Meneruskan Impian Sahabat: Perjalanan Pelajar UKM dari Teater ke Industri Filem Tamil

Oleh: Sarwiishan Manohar dan Muhammad Izuan Izudin

Teater MTK(VIII)”PUTHIYATHOR VIDIYAL” di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia

BANGI, 2 Jun – Kehilangan seorang sahabat rapat akibat kemalangan menjadi titik perubahan yang membawa Arvindasamy A/L Navendran Kumar, 23,  untuk menceburi dunia lakonan dan filem secara lebih serius. Hari ini, pelajar tahun ketiga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu semakin dikenali menerusi penglibatannya dalam pelbagai filem pendek Tamil tempatan.

Arvindasamy, yang mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan (TESL) di Fakulti Pendidikan UKM, berkata minatnya terhadap dunia filem sebenarnya telah bermula sejak kecil. Dibesarkan oleh datuk dan nenek di Kajang, Selangor, beliau sering menemani neneknya menonton filem-filem Tamil di rumah.

Menurutnya, pada mulanya beliau sekadar gemar menonton filem sebagai hiburan. Namun, minat tersebut berkembang apabila beliau mempunyai seorang sahabat rapat yang bercita-cita untuk menjadi pengarah filem.

“Saya mempunyai seorang kawan yang sangat meminati bidang perfileman dan bercita-cita menjadi pengarah. Dia sering menghasilkan skrip dan bercerita tentang jalan cerita yang diciptanya kepada saya. Ketika mendengar cerita-cerita itu, saya selalu membayangkan diri saya sebagai watak utama dalam karya yang dihasilkannya,” katanya.

Beliau berkata persahabatan tersebut membuka ruang untuk beliau mengenali dunia filem dengan lebih mendalam. Melalui rakannya, beliau mula mempelajari asas-asas penceritaan, pembangunan watak dan proses penghasilan sesebuah karya.

Namun, segalanya berubah apabila sahabat yang menjadi sumber inspirasi itu meninggal dunia dalam satu kemalangan.

“Kehilangannya memberi kesan yang sangat besar kepada saya. Pada waktu itu saya sukar menerima kenyataan bahawa sahabat rapat saya sudah tiada. Selepas kejadian itu, saya mula berfikir untuk meneruskan impian yang pernah kami kongsi bersama,” katanya.

Menurut Arvindasamy, pengalaman tersebut menjadi pendorong utama untuk beliau mendalami bidang filem dan lakonan dengan lebih serius. Beliau berazam untuk menjadikan setiap pencapaian yang diperoleh sebagai penghargaan kepada sahabatnya yang telah pergi.

Langkah awalnya bermula apabila beliau menyertai sebuah bengkel lakonan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Pengalaman tersebut membuka peluang untuk beliau mengenali dunia lakonan secara profesional dan mengukuhkan lagi minat yang telah lama terpendam.

“Penglibatan saya dalam bidang lakonan bermula selepas menghadiri bengkel lakonan FINAS. Dari situ saya mula melihat bidang ini sebagai sesuatu yang boleh diceburi dengan lebih serius,” ujarnya.

Selepas itu, Arvindasamy mula membawakan beberapa watak sampingan sebelum diberi peluang menyertai Malam Teater Kesenian (MTK VIII) UKM menerusi drama Tamil bertajuk Puthiyathor Vidiyal. Penglibatan dalam pementasan tersebut menjadi titik penting dalam perkembangan kerjayanya sebagai pelakon.

Beliau berkata pengalaman dalam teater banyak membantu membentuk disiplin, kesabaran dan komitmen yang diperlukan dalam dunia seni persembahan. Selain itu, latihan vokal yang intensif turut meningkatkan keyakinan dirinya ketika berhadapan dengan penonton.

“Dalam teater, kami tidak menggunakan mikrofon. Oleh itu, kami perlu melatih suara supaya lebih jelas dan lantang. Kemahiran itu masih saya gunakan sehingga hari ini sebelum memulakan penggambaran,” katanya.

Menurutnya, teater juga mengajarnya untuk mengawal emosi dan mengekalkan fokus walaupun berhadapan pelbagai cabaran sepanjang latihan. Pengalaman beraksi secara langsung di hadapan penonton memberi keyakinan yang tinggi dan membantu beliau menghayati watak dengan lebih mendalam.

Berbekalkan pengalaman tersebut, Arvindasamy mula menghadiri pelbagai sesi uji bakat dan pemilihan pelakon bagi mengembangkan kerjayanya dalam industri filem pendek Tamil. Usaha yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menerima pelbagai tawaran lakonan dan berpeluang bekerjasama dengan pengarah serta syarikat produksi tempatan.

Sehingga kini, Arvindasamy telah terlibat dalam pelbagai filem pendek Tamil termasuk Kaali, Udaintha Siragu, Pattanathu Rajakkal, Aananghu, Yaksi, Ninaivaai Nee, Aan Paavam, Tape 29/2 Recovered, Metro Maalai, PenQueen dan Sexy Durga. Filem-filem pendek tersebut berjaya meraih perhatian dalam industri filem Tamil tempatan, sekali gus memperkukuhkan kedudukan beliau sebagai antara bakat muda yang semakin menyerlah dalam bidang lakonan.

image

                                       Shot pertama dari Filem Pendek “Aan Paavam”

Walaupun semakin aktif dalam industri filem, beliau mengakui bahawa peralihan daripada pentas teater ke hadapan kamera bukanlah sesuatu yang mudah. Menurutnya, lakonan di hadapan kamera memerlukan pendekatan yang lebih halus dan natural berbanding persembahan teater yang menuntut penggunaan suara serta pergerakan yang lebih besar.

Selain perlu menyesuaikan teknik lakonan, beliau juga berdepan persaingan yang tinggi dalam industri dan perlu menghadiri pelbagai sesi uji bakat sebelum memperoleh peluang yang sesuai. Namun, beliau menganggap setiap cabaran sebagai pengalaman berharga yang membantu membentuk dirinya menjadi seorang pelakon yang lebih versatil dan profesional.

Ketika ditanya mengenai pencapaian yang paling membanggakan, Arvindasamy berkata sokongan yang diterima daripada penonton merupakan penghargaan terbesar dalam perjalanan kerjayanya.

“Saya sering menerima mesej dan kata-kata penghargaan daripada penonton. Sokongan mereka memberi semangat kepada saya untuk terus berkarya dan memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

image

                                   Gambar Behind The Scene dari Filem Pendek

Melangkah ke hadapan, beliau berharap dapat membintangi lebih banyak filem pendek, projek terbitan Astro dan pementasan teater. Bagi Arvindasamy, setiap langkah yang diambil dalam industri seni bukan sekadar untuk mencapai impian sendiri, tetapi juga untuk meneruskan impian seorang sahabat yang pernah memperkenalkannya kepada dunia filem.

“Saya mahu terus berkarya dan berkembang dalam bidang ini. Setiap kejayaan yang saya capai akan sentiasa saya dedikasikan kepada sahabat yang pernah menjadi inspirasi terbesar dalam perjalanan saya,” katanya.