Riduan Nasir Kongsi Rahsia Kekal Cemerlang Sebagai Atlet dan Pelajar UKM

Oleh: Muhamad Nur Hakim Bin Rosli & Nurain Batrisyia Binti Rizal Rizam

BANGI, 20 Mei – Atlet silat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Riduan Bin Nasir membuktikan bahawa kejayaan dalam sukan dan akademik mampu dicapai secara seiring hasil disiplin tinggi, pengurusan masa yang baik serta semangat juang yang konsisten dalam menjalani kehidupan sebagai atlet universiti.

Riduan yang merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan bekas atlet SUKMA Pahang pada edisi SUKMA Sarawak berkongsi rutin hariannya yang padat demi memastikan dirinya terus berada pada tahap terbaik sebagai atlet dan pelajar universiti.

Menurut Riduan, beliau akan bangun seawal jam 4 pagi setiap hari bagi melakukan larian sejauh lima kilometer sebelum menunaikan solat Subuh dan memulakan aktiviti harian sebagai pelajar di kampus. Baginya, waktu awal pagi merupakan tempoh paling sesuai untuk membina ketahanan fizikal dan mental selain memberi ruang untuk dirinya lebih bersedia menghadapi jadual harian yang padat.

“Saya memang biasakan diri bangun awal sebab waktu pagi sangat penting untuk bina stamina dan kekuatan mental. Lepas jogging, saya akan bersiap ke kelas seperti biasa sebelum sambung latihan pada waktu petang dan malam,” katanya ketika ditemui di sesi latihan Kelab Pencak Silat UKM.

Tambah Riduan lagi, jadual hariannya perlu diurus dengan sangat teliti bagi memastikan prestasi akademik tidak terjejas walaupun menjalani latihan intensif hampir setiap hari. Beliau mengakui kehidupan sebagai atlet universiti bukan sesuatu yang mudah kerana perlu mengekalkan prestasi dalam dua bidang pada masa yang sama.

“Sebagai atlet universiti, saya kena pandai bahagi masa. Bila ada kelas saya fokus belajar, bila latihan saya fokus sepenuhnya kepada sukan. Disiplin itu paling penting kalau nak berjaya dalam kedua-dua bidang,” ujarnya.

Menurut beliau, cabaran terbesar yang sering dihadapi ialah mengurus tekanan fizikal dan mental terutama ketika musim pertandingan dan peperiksaan berlangsung serentak. Namun begitu, Riduan percaya setiap cabaran mampu diatasi sekiranya seseorang mempunyai matlamat yang jelas dan sentiasa berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Selain latihan yang konsisten, Riduan turut menitikberatkan aspek pemakanan sihat bagi memastikan tahap kecergasan sentiasa berada dalam keadaan optimum menjelang kejohanan. Beliau menyifatkan pemakanan sebagai salah satu elemen utama dalam membantu atlet mengekalkan tenaga, kecergasan serta proses pemulihan badan selepas menjalani latihan intensif.

Menurutnya, beliau lebih memilih makanan tinggi protein seperti ayam, telur dan sayur-sayuran selain mengurangkan makanan berminyak, makanan segera serta minuman manis.

“Saya memang jaga makan sebab pemakanan sangat mempengaruhi prestasi atlet. Biasanya saya akan makan makanan yang bersih dan seimbang supaya badan lebih ringan, cepat pulih dan bertenaga semasa latihan,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa menjaga pemakanan bukan sahaja penting untuk memastikan berat badan kekal dalam kategori pertandingan, malah membantu dirinya lebih fokus ketika berada di dalam kelas dan semasa menjalani sesi latihan yang panjang.

Dalam pada itu, Riduan turut berkongsi bahawa waktu rehat dan tidur juga memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang atlet. Baginya, proses pemulihan badan perlu diberikan perhatian sama seperti latihan fizikal kerana ia memberi kesan besar terhadap prestasi harian.

“Saya cuba tidur awal sekitar jam 10 atau 11 malam supaya badan dapat rehat yang cukup. Kalau tidur tak cukup, prestasi latihan dan fokus dalam kelas pun boleh terganggu,” katanya.

Menurut Riduan lagi, sokongan daripada keluarga, rakan sepasukan serta jurulatih menjadi sumber motivasi utama untuk dirinya terus berjuang walaupun terpaksa melalui rutin yang sangat mencabar setiap hari. Beliau juga berterima kasih kepada pihak universiti yang sentiasa memberi sokongan kepada atlet pelajar dalam mengimbangi tuntutan akademik dan sukan.

Hasil disiplin serta kerja keras yang ditunjukkan, Riduan kini bakal membawa cabaran Malaysia ke Asia University Games bagi kategori tanding kelas D (60-65 kilogram). Kejayaan tersebut sekali gus menjadi satu pencapaian membanggakan bukan sahaja buat dirinya, malah kepada keluarga, jurulatih serta warga UKM.

Beliau turut menjadikan Kejohanan Terbuka Tangkak yang bakal berlangsung Jun ini sebagai medan persiapan terakhir bersama pasukan Kelab Pencak Silat UKM sebelum menghadapi kejohanan antarabangsa tersebut. Menurutnya, kejohanan itu amat penting untuk menguji tahap kecergasan semasa selain mengenal pasti kelemahan yang masih perlu diperbaiki sebelum turun beraksi di pentas lebih besar.

“Kejohanan Tangkak nanti penting untuk nilai prestasi semasa dan perbaiki kelemahan sebelum saya turun mewakili Malaysia. Saya harap dapat berikan yang terbaik demi negara, keluarga dan UKM,” katanya penuh semangat.

Tambah beliau lagi, peluang mewakili negara merupakan impian setiap atlet dan pengalaman tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman serta meningkatkan lagi prestasi diri pada masa hadapan.

Semangat juang, disiplin serta pengorbanan yang ditunjukkan Riduan jelas membuktikan bahawa atlet universiti bukan sahaja mampu menyerlah di arena sukan, malah turut cemerlang dalam akademik sehingga menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus mengejar kejayaan dalam pelbagai bidang. Kecekalan yang dipamerkan beliau juga membuktikan bahawa kejayaan tidak hadir dengan mudah, sebaliknya memerlukan usaha berterusan, pengorbanan masa serta komitmen tinggi dalam mencapai impian.