Resume Tak Cantik, Punca Tak Dapat Kerja?

Oleh: Nur Irdina Husna Binti Kamarudzaman, Nur Farha Arisha Binti Mohd Hilmi

image

BANGI, 7 Apr – Resume sering dianggap sekadar dokumen asas dalam permohonan kerja, namun realitinya ia merupakan perkara yang penting bagi menentukan sama ada calon layak dipanggil ke sesi temu duga atau sebaliknya.

Menurut Pegawai Psikologi UKM Karier, Alyaa Insyirah Huzili, resume bukan sekadar dokumen biasa yang mengandungi maklumat peribadi, pendidikan dan pengalaman sebaliknya ia merupakan gambaran awal tentang diri seseorang kepada majikan.

Beliau menjelaskan bahawa resume memainkan peranan penting sebagai ‘tiket’ pertama untuk melayakkan seseorang calon dipanggil ke sesi temu duga. Tanpa resume yang tersusun dan menarik, peluang untuk melepasi tapisan awal adalah sangat tipis.

“Jika seseorang calon telah menghantar banyak resume tetapi tidak dipanggil ke temu duga, besar kemungkinan masalah tersebut berpunca daripada resume itu sendiri,” katanya.

Tambahan pula, kesilapan yang paling kerap dilakukan oleh individu adalah menyenaraikan pengalaman tanpa menghuraikan kemahiran yang diperoleh daripada pengalaman tersebut. Perkara ini menyebabkan resume menjadi hambar dan tidak memberi impak kepada majikan.

image

Pegawai Psikologi UKM Karier, Alyaa Insyirah Huzili – Foto fail Nadi Bangi

“Ramai hanya ‘list out’ apa yang mereka lakukan, tetapi tidak menjelaskan apa kemahiran yang diperoleh seperti kepimpinan, kerja berpasukan atau komunikasi. Sedangkan itulah yang sebenarnya ingin dilihat oleh majikan,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, majikan bukan hanya mencari calon yang mempunyai kelayakan akademik, namun individu yang mempunyai potensi, personaliti dan nilai tambah melalui resume. Jika maklumat yang diberikan terlalu umum atau tidak jelas, majikan sukar menilai kesesuaian calon dengan jawatan yang ditawarkan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa resume yang lemah berpotensi menyebabkan calon tersingkir lebih awal kerana kekurangan maklumat yang relevan. Hal ini membuatkan majikan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan permohonan calon tersebut.

“Bila kita baca resume dan tidak mendapat gambaran jelas tentang kekuatan atau potensi seseorang, majikan cenderung untuk menolak kerana tidak cukup maklumat untuk menilai,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau juga menggariskan bahawa kegagalan mendapatkan pekerjaan bukanlah berpunca sepenuhnya daripada resume semata-mata. Sebaliknya, terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi seperti prestasi semasa sesi temu duga.

“Jika calon sudah dipanggil untuk ditemuduga tetapi masih gagal mendapat kerja, ini mungkin berpunca daripada kemahiran komunikasi atau cara menjawab soalan yang kurang meyakinkan,” ujarnya.

Lebih lanjut, beliau turut menyentuh tentang kepentingan pengalaman berbanding kelayakan akademik. Bagi graduan baharu, pendidikan dilihat sebagai syarat asas, namun pengalaman kerja atau penglibatan dalam aktiviti lain juga menjadi nilai tambah yang penting.

image

Sesi temubual bersama Alyaa Insyirah Huzili bagi mendapatkan pandangan berkaitan resume

“Dalam kebanyakan kes, jika dua calon mempunyai kelayakan akademik yang sama, majikan akan memilih calon yang mempunyai pengalaman kerja walaupun sedikit,” katanya.

Jelasnya lagi, pengalaman kerja dapat membentuk sikap tanggungjawab dan kemahiran sebenar dalam dunia pekerjaan, berbanding pembelajaran teori semata-mata di dalam kelas.

Namun demikian, bagi pelajar yang tidak mempunyai pengalaman kerja, mereka masih boleh membina resume yang baik dengan menonjolkan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, projek akademik atau kerja kesukarelawanan. Perkara ini mampu menunjukkan inisiatif dan kesungguhan  individu tersebut. 

“Jika tiada pengalaman kerja, pelajar boleh fokus kepada projek seperti tugasan akhir tahun atau Final Year Project (FYP) atau aktiviti lain yang pernah disertai. Yang penting adalah bagaimana mereka menghuraikan pengalaman tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan agar pelajar sentiasa mengemas kini resume dari semasa ke semasa dan tidak hanya menyiapkannya pada saat akhir. Resume yang sering diperbaiki akan menjadi lebih berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.

“Setiap kali kita menambah pengalaman atau kemahiran baharu, kita perlu kemas kini resume. Proses ini membantu kita menilai kekuatan dan kelemahan diri,” ujarnya.

Beliau juga menggalakkan pelajar untuk lebih proaktif dalam meningkatkan kemahiran diri dengan menyertai program, aktiviti sukarelawan atau kerja sambilan. Langkah ini bukan sahaja dapat menambah kandungan dalam resume, malah membantu membina keyakinan diri untuk menghadapi situasi dunia kerja sebenar.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa majikan sering membuat perbandingan antara calon dan dalam situasi tertentu, mereka akan menilai berdasarkan kesilapan kecil yang dilakukan oleh calon sewaktu temu duga.

“Kadang-kadang, bila semua calon hampir sama, majikan akan memilih berdasarkan siapa yang kurang melakukan kesilapan,” katanya.

Sehubungan itu, calon perlu membuat persediaan rapi bukan sahaja dari segi resume, tetapi juga dari aspek komunikasi dan keyakinan diri. 

Kesimpulannya, resume yang kurang menarik dan tidak tersusun boleh menjadi antara faktor yang menyebabkan seseorang gagal mendapatkan peluang pekerjaan. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu-satunya penentu kejayaan. Sebaliknya, gabungan resume yang berkualiti, pengalaman yang relevan serta kemahiran komunikasi yang baik merupakan kunci utama untuk berjaya dalam dunia kerjaya.

Maka, kepada pelajar dan graduan baharu perlu memberi perhatian yang lebih terhadap penyediaan resume agar tidak terlepas peluang keemasan dalam membina masa depan mereka.