Oleh: Muhamad Aamirul Irsyad Bin Muhamad Rawee, Nur Fazdlyatul Hasyarah Binti Mohd Zaki

“Suasana di Petronas Persiaran Mahkota Cheras sebelum pengumuman pengurangan kuota subsidi BUDI95”
CHERAS, 6 Apr – Pengurangan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter beberapa hari yang lalu oleh kerajaan telah mencetuskan fenomena “Panic Buying” atau pembelian panik dalam kalangan pengguna, terutamanya menjelang bulan baharu. Suasana ini dapat dilihat di Petronas Persiaran Mahkota Cheras apabila ratusan kenderaan berpusu-pusu mengisi minyak bagi menghabiskan kuota 300 liter yang sedia ada sebelum had baharu diperkenalkan.
Menurut penyelia yang juga dikenali sebagai Uniey Yusoff, peningkatan jumlah kenderaan berlaku secara mendadak pada hari-hari terakhir sebelum perubahan had subsidi dilaksanakan. Menerusi pelaksanaan yang baharu, pengguna hanya boleh menghabiskan had maksimum sebanyak 300 liter pada hujung bulan Mac sebelum ia dikurangkan kepada 200 liter bermula awal bulan April.
“Memang berlaku pembelian panik baru-baru ini, terutamanya pada penghujung bulan Mac. Pengguna datang beramai-ramai untuk mengisi minyak sebelum had baharu dilaksanakan pada bulan hadapan. Mereka cuba menggunakan sepenuhnya kuota yang sedia ada sebelum ia dikurangkan,” katanya.
Meskipun berlaku peningkatan dari segi jumlah pengisian minyak dalam tempoh tersebut, penyelia stesen minyak ini menjelaskan bahawa operasi di stesen ini masih berjalan seperti biasa. Walau bagaimanapun, peningkatan harga minyak tetap memberi kesan terhadap kos operasi harian.
“Apabila harga minyak meningkat, kos operasi kami juga turut meningkat. Walau bagaimanapun, margin keuntungan masih kekal sama. Dari segi keuntungan, tidak banyak perubahan walaupun harga minyak naik,” katanya lagi.
Dari aspek corak penggunaan petrol pula, perubahan drastik dapat dilihat dalam kalangan pengguna. Menurut beliau, majoriti pengguna masih bergantung kepada RON95, berikutan adanya subsidi melalui program BUDI95 yang jelas membantu mengekalkan kemampuan pengguna.
“Untuk RON95, penjualan masih berada pada tahap normal kerana ada subsidi. Pengguna masih bergantung kepada bekalan minyak ini untuk kegunaan harian mereka,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, situasi berbeza dapat dilihat bagi penggunaan RON97. Peningkatan harga petrol tersebut membuatkan ramai pengguna beralih kepada RON95 sebagai pilihan alternatif yang lebih menjimatkan.
“Kalau kita tengok, sebelum ini memang ada pengguna tetap RON97. Tapi bila harga naik, kebanyakkan mereka sudah bertukar kepada RON95, terutama sekali apabila wujudnya BUDI95 yang dilaksanakan oleh kerajaan. Hanya segelintir sahaja yang masih menggunakan RON97, dan ini kebiasannya bagi mereka yang mementingkan prestasi enjin atau penjagaan kenderaan,” katanya lagi.
Selain itu, perubahan yang ketara juga dapat dilihat bagi penggunaan diesel berbanding sebelum ini. Menurut Uniey Yusoff, keadaan ini berkait rapat dengan isu subsidi dan kelayakan pengguna tertentu.
Mengulas dengan lebih lanjut, beliau juga menyatakan bahawa tidak semua pengguna layak menerima subsidi bagi Program BUDI95. Antaranya termasuk warga asing serta individu yang tidak mempunyai lesen memandu sah atau gagal memperbaharuinya.
“Bagi golongan individu yang tidak layak seperti warga asing atau mereka yang tiada lesen, mereka tidak boleh menikmati subsidi BUDI95. Namun, masih ada dalam kalangan mereka yang menggunakan RON95 untuk kenderaan masing-masing,” ujarnya.
Dari aspek pemantauan pula, pihak syarikat stesen minyak sentiasa berwaspada bagi memastikan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sentiasa dipatuhi. Hal ini termasuk dalam memastikan bahawa warga asing tidak mengisi RON95 yang hanya ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
“Kami memang sentiasa pantau. Kenderaan warga asing tidak dibenarkan mengisi RON95. Jika didapati melanggar peraturan, tindakan boleh dikenakan terhadap pihak stesen. Jadi, kami hanya membenarkan mereka mengisi diesel atau RON97 sahaja,” jelasnya.
Secara keseluruhan, beliau menjangkakan bahawa fenomena pembelian panik ini berpotensi untuk kembali pada masa akan datang, khususnya jika negara berhadapan dengan pengumuman baharu berkaitan harga petrol atau perubahan dasar subsidi oleh pihak kerajaan. Keadaan ini juga mendorong pengguna untuk mengambil tindakan awal sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan peningkatan kos, serta menunjukkan tahap kepekaan pengguna dalam menyesuaikan diri dengan perubahan yang memberi kesan kepada perbelanjaan harian.
“Perkara ini mungkin akan berlaku lagi jika ada perubahan harga atau polisi. Pengguna biasanya akan bertindak lebih awal untuk berjimat dan mengelakkan kos meningkat. Situasi ini menunjukkan bahawa pengguna semakin peka dengan setiap perubahan yang berlaku,” katanya.
Hasil temu bual bersama pengguna mendapati bahawa mereka memahami tentang situasi yang berlaku di Asia Barat. Pengguna tersebut berkata bahawa pengurangan subsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter ini berikutan penutupan Selat Hormuz akibat konflik Asia Barat. Justeru itu, pengguna perlu menyesuaikan perbelanjaan dengan lebih berjimat bagi mengelakkan beban kewangan sekiranya keadaan ini berterusan.
“Kami sebagai pengguna faham konflik yang berlaku berikutan penutupan Selat Hormuz di Asia Barat memang mempengaruhi harga minyak di negara kita. Tidak dapat dinafikan, perubahan seperti pengurangan subsidi ini memberi kesan kepada perbelanjaan harian kami. Namun, kita kena menyesuaikan penggunaan dengan lebih berjimat supaya tidak terlalu terbeban jika keadaan ini berterusan,” katanya.
Isu minyak yang melanda di seluruh negara ini dijangka akan berterusan untuk jangka masa yang panjang, berikutan penutupan Selat Hormuz di Asia Barat.

