplikasikan ilmu psikologi yang dipelajari dalam pengurusan perniagaan, khususnya dari aspek komunikasi dan pemasaran.

Menurut Nayli, ilmu psikologi membantu mereka memahami tingkah laku pelanggan serta membina interaksi yang lebih baik ketika berniaga.“Kami belajar cara memahami pelanggan dan bagaimana untuk menarik perhatian mereka. Sedikit sebanyak ilmu psikologi memang membantu,” katanya.

Selain itu, mereka turut menggunakan pendekatan tertentu untuk menarik perhatian pengunjung ketika berada di gerai bagi mewujudkan minat terhadap produk yang dijual.Walaupun aktif berniaga, kedua-duanya menegaskan bahawa akademik tetap menjadi keutamaan.

image

Nur Nayli Izzati bersama gerai Kanigara.co dijemput membuka booth di event terbuka diluar UKM

Aktiviti jualan kebanyakannya dijalankan pada hujung minggu atau ketika tiada kelas bagi memastikan pengajian tidak terjejas.Menurut mereka, sekiranya berdepan keletihan atau tekanan, fokus akan diberikan kepada pelajaran terlebih dahulu sebelum kembali menjalankan perniagaan.

Dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang, mereka memasang impian untuk membuka sebuah kafe sendiri selain meneruskan kerjaya dalam bidang psikologi.Bagi mereka, perniagaan yang bermula dengan meja kecil dan modal sederhana itu bukan sekadar sumber pendapatan sampingan, tetapi simbol keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Mengakhiri temu bual, mereka menitipkan pesanan kepada golongan muda agar tidak takut memulakan sesuatu walaupun dengan kemampuan yang terhad.“Tak perlu tunggu semuanya sempurna. Yang penting, mula,” kata mereka.

Kisah mereka membuktikan bahawa modal kecil mampu menjadi asas kepada impian besar apabila disertai usaha, keberanian dan kesungguhan dan juga meneruskan pelajar tidak bermakna hanya membazirkan masa dan tenaga semata-mata.