Pelajar Universiti Bimbing Pelajar Lepasan SPM Tempuh Alam Pascasekolah 

Oleh: Nur Izzah Binti Norannuar, Muhammad Aiman Islah bin Amriyanto

image

Penyampaian hadiah mengikut kategori oleh Puan Roslina diiringi oleh Encik Muadz kepada para pemenang diambil oleh unit Media program Lead Your Future 2026 

CHERAS, 5 Apr – Ketika sebahagian besar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih mencari arah selepas menamatkan persekolahan, sekumpulan mahasiswa universiti tampil memainkan peranan signifikan dalam membimbing generasi tersebut melalui pendekatan rakan sebaya berteraskan konsep “belia membimbing belia”. 

Inisiatif ini direalisasikan menerusi penganjuran program Lead Your Future 2026 oleh Youth of Strength and Happiness (YOSH), yang menghimpunkan barisan fasilitator terdiri daripada mahasiswa pelbagai universiti di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah. Mereka hadir dari latar belakang akademik dan profesional yang pelbagai, termasuk dalam kalangan pelajar peringkat pascasiswazah sehingga ke Doktor Falsafah (PhD). 

Berbeza daripada pendekatan program konvensional yang lazimnya berpusatkan ceramah satu hala, program ini mengangkat konsep pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Pendekatan ini memberi ruang kepada peserta untuk terlibat secara aktif, mencuba sendiri serta memahami realiti sebenar dunia pendidikan tinggi dan kerjaya secara lebih mendalam. 

image

Amira pelajar perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia kampus Cheras berkongsi laluan universiti untuk bakal pelajar perubatan kepada para peserta 

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai modul praktikal yang dirangka secara komprehensif. Antaranya termasuk simulasi temu duga sebenar, bengkel penulisan resume dan esei, penerokaan laluan pendidikan dan kerjaya, serta pendedahan kepada peluang biasiswa. Tidak ketinggalan, peserta turut diperkenalkan dengan kemahiran masa hadapan seperti pengaturcaraan (coding), penghasilan kandungan digital dan asas pemikiran keusahawanan. 

Pendekatan bersifat hands-on ini dilihat memberi impak yang lebih menyeluruh kepada peserta. Selain meningkatkan tahap kefahaman, ia turut membantu membina keyakinan diri serta keupayaan membuat keputusan secara lebih terarah dan strategik dalam merancang masa depan. 

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Kepimpinan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP), Puan Roslina, usaha yang digerakkan oleh mahasiswa ini wajar diberikan pengiktirafan tinggi kerana mencerminkan semangat kesukarelawanan yang utuh dalam kalangan anak muda. 

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur. Walaupun para fasilitator sibuk dengan komitmen akademik di universiti, mereka tetap meluangkan masa untuk berbakti sebagai sukarelawan demi pembangunan masyarakat. Saya percaya peserta yang hadir hari ini juga akan kembali menyumbang kepada komuniti pada masa hadapan,” katanya.

Pendekatan bimbingan rakan sebaya yang diketengahkan dalam program ini turut dilihat lebih relevan dan berkesan. Hal ini kerana para fasilitator sendiri baru sahaja melalui fasa pasca-SPM, sekali gus menjadikan perkongsian yang disampaikan lebih realistik, mudah difahami dan dekat dengan situasi sebenar peserta. 

Bagi Aqwam Rushdan bin Ahmad Akhyar, lepasan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng yang memperoleh keputusan cemerlang 8A+ dan 3A serta dinobatkan sebagai penerima Anugerah Peserta Lelaki Terbaik, program ini memberi dimensi baharu dalam merancang hala tuju kehidupannya. 

Beliau berkata, pendedahan yang diterima bukan sahaja membantu mengenal pasti laluan pendidikan dan kerjaya yang sesuai, malah memberikan gambaran jelas tentang keperluan sebenar untuk mendapatkan biasiswa serta persediaan memasuki dunia industri. 

“Program ini membuka mata saya untuk lebih jelas tentang matlamat hidup. Saya kini lebih yakin untuk menjadi seorang jurutera yang berjaya dan seterusnya menyumbang kembali kepada masyarakat,” ujarnya. 

Sementara itu, Nufail Damia binti Arifin dari MRSM Taiping turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen para fasilitator yang disifatkannya sebagai sabar dan berdedikasi sepanjang program berlangsung. 

“Dalam dunia hari ini, menjadi pelajar cemerlang sahaja tidak mencukupi. Kita perlu seimbang antara kecemerlangan akademik dan kemahiran insaniah seperti komunikasi serta kebolehan menyesuaikan diri. Program ini membantu kami memahami keperluan tersebut,” katanya. 

Seorang lagi peserta, Misyha Merissa binti Mohd Khairi dari MRSM Pengkalan Chepa, berpandangan bahawa kecemerlangan sebenar tidak hanya terletak pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga pada keupayaan memimpin dan memberi manfaat kepada orang lain. 

“Ramai pelajar cemerlang dari segi akademik, tetapi kurang dari aspek kemahiran insaniah. Pada pandangan saya, individu yang benar-benar berjaya ialah mereka yang mampu memimpin diri dan orang lain, serta sanggup berkongsi masa, tenaga dan pengalaman demi kebaikan bersama,” katanya. 

Lebih daripada sekadar program jangka pendek, Lead Your Future 2026 dilihat sebagai satu model pembangunan belia berasaskan bimbingan rakan sebaya yang berpotensi menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada. Pendekatan ini khususnya membantu lepasan sekolah menyesuaikan diri dengan lebih tersusun dalam menghadapi fasa peralihan ke alam pengajian tinggi dan kerjaya. 

Secara keseluruhannya, konsep “belia membina belia” yang diketengahkan dalam program ini mencerminkan satu anjakan penting dalam landskap pembangunan modal insan negara. Anak muda bukan lagi sekadar penerima manfaat, sebaliknya tampil sebagai agen perubahan yang aktif dalam membentuk generasi masa hadapan yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.