Trend Suplemen Tidak Berdaftar Cetus Risiko Kegagalan Buah Pinggang Golongan Muda

Oleh: Nor Azeera Binti Janal Rais, Nurqistina Binti Mohd Faizal

KUALA LUMPUR, 6 Apr – Lambakan suplemen kesihatan yang semakin popular di media sosial, khususnya di TikTok dan Instagram, kini menimbulkan kebimbangan apabila sebahagiannya didapati dipromosikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Produk seperti suplemen penurunan berat badan dan pencerahan kulit ini bukan sahaja mengelirukan pengguna, malah berpotensi menjejaskan kesihatan, termasuk meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang.

image

Pempengaruh media sosial giat mempromosikan pelbagai produk suplemen dengan testimoni menarik, namun kebanyakannya tidak disokong oleh bukti saintifik atau kelulusan pihak berkuasa. – Foto hiasan

Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Tung Shin, Dr Tan Chun Jin, berkata trend pembelian suplemen kesihatan secara dalam talian semakin meningkat berikutan akses yang mudah serta pengaruh pemasaran di media sosial, khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Golongan muda cenderung terpengaruh dengan testimoni dan pempenakutgaruh berbanding nasihat perubatan. Masalahnya, ramai tidak menyemak status pendaftaran atau kandungan sebenar produk,” katanya kepada Nadi Bangi.

Menurut beliau, situasi ini menjadi semakin membimbangkan apabila pengguna membuat keputusan berkaitan kesihatan berdasarkan kandungan yang tidak disahkan, termasuk video pendek, ulasan pengguna serta promosi berbayar yang kelihatan meyakinkan.

Katanya suplemen tidak berdaftar berisiko mengandungi bahan terlarang seperti steroid, logam berat atau bahan aktif yang tidak dikawal, yang boleh memberi kesan langsung kepada fungsi organ dalaman.

“Buah pinggang berfungsi menapis toksin. Pendedahan berterusan kepada bahan ini boleh menyebabkan kerosakan takut (AKI) atau kronik (CKD), termasuk kegagalan buah pinggang,” katanya.

Dalam konteks semasa, penggunaan istilah seperti “detox”, “natural” atau “herba” sering digunakan sebagai strategi pemasaran bagi menarik minat pengguna, walaupun tiada bukti klinikal kukuh yang menyokong keberkesanan atau keselamatannya. Keadaan ini sekali gus meningkatkan risiko salah faham dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, media sosial turut memainkan peranan dalam mempengaruhi keputusan pengguna melalui testimoni dan kandungan promosi yang tidak disahkan secara saintifik serta kurang pemantauan terhadap dakwaan kesihatan.

Tambah, terdapat juga kecenderungan dalam kalangan pengguna untuk menganggap produk yang dijual secara meluas sebagai selamat, sedangkan hakikatnya banyak produk tersebut tidak melalui proses penilaian keselamatan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat kes melibatkan pesakit muda tanpa penyakit kronik yang mengalami masalah buah pinggang selepas mengambil suplemen tertentu untuk tempoh singkat.

“Pesakit datang dengan kegagalan buah pinggang selepas mengambil suplemen ‘detox’ atau ‘herba’ untuk beberapa minggu. Produk tersebut didapati tidak berdaftar dan mengandungi bahan toksik,” katanya.

Beliau berkata simptom awal sering tidak spesifik seperti keletihan, kurang selera makan, loya, bengkak pada kaki serta perubahan pada air kencing, menyebabkan pesakit tidak mendapatkan rawatan awal.

“Sebahagian pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan menjadi serius dan fungsi buah pinggang telah merosot,” katanya.

Situasi ini, jelas beliau, menunjukkan kepentingan kesedaran awal dalam kalangan masyarakat mengenai risiko pengambilan produk kesihatan tanpa pemantauan. Tanpa pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh, pengguna mungkin tidak menyedari kesan jangka panjang terhadap organ dalaman.

Kegagalan buah pinggang boleh memberi kesan jangka panjang termasuk keperluan menjalani rawatan dialisis secara berkala, selain meningkatkan risiko komplikasi lain seperti penyakit kardiovaskular serta penurunan kualiti hidup pesakit.

Rawatan dialisis lazimnya perlu dilakukan beberapa kali seminggu dan memerlukan pemantauan berterusan. Keadaan ini memberi implikasi kepada rutin harian serta kos rawatan pesakit. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pesakit dan keluarga, malah turut memberi beban kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

Sehubungan itu, orang ramai disaran menyemak status pendaftaran produk dengan KKM melalui saluran rasmi serta mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang suplemen.

Selain itu, masyarakat juga digalakkan untuk lebih peka terhadap kandungan produk yang digunakan serta tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pemasaran yang tidak mempunyai asas saintifik. Pengambilan langkah pencegahan awal dilihat sebagai kunci utama dalam mengurangkan risiko komplikasi kesihatan yang serius.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut giat menjalankan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan produk kesihatan tidak berdaftar, khususnya di platform dalam talian. Usaha ini termasuk kerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengekang penyebaran iklan yang mengelirukan serta melindungi keselamatan pengguna.

Orang ramai juga disarankan untuk menggunakan kemudahan semakan nombor pendaftaran produk melalui laman sesawang rasmi KKM atau aplikasi yang disediakan bagi memastikan kesahihan sesuatu produk sebelum digunakan. Dalam masa yang sama, pendidikan kesihatan awam perlu diperkukuh agar masyarakat lebih celik maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan janji keberkesanan segera yang ditawarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kesihatan tidak boleh dipertaruhkan hanya kerana ingin mendapatkan hasil yang cepat. Pengguna perlu membuat pilihan yang bijak dan berasaskan maklumat yang sahih,” tegas Dr Tan Chun Jin.