Persinggahan Terakhir Treasure Satukan Lebih 10,000 Teume Malaysia

Oleh: Nur Adriana Binti Norahim, Nurizzaty Binti Nor Zakwan

BUKIT JALIL, 30 Mei – Kuala Lumpur menjadi saksi penutup siri jelajah Asia kumpulan K-POP Treasure apabila bandar raya ini dipilih sebagai destinasi terakhir bagi konsert 2025–26 Treasure Tour [Pulse On] yang berlangsung meriah di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Konsert tersebut menghimpunkan lebih 10,000 peminat yang dikenali sebagai Treasure Maker (Teume), sekali gus menandakan berakhirnya siri jelajah yang telah merentasi beberapa bandar utama di Asia termasuk Seoul, Tokyo, Aichi, Fukuoka, Kanagawa, Osaka, Macau, Taipei, Manila, Jakarta, Singapura, Hong Kong dan Bangkok.

Treasure yang bernaung di bawah YG Entertainment dianggotai oleh 10 ahli iaitu Choi Hyun Suk, Park Ji Hoon, Kanemoto Yoshinori, Kim Jun Kyu, Yoon Jae Hyuk, Hamada Asahi, Kim Do Young, Watanabe Haruto, Park Jeong Woo dan So Jung Hwan.

Kehadiran kumpulan yang membuat debut pada tahun 2020 itu mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan yang memenuhi arena sejak awal petang bagi menyaksikan persembahan secara langsung.

Tiket konsert yang ditawarkan pada harga antara RM399 hingga RM1,088 menerima sambutan hangat daripada peminat, sekali gus membuktikan pengaruh kukuh Treasure dalam kalangan penggemar K-POP di Malaysia.

image

Foto Jp Gallery

Ketika berinteraksi dengan peminat sepanjang konsert, anggota Treasure, Kim Do Young, 22, meluahkan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan oleh Teume Malaysia serta berkongsi perkembangan mengenai kemunculan semula (comeback) kumpulan tersebut.

“Kami sangat bersyukur dapat menghabiskan persinggahan terakhir jelajah ini bersama anda semua pada malam yang indah ini. Lagu utama comeback kami yang akan datang sangat hebat, jadi nantikannya. Terima kasih Malaysia, saya sayang anda,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa lagu utama baharu Treasure berjudul “IF I” dijadualkan dilancarkan pada 1 Jun jam 6 petang waktu Korea Selatan (KST).

image

Anggota Treasure, Kim Do Young, 22 – Foto fail Nadi Bangi

Konsert dimulakan dengan persembahan lagu “MMM”, “KINGKONG” dan “BONA BONA” yang disambut sorakan gemuruh daripada peminat yang memenuhi arena. Kemunculan kesemua ahli Treasure dalam busana hitam berinspirasikan konsep diraja turut menarik perhatian penonton dan menambahkan kemeriahan suasana malam tersebut.

image

Foto Jp Gallery

Di luar arena, suasana turut dimeriahkan dengan kehadiran peminat yang mengenakan pakaian bertemakan merah jambu dan denim selaras dengan kod pakaian yang dicadangkan bagi konsert berkenaan.

image

Teume hadir mengenakan tema merah jambu dan denim sebagai kod pakaian pilihan bagi konsert Treasure TOUR [PULSE ON] – Foto fail Nadi Bangi

Kehadiran ribuan peminat dari pelbagai negeri membuktikan pengaruh besar Treasure dalam kalangan penggemar K-POP di Malaysia, khususnya mereka yang mengikuti perjalanan kumpulan itu sejak program realiti YG Treasure Box (YGTB).

Bagi Farah Leha, 20, dari Kajang, Selangor, konsert tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana merupakan pengalaman pertamanya menghadiri konsert secara langsung.

Menurutnya, minat terhadap Treasure yang bermula sejak program YGTB mendorongnya untuk menjadikan persembahan kumpulan itu sebagai konsert pertama yang dihadirinya.

“Saya datang sekitar pukul 12 tengah hari dan memang ramai sangat orang. Ini kali pertama saya datang konsert, jadi saya tak tahu macam mana suasananya sebelum ini, tetapi hari ini memang happening dan seronok sebab ramai peminat berkumpul,” katanya.

Farah Leha turut berkongsi bahawa suasana mesra dalam kalangan peminat membolehkannya bertemu rakan-rakan yang sebelum ini hanya dikenali menerusi platform media sosial.

Sementara itu, Siti Asma Abu Bakar, 25, dari Kedah sanggup menempuh perjalanan jauh dengan menaiki perkhidmatan Electric Train Service (ETS) ke Kuala Lumpur demi menyaksikan Treasure secara langsung buat pertama kali.

Menurutnya, pelbagai cabaran sepanjang perjalanan termasuk kelewatan pengangkutan tidak mematahkan semangatnya untuk menghadiri konsert tersebut.

“Saya ikuti perkembangan Treasure sejak YGTB lagi. Sebelum ini mereka pernah datang ke Malaysia tetapi saya tidak berpeluang hadir. Jadi kali ini saya memang tidak mahu lepaskan peluang,” katanya.

Bagi Nurin Afrina, 26, dari Shah Alam, konsert tersebut bukan sekadar hiburan, malah mengimbau kenangan zaman pengajiannya apabila lagu-lagu Treasure sering menjadi peneman ketika menyiapkan tugasan akademik.

Beliau berkata, walaupun kini sudah memasuki alam pekerjaan dan mempunyai komitmen yang lebih besar, minat terhadap kumpulan itu masih kekal sehingga mendorongnya untuk terus menghadiri acara berkaitan Treasure.

“Konsert ini mengingatkan saya kepada waktu belajar dahulu. Masa buat assignment, saya selalu dengar lagu Treasure dan menonton kandungan mereka. Sekarang saya masih mahu datang untuk merasai suasana dan menyokong mereka,” katanya.

Seorang lagi peminat, Izzati Rosenan, 20, dari Pulau Pinang berkata, minatnya terhadap Treasure bermula sejak program YGTB dan terus berkembang kerana hubungan erat yang dipamerkan oleh ahli kumpulan tersebut.

Menurutnya, nilai persahabatan yang ditunjukkan oleh anggota Treasure menjadi antara faktor utama yang membuatkan beliau terus mengikuti perkembangan kumpulan berkenaan.

Sebagai seorang pelajar, beliau mengakui lagu-lagu Treasure sering menjadi peneman ketika berdepan tekanan akademik dan tugasan harian.

“Bila dengar lagu mereka, saya rasa seperti mendapat semangat semula. Lagu-lagu Treasure menjadi sumber healing untuk saya ketika berdepan tekanan sebagai pelajar,” katanya.

Izzati turut berharap Treasure akan terus menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi konsert mereka pada masa hadapan memandangkan negara ini mempunyai komuniti peminat yang besar dan sentiasa memberikan sokongan kepada artis K-POP antarabangsa.

Bagi Teume Malaysia, konsert 2025–26 Treasure Tour [Pulse On] bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, malah menjadi medium yang menyatukan peminat dari pelbagai latar belakang dan negeri.

Acara itu turut membuka ruang kepada mereka untuk berkongsi minat, pengalaman serta mengukuhkan hubungan komuniti yang telah dibina sepanjang mengikuti perjalanan seni Treasure sejak beberapa tahun lalu.

Dengan Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi penutup jelajah dunia tersebut, malam berkenaan menjadi pengalaman yang sukar dilupakan bagi ramai peminat yang hadir, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara Treasure dan Teume Malaysia.