Bermula dari Minat, Zi Ying Membuka Dua Kedai pada usia 20

Oleh: Tong Khaa Yan & Kok Xue Lee

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Bermula daripada minat terhadap bidang kreatif, seorang usahawan muda berusia 20 tahun berjaya membuka dua kedai fizikal dalam tempoh hanya enam bulan, sekali gus menjadikan minat sebagai sumber pendapatan dan kerjaya.

Daripada sebuah studio DIY cincin, sehingga berkembang menjadi ruang konsep yang menggabungkan photobooth, kamera CCD dan pengalaman kraftangan, pengasas “Made In 19”, Zi Ying, berjaya menjadikan minat sebagai kerjaya dan membina laluan keusahawanannya sendiri. Nama “Made In 19” pula diambil ketika beliau memulakan perjalanan dalam dunia perniagaan sempena usia 19 tahun.

Cawangan pertama Made In 19 terletak di SS15, Subang Jaya dan mula beroperasi pada November tahun 2025. Pada peringkat awal, kedai itu menawarkan perkhidmatan photobooth dan gambar Polaroid. Dengan konsep yang unik, kedai menjadi tular di platform media sosial seperti RED dan Instagram, sekali gus menarik ramai golongan muda untuk berkunjung. Hanya dalam tempoh enam bulan selepas pembukaan cawangan pertama, beliau membuka cawangan kedua di Cheras serta memperluaskan perkhidmatan kepada DIY cincin, seni manik (beads) dan pengalaman fotografi layan diri.

Mengimbas kembali perjalanan keusahawanannya, Zi Ying berkongsi bahawa semuanya bermula pada tahun 2020 ketika beliau baru berusia 14 tahun dan masih bergelar pelajar sekolah menengah di Ipoh, Perak. Dalam tempoh pandemik COVID-19 yang memaksa orang ramai berada di rumah, beliau mula berjinak-jinak dengan perniagaan seni bunga selepas dipengaruhi oleh ahli keluarganya. Daripada belajar sehingga rakan-rakan mula membeli hasil kerjanya, pengalaman itu membuka jalan untuk beliau mengenal pasti bidang perniagaan yang diminati.

Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2023, Zi Ying berpindah ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran. Di situlah timbul idea untuk membuka studio DIY cincin. Dengan modal sekitar RM700 bagi menyewa ruang dan membeli bahan mentah, beliau mula menawarkan pengalaman membuat cincin perak tulen pada harga lebih mampu milik.

“Kami mula mempromosikan di RED dan tempahan untuk tiga bulan terus penuh, dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam,” katanya.

Walaupun sudah terdapat kedai DIY cincin di pasaran ketika itu, Zi Ying berpendapat harga yang ditawarkan kebanyakannya terlalu tinggi. Oleh itu, beliau memilih untuk menawarkan pengalaman DIY cincin perak pada harga lebih mesra pelajar.

Berhubung perkembangan perniagaannya daripada DIY cincin kepada konsep lebih besar seperti photobooth dan pengalaman fotografi layan diri, Zi Ying berkata beliau menyedari ketika itu belum ada kedai di Malaysia yang menggabungkan jualan kamera CCD dengan perkhidmatan photobooth dalam satu ruang. Beliau kemudiannya mengambil keputusan menjadi perintis dalam bidang tersebut dengan membawa konsep kedai koleksi yang ditemui semasa melancong ke luar negara, lalu lahirlah “Made In 19”.

Bagi mencari inspirasi baharu, Zi Ying mendedahkan beliau akan ke luar negara untuk membuat kajian pasaran hampir setiap bulan, khususnya mengikuti trend pengguna di China, Jepun dan Korea Selatan bagi mencari konsep yang sesuai diperkenalkan di Malaysia.

Ketika memulakan perniagaan ini, Zi Ying yang berusia 19 tahun masih mengikuti program prauniversiti. Pada waktu itu, beliau menggunakan masa lapang untuk membalas mesej pelanggan dan mengurus strategi pemasaran seorang diri. Apabila berlaku masalah di kedai, beliau akan mengetepikan urusan pelajaran untuk memberi tumpuan kepada perniagaan. Disebabkan kesukaran menyeimbangkan pelajaran dan perniagaan, beliau membuat keputusan menangguhkan pengajian dan memberi fokus sepenuhnya kepada bidang keusahawanan.

Pengalaman tersebut membuatkan beliau sedar bahawa berbanding laluan konvensional iaitu belajar, tamat pengajian dan bekerja, beliau lebih cenderung memilih dunia perniagaan agar masa depan dapat ditentukan sendiri.

Mengimbas perjalanan “berjuang sendirian”, Zi Ying menyifatkan proses itu sebagai “menangguhkan keseronokan”.

“Ketika rakan-rakan saya keluar berseronok, saya sedang berusaha membangunkan perniagaan. Ketika mereka keluar makan lewat malam, saya berada di bilik memikirkan strategi pemasaran,” katanya.

Apabila melihat kembali perjalanan itu serta pencapaian yang diraih, beliau percaya segala masa yang “dikorbankan” berbaloi.

Ramai mungkin menganggap seseorang yang mampu membuka cawangan kedua dalam tempoh singkat, adalah datang daripada keluarga berada dan mempunyai ruang untuk mencuba. Namun realitinya berbeza. Zi Ying berasal daripada keluarga yang ibu bapanya berpisah dan dibesarkan oleh datuk dan nenek. Keadaan kewangan keluarga menjadikan beliau lebih memahami nilai wang sejak kecil.

Ketika mula mempunyai hasrat untuk berniaga, bekas teman lelakinya pernah memberi sekitar RM200 sebagai modal permulaan. Beliau menggunakan wang itu untuk memulakan langkah pertama dalam perniagaan dan mengembangkan modal tersebut sedikit demi sedikit. Modal itu bukan sahaja mengurangkan tekanan kewangan pada awal perniagaan, malah membolehkannya mengurus perniagaan secara lebih bebas tanpa bergantung kepada rakan kongsi atau francais.

Daripada mula menceburi perniagaan seni bunga pada usia 14 tahun sehingga mengendalikan dua kedai fizikal pada usia 20 tahun, bagi Zi Ying, kejayaan dalam perniagaan bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Ia memerlukan proses mencuba, menangguhkan keseronokan serta terus bertahan ketika orang lain tidak melihat usaha yang dilakukan.

Kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang keusahawanan, Zi Ying menasihatkan supaya berani mencuba, tetapi pada masa sama perlu mempertimbangkan sama ada mereka mampu menanggung risiko kegagalan.

“Kamu perlu membuat kajian, mengenali lebih ramai rakan dalam dunia perniagaan kerana banyak perkara, jika tidak tahu, kamu sangat mudah ditipu,” katanya.