Oleh: Lau Xin Ee & Deborah Lee Pei Ling

Sesi perjumpaan penulis Vidhya Sathyamoorthy di MPH Bookstores @ The Exchange TRX
KUALA LUMPUR, 20 MEI 2026 — Di sebalik kemudahan membeli buku secara dalam talian dan kemunculan pelbagai platform pembacaan digital, sesi perjumpaan penulis atau Meet the Author masih berjaya menarik kehadiran ramai pembaca.
Pada 16 Mei 2026, sesi terbaru yang berlangsung di sebuah kedai buku tempatan MPH Bookstores @ The Exchange TRX baru-baru ini menyaksikan kehadiran pembaca pelbagai lapisan usia, termasuk golongan muda yang bekerja. Acara itu turut menjadi platform pelancaran buku sulung penulis Vidhya Sathyamoorthy, yang sebelum ini hanya menyertai sesi panel bersama penulis lain tanpa majlis pelancaran tersendiri.
Anusuya Nair, memberikan perspektif menarik tentang mengapa golongan muda masih sanggup meluangkan masa untuk hadir secara fizikal ke acara sebegini. Menurutnya, perubahan budaya dalam kalangan generasi muda kini mendorong mereka untuk mencari aktiviti seni dan budaya sebagai pelarian daripada rutin harian yang padat.
“Generasi muda sekarang lebih meminati bidang seni dan aktiviti yang boleh dinikmati untuk berehat,” katanya. Beliau menjelaskan bahawa majlis seperti pelancaran buku kini dianggap sebagai “ruang ketiga” iaitu ruang di luar rumah dan tempat kerja yang memberi peluang kepada mereka untuk bersosialisasi dalam suasana yang lebih bermakna berbanding sekadar berkumpul di pusat membeli-belah.
Fenomena ini menunjukkan bahawa daya tarikan acara Meet the Author bukan semata-mata tentang buku itu sendiri, tetapi turut merangkumi keperluan sosial dan emosi golongan muda yang semakin mengutamakan pengalaman bersemuka yang bernilai.

Bertemu dengan penulis Vidhya Sathyamoorthy dan mendapatkan tandatangan peribadi.
Penulis Vidhya Sathyamoorthy mengakui bahawa walaupun platform digital mampu menjangkau khalayak yang lebih luas, acara fizikal seperti ini menawarkan sesuatu yang berbeza seperti sentuhan peribadi yang tidak dapat ditiru oleh media sosial.
“Walaupun platform digital jangkauannya luas, boleh sampai ke orang yang kita tak pernah jumpa depan-depan, tapi acara fizikal macam ni tetap penting sebab ada ‘human touch‘,” kata Sathyamoorthy. Beliau menjelaskan bahawa apabila pembaca terlebih dahulu terdedah kepada buku melalui media sosial, kemudian bertemu dengan karya tersebut secara fizikal semasa pelancaran, perasaan keakraban itu mendorong mereka untuk membeli dan membaca buku berkenaan.
Bagi Sathyamoorthy, acara sebegini juga bermakna lebih daripada sekadar jualan. “Ia adalah tentang hubungan. Inilah peluang untuk saya dengar sendiri maklum balas daripada pembaca,” katanya, sambil menambah bahawa sebagai pembaca, beliau sendiri faham perasaan teruja apabila berpeluang bertemu penulis yang digemari.
Dalam mempersiapkan pelancaran buku terbarunya, Finding Darla, Sathyamoorthy telah menyusun strategi pemasaran digital sejak awal, termasuk melalui cover reveal, pendedahan sinopsis, serta penghantaran naskhah ulasan kepada Bookstagrammers. Ulasan yang dikongsi di media sosial oleh pihak ketiga ini kemudian disebarkan semula oleh Sathyamoorthy dan penerbitnya bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan khalayak sebelum buku itu tiba di pasaran.
Pendekatan berperingkat ini bermula dengan promosi digital sebelum disusuli pelancaran fizikal dilihat sebagai formula yang berkesan untuk membina momentum jualan. “Bila pembaca dah nampak buku kita kat media sosial, lepas tu nampak pula secara fizikal kat kedai atau masa pelancaran, mereka akan rasa lebih dekat dan mungkin tergerak hati nak beli,” jelas Sathyamoorthy.
Usaha promosi juga tidak berhenti selepas majlis pelancaran selesai. Sathyamoorthy merancang untuk terus aktif di media sosial dengan berkongsi momen sepanjang acara, memantau ulasan pembaca, serta mengekalkan momentum agar buku terus mendapat perhatian walaupun selepas fasa hype awal berlalu.
Dari perspektif pembaca pula, Marisa Cherina, seorang pembaca tegar yang hadir ke acara tersebut, berpandangan bahawa kandungan buku tetap menjadi keutamaan. Beliau mendapati tentang acara itu melalui iklan di Facebook dan menghadirinya atas minat peribadi terhadap pembacaan.
“Bagi pembaca tegar, kandungan itu tetap nombor satu,” kata Cherina. Walaupun mengakui bahawa penulis berkenaan kelihatan mesra, beliau menegaskan bahawa intipati sesebuah karya yang lebih bernilai berbanding populariti penulisnya.
Cherina turut menyuarakan harapan agar sesi soal jawab dalam acara sebegini dipertingkatkan kualitinya. Menurutnya, perbincangan yang mendalam tentang tema, genre, dan plot sesebuah buku lebih membantu membina kesetiaan pembaca berbanding sekadar sesi bergambar atau tandatangan buku. “Kalau penganjuran dia tak teratur atau sekadar tangkap muat, susah juga pembaca nak rasa betul-betul dekat dengan penulis,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar aspek logistik seperti pemilihan hari dan masa acara diberi perhatian. Sebagai individu yang bekerja, Cherina menyifatkan hujung minggu sebagai waktu rehat, dan berharap masa hadapan melihat lebih banyak acara yang mengambil kira keperluan kelompok pembaca sepertinya.
Sesi Meet the Author ini juga dilihat sebagai peluang promosi semula jadi kepada pengunjung yang sedang berada di kedai buku. Sathyamoorthy menyatakan bahawa kehadiran acara sebegini di premis kedai buku secara tidak langsung menarik perhatian orang ramai yang mungkin belum mengetahui tentang kewujudan sesebuah karya.
Namun begitu, Cherina mengingatkan bahawa acara sebegini tidak boleh dijadikan sandaran tunggal untuk memupuk budaya membaca dalam masyarakat. Menurutnya, minat membaca perlu dipupuk sejak awal, bermula dari sekolah dan perpustakaan. “Kalau nak orang datang dan beli buku, mereka kena ada minat membaca dari awal lagi,” katanya, sambil menyebut model reading society yang diamalkan di luar negara sebagai contoh yang boleh diadaptasi.
Terlepas daripada cabaran yang ada, satu perkara jelas, selagi ada penulis yang sanggup berkongsi cerita di sebalik karya mereka, selagi ada pembaca yang menghargai perbualan yang lebih bermakna daripada sekadar transaksi dalam talian, acara Meet the Author akan terus menemui tempatnya dalam ekosistem buku tempatan.


