Di Sebalik Senyuman Itu, Ada Harga yang Tidak Murah

Oleh: Rozaireen Rozi & Azhar Abrisham

(Gambar Sumber daripada Google)

Industri penerbangan global menjana pendapatan lebih USD 803 bilion pada tahun 2023 mengikut laporan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), dengan anggaran 4.7 bilion penumpang terbang di seluruh dunia.

Di sebalik angka besar itu, berdiri ribuan kru kabin yang menjalankan tugas dengan senyuman, seragam kemas dan kesabaran yang tidak ternilai. Namun, kajian oleh Persatuan kru Kabin Eropah mendapati lebih 60 peratus daripada mereka mengalami keletihan kronik, manakala kajian lain oleh Universiti Surrey mendapati tahap tekanan psikologi dalam kalangan kru kabin adalah antara yang tertinggi berbanding pekerjaan lain dalam sektor perkhidmatan.

Di Malaysia, persoalan ini mula mendapat perhatian awam melalui pelbagai platform, termasuk podcast, dokumentari, berita yang mendedahkan realiti pahit kehidupan kru kabin yang selama ini tersembunyi di balik kilauan media sosial.

Gambar sarapan pagi di Melbourne, makan tengah hari di Seoul, makan malam di Tokyo. Itulah yang terpampang di media sosial. Itulah juga yang menyebabkan ramai orang mendambakan kerjaya ini.

Tetapi apa yang tidak terpapar dalam gambar itu ialah kru kabin yang menangis seorang diri di bilik hotel, jauh dari tanah air, selepas menerima berita kematian ahli keluarga dan tidak dibenarkan pulang serta-merta kerana prosedur syarikat tidak memberi kelonggaran kecuali untuk kehilangan keluarga terdekat sahaja.

Tidak terpapar juga kru yang ditegur secara lantang oleh pengurus grooming hanya kerana jerawat yang tidak dapat ditutup dengan bedak asas, lalu digrounded dan kehilangan pendapatan kerana bayaran bergantung sepenuhnya kepada jam terbang.

Tidak terpapar tekanan berat badan yang dipantau ketat, kesepian yang melingkari jiwa setiap kali mendarat di negara orang, dan perasaan kosong yang datang walaupun badan sudah kembali ke bumi.

Persoalannya, mengapa beban ini terus dibiarkan sebagai rahsia industri? Adakah syarikat penerbangan benar-benar tidak menyedari tekanan yang ditanggung oleh tulang belakang operasi mereka, atau mereka memilih untuk tidak bertanya supaya tidak perlu bertindak balas?

Lebih membimbangkan, apakah kesan jangka panjang kepada keselamatan penerbangan apabila kru yang bertugas di udara membawa beban emosi dan fizikal yang tidak ditangani dengan serius? Kru kabin bukan sekadar pelayan udara.

Dalam kecemasan, mereka adalah paramedik, pegawai keselamatan dan pemandu acara serentak. Justeru, apabila seseorang yang menanggung tanggungjawab sebesar itu terpaksa beroperasi dalam keadaan tertekan, penat dan kosong dari dalam, apakah yang sebenarnya sedang dipertaruhkan?

Jawapannya tidak rumit, tetapi memerlukan keberanian pihak industri untuk berubah.

Pertama, syarikat penerbangan perlu mengkaji semula dasar cuti kecemasan supaya merangkumi kehilangan ahli keluarga bukan sekadar yang terdekat mengikut definisi sempit undang-undang.

Manusia tidak memilih siapa yang dirindui. Kedua, program sokongan kesihatan mental perlu diwujudkan secara serius bukan sebagai dokumen polisi yang bersila dalam fail, tetapi sebagai perkhidmatan yang mudah diakses tanpa stigma.

Negara-negara seperti Australia dan Britain sudah lama mewajibkan syarikat penerbangan menyediakan akses kepada kaunselor bebas untuk kru kabin. Malaysia sepatutnya tidak ketinggalan. Ketiga, standard penampilan yang ada perlu disemak agar lebih manusiawi.

Profesionalisme tidak bermakna perlunya menyiksa, kru boleh tetap kelihatan kemas dan berwibawa tanpa tekanan yang menghakis harga diri. Syarikat yang menjaga pekerja adalah syarikat yang pada akhirnya menjaga penumpang.

Setiap kali menaiki pesawat, ada manusia di hadapan yang tersenyum bukan kerana tiada apa yang membebani, tetapi kerana profesionalisme yang begitu tinggi mengalahkan segala beban yang dibawa.

Harga senyuman itu tidak patut diabaikan. Industri penerbangan tidak boleh terus bergantung pada pengorbanan senyap kru kabinnya tanpa memberi sesuatu yang bermakna sebagai balasan.

Sudah tiba masanya cerita di sebalik seragam itu didengar, bukan sekadar dihargai dari jauh. Kerana di sebalik gelora yang diharungi dengan senyuman, ada insan yang perlu dimanusiakan.