Datuk Adi Putra Pernah Ditawar Ambil “Rasuah”

Oleh: Nur Aqilah Nadhirah Binti Mohd Zurizam & Muhammad Izhan Bin Md Zaidi

image

Foto Malam Tayangan Perdana Konspirasi

PUTRAJAYA- Datuk Adi Putra mendedahkan beliau pernah menerima tawaran wang mencecah puluhan juta ringgit yang dipercayai mempunyai unsur rasuah daripada pihak tertentu yang mahu mendapatkan kepentingan peribadi daripadanya. Pengakuan tersebut dibuat ketika beliau menghadiri malam gala dan tayangan perdana filem Konspirasi di IOI City Mall baru-baru ini.

Menurut Adi, sepanjang bergelar anak seni dan figura dikenali ramai, beliau tidak pernah terlepas daripada didekati individu tertentu yang cuba menggunakan wang sebagai jalan pintas untuk mempengaruhi pendiriannya. Pelakon terkenal itu berkata, beliau sentiasa berhati-hati dalam menilai setiap bentuk pemberian, tajaan atau tawaran yang diterima supaya tidak terjebak dalam perkara yang bertentangan dengan prinsip hidupnya.

image

Foto Sidang Media Konspirasi

Adi berkata, terdapat pihak yang sanggup menawarkan wang dalam jumlah sangat besar termasuk antara RM10 juta hingga RM30 juta sebagai bentuk “lobi” bagi mendapatkan sesuatu daripadanya. Bagaimanapun, beliau memilih untuk menolak tawaran berkenaan kerana enggan menggadaikan maruah dan integriti semata-mata untuk kekayaan sementara.

“Kalau sekadar hadiah ikhlas, saya tiada masalah untuk terima. Tetapi kalau pemberian itu ada niat tertentu atau unsur rasuah, saya memang tidak akan kompromi. Saya percaya rezeki yang baik datang daripada jalan yang betul,” katanya.

Menurut Adi lagi, beliau percaya wang yang diperoleh secara tidak jujur tidak akan membawa keberkatan dalam kehidupan. Malah, beliau berpendapat kekayaan yang datang terlalu mudah juga boleh hilang dalam sekelip mata jika tidak diperoleh melalui usaha yang halal dan berintegriti.

Tambahnya, sebagai individu yang sudah lama berada dalam industri hiburan tanah air, beliau sedar ramai pihak memandang tinggi kepada golongan selebriti dan menjadikan mereka sebagai pengaruh untuk mencapai kepentingan tertentu. Disebabkan itu, beliau mengambil pendekatan lebih berhati-hati agar tidak terperangkap dalam situasi yang boleh menjejaskan nama baik serta reputasinya.

Bagaimanapun, Adi tidak memperincikan tujuan sebenar tawaran wang tersebut diberikan kepadanya. Beliau juga tidak mendedahkan identiti pihak yang cuba melakukan “lobi” berkenaan serta enggan mengulas lanjut sama ada perkara itu pernah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau tidak.

Dalam masa sama, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menegaskan bahawa wang bukan ukuran utama dalam kehidupannya. Bagi beliau, apa yang lebih penting ialah maruah diri, nama baik keluarga serta legasi yang ditinggalkan untuk anak-anak pada masa depan.

“Saya tidak mahu anak-anak membesar dengan kemewahan yang datang daripada sumber meragukan. Biar hidup sederhana tetapi tenang dan diberkati. Pada akhirnya nanti, orang bukan ingat berapa banyak wang kita ada, tetapi bagaimana kita hidup dan menjaga nama keluarga,” katanya lagi.

image

Foto Sidang Media Tayangan Perdana

Pendedahan Adi itu turut menarik perhatian ramai kerana ia dibuat bersempena tayangan filem Konspirasi yang mengangkat tema perjuangan membanteras rasuah dan pengubahan wang haram. Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu mengetengahkan kisah keberanian pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam menumpaskan sindiket rasuah melibatkan ahli politik dan individu berpengaruh.

Dalam filem tersebut, Adi membawa watak yang sarat dengan konflik serta cabaran moral, sekali gus memberi gambaran realiti masyarakat hari ini yang masih berdepan isu salah guna kuasa dan ketamakan wang. Menurutnya, mesej yang cuba disampaikan menerusi filem itu sangat dekat dengan situasi sebenar yang berlaku dalam dunia moden.

Selain Adi, filem berkenaan turut dibintangi beberapa pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal dan Sarimah Ibrahim. Gabungan pelakon berpengalaman dan jalan cerita penuh debaran dijangka mampu menarik perhatian penonton tempatan.

Filem aksi thriller tersebut bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula Khamis ini dan dijangka mendapat sambutan hangat, terutama dalam kalangan peminat filem tempatan yang gemarkan karya berunsur jenayah, politik dan aksi mendebarkan.

Pendedahan Adi mengenai tawaran wang lumayan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa gejala rasuah bukan sahaja boleh berlaku dalam dunia politik atau perniagaan, malah berpotensi melibatkan golongan selebriti dan individu berpengaruh. Namun, ketegasan beliau menolak tawaran tersebut mendapat pujian ramai yang melihatnya sebagai contoh artis yang masih berpegang teguh kepada prinsip dan nilai integriti dalam kehidupan. Katanya ketika ditemui pada malam gala tayangan perdana filem Konspirasi semalam.