Oleh: Sharifah Hanis Binti Syed Zulkifli, Nik Auni Tasnim Binti Nik Sin

PUTRAJAYA, 17 Mei – Universiti Kebangsaan Malaysia melalui UKMShape terus memperkukuh usaha memperluas akses pendidikan tinggi apabila menyertai Star Education Fair 2026 yang berlangsung di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya pada 16 dan 17 Mei lalu.
Penyertaan UKMShape dalam pameran pendidikan anjuran Star Media Group itu bertujuan memperkenalkan pelbagai program pendidikan fleksibel dan laluan kemasukan alternatif kepada bakal pelajar, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain membantu ibu bapa dan masyarakat mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang pengajian di UKM.
Star Education Fair merupakan salah satu pameran pendidikan tinggi dan latihan yang terawal serta terbesar di Malaysia. Dianjurkan oleh Star Media Group, pameran ini menyediakan platform komprehensif kepada pelajar dan ibu bapa untuk meneroka pelbagai program pengajian tertiari, daripada peringkat pra-universiti hingga pascasiswazah, selain kursus vokasional dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan dan juga antarabangsa.
Sepanjang dua hari pameran berlangsung, booth UKMShape menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang hadir mendapatkan maklumat berkaitan program asasi, ijazah sarjana muda, pengajian profesional serta laluan kemasukan melalui Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL).

Temubual bersama Penolong Pegawai Tadbir Unit Tempatan, Bahagian Pemasaran UKMShape, Iskandar Zulkarnain Mohd Azalan.
Penolong Pegawai Tadbir Unit Tempatan, Bahagian Pemasaran UKMShape, Iskandar Zulkarnain Mohd Azalan berkata, penyertaan dalam Star Education Fair menjadi platform penting untuk mendekati pelajar secara langsung dan membantu mereka memahami pilihan pendidikan yang ada di UKM.
“Biasanya ia mengikut musim. Jika selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai yang akan bertanya mengenai program asasi dan program peringkat awal. Namun pada masa ini, UKMShape menawarkan pelbagai laluan kemasukan dan tidak hanya bergantung kepada sijil SPM semata-mata. Kami juga menerima pelajar melalui APEL,” katanya ketika ditemui di booth UKMShape.
Beliau berkata, UKMShape turut menyasarkan kira-kira 1,000 pengunjung sehari untuk hadir ke booth mereka sepanjang berlangsungnya pameran tersebut bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian di UKM.
Menurutnya, pelajar tempatan kebanyakannya menunjukkan minat terhadap kursus pendidikan, perniagaan, teknologi maklumat, sains kesihatan dan program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Bagi pelajar antarabangsa pula, mereka selalunya lebih memberi tumpuan kepada program peringkat pascasiswazah, pengurusan, kejuruteraan dan bidang profesional yang mempunyai kebolehpasaran tinggi,” katanya.
Selain mempromosikan program akademik, UKMShape turut memberi penerangan mengenai kaedah permohonan kemasukan ke UKM sama ada melalui saluran Unit Pengambilan Universiti (UPU) mahupun pengambilan terus atau direct intake di bawah UKMShape.
Iskandar berkata, saluran direct intake memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kebarangkalian memperoleh tempat dalam program yang benar-benar diminati di UKM.
“Di UKM, terdapat dua saluran utama untuk kemasukan pelajar. Pertama ialah melalui sistem UPU, dan kedua melalui direct intake iaitu di bawah UKMShape. Jika pelajar benar-benar berminat dengan sesuatu program yang ditawarkan di UKM, mereka dialu-alukan untuk memohon secara terus kepada UKM melalui saluran direct intake,” katanya. Beliau menjelaskan bahawa kaedah direct intake bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar, malah membantu mereka mendapatkan maklumat dengan lebih cepat berkaitan status permohonan, syarat khas program dan proses pendaftaran universiti.
Ketika ditanya mengapa pelajar perlu mempertimbangkan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pilihan universiti mereka, Iskandar Zulkarnain Mohd Azalan berkata UKM bukan sahaja menawarkan pendidikan berkualiti, malah menyediakan pelbagai peluang pembangunan diri kepada pelajar.
“UKM bukan sahaja menawarkan program akademik yang berkualiti, tetapi juga menyediakan pelbagai laluan kemasukan yang fleksibel mengikut keperluan pelajar. Di UKM, pelajar berpeluang belajar dalam persekitaran yang kondusif, mendapat bimbingan daripada pensyarah berpengalaman serta menikmati kemudahan pembelajaran yang lengkap.
“Selain itu, program-program yang ditawarkan juga selari dengan kehendak industri semasa dan mempunyai tahap kebolehpasaran graduan yang tinggi. Ini penting supaya pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu, tetapi juga mempunyai peluang kerjaya yang lebih baik selepas tamat pengajian.
“Sebagai universiti awam yang menitikberatkan pembangunan akademik dan sahsiah, UKM sentiasa berusaha melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan mampu menyumbang prestasi kepada masyarakat serta negara,” katanya.
Pameran tersebut turut disertai oleh pelbagai institusi pengajian tinggi lain seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Politeknik Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta banyak lagi institusi pendidikan yang menawarkan pelbagai bidang pengajian dan laluan kerjaya untuk orang awam membuat pilihan masa depan mereka.
Selain itu, Star Education Fair 2026 turut mendapat sokongan daripada rakan strategik seperti Institut Kraf Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sukarelawan Siswa, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan MAA Medicare Charitable Foundation.
Dalam masa sama, kehadiran UKMShape di Star Education Fair turut membuka peluang kepada pelajar untuk bertanyakan secara langsung mengenai bantuan kewangan, biasiswa dan pinjaman pendidikan yang boleh dipohon bagi membantu mereka melanjutkan pengajian.
Ramai ibu bapa dilihat mengambil peluang mendapatkan maklumat berkaitan kos pengajian dan prospek kerjaya bagi memastikan anak-anak mereka membuat pilihan yang tepat untuk masa depan.
Penyertaan UKMShape dalam Star Education Fair 2026 mencerminkan komitmen berterusan UKM dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti melalui pelbagai laluan pengajian yang fleksibel dan inklusif.
Melalui platform seperti ini, pelajar bukan sahaja dapat meneroka peluang pendidikan yang sesuai dengan minat dan kelayakan mereka, malah memperoleh bimbingan secara langsung bagi membantu merancang masa depan akademik dan kerjaya dengan lebih yakin.

