Oleh: Firdaus Emir Bin Roslam
KUALA LUMPUR, 6 Apr – Pasukan ragbi SMK St John (SJI Rugby) bersedia mencipta impak dalam penampilan sulung mereka di pentas Super School Rugby (SSR) Challenge Cup, meskipun berdepan pelbagai kekangan dalam persiapan. Dikenali sebagai antara pasukan yang pernah mencipta nama dalam kancah ragbi Kuala Lumpur, SJI kini kembali dengan misi untuk membuktikan mereka masih relevan dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Menurut ketua jurulatih, Azim Azri, persiapan pasukan kali ini agak mencabar berikutan penyertaan yang diterima pada saat akhir. “Persiapan kami menjelang SSR ini agak sulit kerana penyertaan dimaklumkan agak ‘last minute call’. Oleh itu, pasukan SJI hilang beberapa pemain utama yang dipilih untuk bermain bersama pasukan SSRA,” katanya. Situasi ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kestabilan pasukan, khususnya dari segi kombinasi pemain dan keserasian di atas padang.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa situasi tersebut tidak mematahkan semangat pasukan. Barisan kejurulatihan yang terdiri daripada tiga jurulatih bertungkus lumus merangka program latihan intensif serta rutin khas bagi memastikan pemain bersedia menghadapicabaran. Latihan yang dijalankan bukan sahaja memfokuskan kepada aspek fizikal, malah turut menitikberatkan kecergasan mental, disiplin permainan dan pemahaman taktikal.
Tambahan pula, penglibatan alumni SJI sebagai rakan “sparring partner” sedikit sebanyak membantu mempercepatkan penyesuaian pemain dengan corak permainan kompetitif. Kehadiran pemain lama yang berpengalaman memberi pendedahan awal kepada pemain muda tentang tekanan sebenar dalam perlawanan berintensiti tinggi. “Walaupun berdepan kekangan, kami cuba maksimumkan masa yang ada. Dengan bantuan alumni sebagai ‘sparring partner’, pemain dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat, terutamanya dari segi intensiti dan disiplin permainan,” jelas beliau lagi.
Sebagai pendatang baharu dalam kejohanan ini, SJI mempertaruhkan skuad muda yang majoritinya berusia antara 15 hingga 16 tahun, dengan hanya tiga pemain berusia 17 tahun serta seorang pemain berusia 14 tahun. Pendekatan ini dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam membina kekuatan pasukan. Walaupun kurang pengalaman di pentas besar, kelebihan dari segi tenaga dan semangat juang tinggi menjadi aset utama skuad ini.

“Sasaran kami bagi kejohanan ini adalah untuk memberi pengalaman dan saingan yang hebat kepada pasukan lain. Kami tahu kami pasukan baharu, tetapi itu tidak bermakna kami datang sekadar cukup syarat. Kami mahu setiap perlawanan itu kompetitif dan memberi tekanan kepada pihak lawan,” kata Azim.
Beliau turut menambah bahawa pendedahan dalam SSR amat penting untuk meningkatkan keyakinan pemain, terutamanya jika pasukan layak beraksi semula pada edisi akan datang. “Pengalaman ini sangat penting. Jika kami layak lagi tahun hadapan, pemain akan datang dengan keyakinan yang lebih tinggi untuk sasarkan pencapaian yang lebih baik. Ini adalah proses pembinaan pasukan, bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam masa singkat,” ujarnya.
Dari segi sejarah, SJI bukanlah nama asing dalam arena ragbi sekolah. Pasukan ini pernah muncul naib juara Kejohanan MSSKL pada tahun 2011, selain dikenali sebagai antara pasukan yang pernah mendominasi saingan ragbi di Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu. Mereka juga mempunyai rekod cemerlang apabila berjaya menjuarai beberapa kejohanan terbuka kategori CUP, sekali gus membuktikan tradisi kecemerlangan yang dimiliki oleh sekolah ini.

Kejayaan lampau ini menjadi inspirasi kepada generasi baharu pemain SJI untuk mengembalikan kegemilangan pasukan. Walaupun berdepan dengan perubahan zaman dan peningkatan tahap persaingan, identiti permainan SJI yang berdisiplin dan berani kekal menjadi teras utama pasukan. Jurulatih juga percaya bahawa pendedahan awal di pentas besar seperti SSR mampu mempercepatkan proses pembangunan pemain muda.
Kehadiran semula SJI di pentas besar seperti SSR dilihat sebagai satu langkah penting untuk mengembalikan reputasi mereka sebagai antara kuasa ragbi sekolah. Dengan gabungan pemain muda berbakat serta pendekatan latihan yang lebih tersusun, pasukan ini dilihat berpotensi menjadi pencabar serius dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Dalam pada itu, pertembungan menentang MOZAC Rugby menjadi antara aksi paling dinantikan oleh pasukan SJI. Pasukan tersebut yang diketuai oleh bekas jurulatih Politeknik Malaysia dianggap sebagai lawan yang ideal untuk menguji tahap sebenar kemampuan mereka. Perlawanan ini bukan sahaja penting dari sudut keputusan, malah menjadi kayu ukur kepada tahap kesiapsiagaan SJI dalam menghadapi pasukan berpengalaman.
“Pasukan yang kami paling teruja untuk lawan semestinya MOZAC. Bagi kami, ini adalah peluang untuk mengukur tahap kami dalam kejohanan SSR tahun ini. Kami mahu lihat sejauh mana kemampuan kami berdepan pasukan yang sudah mempunyai struktur dan pengalaman yang lebih matang,” kata Azim.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama pasukan adalah untuk memberikan saingan sengit dalam setiap perlawanan tanpa mengira lawan. Sikap tidak mudah mengalah dan semangat berpasukan menjadi nilai utama yang diterapkan dalam kalangan pemain.
Dengan semangat juang tinggi serta keinginan untuk membuktikan kemampuan, SJI tidak lagi dilihat sekadar pasukan pelengkap jadual. Sebaliknya, mereka hadir dengan misi jelas untuk memberi cabaran sengit dan membuka lembaran baharu sebagai pasukan yang semakin kompetitif dalam arena Super School Rugby (SSR) Challenge Cup. Jika momentum ini dapat dikekalkan, tidak mustahil SJI bakal muncul sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian dalam edisi-edisi akan datang.
