Oleh: Nurina Amani & Thanam

Keadaan trafik di Plaza Tol Gombak sesak berikutan sambutan Aidiladha dan cuti sekolah – Gambar Kredit Berita Harian- NSTP/ Aswadi Alias
BANGI 2 Jun: Fenomena kesesakan luar biasa di lebuhraya Malaysia setiap kali musim perayaan kini seolah-olah menjadi sebahagian daripada kitaran hidup masyarakat. Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha 2026 yang jatuh serentak dengan cuti persekolahan, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Mohd Hadzmir Yusof, melaporkan aliran trafik harian di rangkaian lebuh raya utama dijangka mencecah 3.3 juta kenderaan pada waktu puncak.
Data ini memaparkan kenaikan mendadak jika dibandingkan dengan tahun lepas yang hanya mencatatkan kira-kira 2 juta kenderaan. Sepanjang tempoh puncak tersebut, PLUS Malaysia turut melaporkan jumlah kenderaan harian mencecah 2.2 juta unit.
Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia mendedahkan statistik membimbangkan apabila 23 nyawa terkorban daripada 1,225 kes kemalangan jalan raya di seluruh negara pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidiladha 2026.
Angka kematian ini menunjukkan trend peningkatan yang serius berbanding hanya 15 kematian yang direkodkan pada hari sebelumnya.

Statistik harian kemalangan dan kematian seluruh negara pada 27 Mei 2026 oleh JSPT PDRM.
Kawasan pelancongan popular kini dibanjiri oleh kenderaan dan orang ramai akibat lonjakan luar biasa pelancong. Menurut jangkaan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, dianggarkan sebanyak 1.9 juta kenderaan memasuki negeri tersebut. Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Datuk Tony Goh, menyatakan bahawa perkembangan ini telah menyebabkan kadar tempahan hotel mencapai kapasiti penuh, khususnya di kawasan tumpuan pelancong, dengan kadar antara 90 hingga 100 peratus.

Kesesakan di Jambatan Pulau Pinang semasa sambutan Aidiladha 2026 serta musim cuti sekolah.
Kesan kesesakan lalu lintas sempena Aidiladha 2026 bukan sekadar dirasai di lebuh raya utama, malah merebak ke kawasan bandar dan pusat pelancongan.
Fenomena ini sangat ketara di Terengganu, di mana lokasi ikonik seperti Jambatan Angkat dan Pasar Payang sesak dengan kenderaan sehingga mencetuskan keadaan luar biasa. Hal ini mendorong pengguna Threads, @_Aljufry, memuat naik imej janaan AI yang memaparkan lautan manusia dengan kapsyen jenaka, “Keadaan Terengganu sekarang. 8.1 bilion manusia ‘is real’.”
Walau bagaimanapun, sindiran tersebut gagal meredakan kekecewaan penduduk tempatan seperti @_Misscmah yang meluahkan hasrat untuk meninggalkan Terengganu buat seketika akibat rimas dengan kehadiran pelancong yang tidak terkawal sehingga meminggirkan warga asal di negeri sendiri.


Tangkap layar hantaran tular di aplikasi Threads
Di sebalik statistik jutaan kenderaan yang memenuhi jalan raya, terdapat realiti yang jarang mendapat perhatian di media sosial , daripada kisah petugas barisan hadapan seperti doktor dan jururawat yang terlewat ke hospital akibat terkandas, sehinggalah kepada penderitaan bayi yang menangis kepanasan di dalam kenderaan serta warga emas yang terlepas waktu pengambilan ubat-ubatan mereka.
Di Cameron Highlands, infrastruktur jalan kampung yang sempit terpaksa menampung beban aliran trafik setanding lebuh raya ibu kota. Situasi ini menjadi lebih meruncing apabila kempen pelancongan domestik terus agresif menarik jutaan pelawat ke destinasi yang sebenarnya tidak mempunyai kapasiti infrastruktur yang mencukupi untuk menampung tekanan sebegitu besar.
Rentetan daripada permasalahan yang timbul, terdapat beberapa persoalan yang perlu diatasi oleh semua pihak yang berkepentingan Pertama, mengapakah fenomena kesesakan dan kemalangan maut ini terus berulang setiap musim perayaan tanpa sebarang penyelesaian yang bermakna, sedangkan kita telah mempunyai data dan pengalaman yang cukup selama berdekad-dekad?
Kedua, mengapakah destinasi pelancongan terus dipromosikan secara agresif tanpa sebarang pengurusan kapasiti yang sistematik, sedangkan infrastruktur yang ada jelas tidak mampu menampung jumlah pengunjung yang diundang? Dan persoalan yang terakhir, adakah kaedah pengurusan trafik yang digunakan selama ini sudah lapuk dan perlu digantikan dengan pendekatan yang lebih moden, berasaskan data, dan teknologi?
Bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut, beberapa langkah proaktif yang boleh dilaksanakan.Pertama, pihak kerajaan memperkenalkan dan memperluaskan penggunaan sistem pengurusan trafik pintar secara menyeluruh di semua lebuh raya utama bagi penyelesaian kesesakan lalu lintas seperti pemantauan masa nyata dan meramalkan kesesakan lalu lintas sebelum ia berlaku.
Kedua, kementerian pelancongan dan kerajaan tempatan perlu menubuhkan Pertubuhan Pengurusan Destinasi (Destination Management Organization) yang berkuasa menetapkan had kapasiti harian bagi setiap destinasi pelancongan popular, termasuk Cameron Highlands dan Pulau Pinang.
Pelaksanaan Ops Payung oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Februari 2026 adalah langkah yang betul dan perlu diperluas serta dikuatkuasakan dengan lebih tegas di semua destinasi pelancongan utama negara. Ketiga, kemudahan Park & Ride dan pengangkutan awam khas musim perayaan perlu diperluaskan ke kawasan pelancongan utama serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya perlu diperketatkan terutamanya terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk dan melanggar had laju.
Gabungan langkah-langkah ini, jika dilaksanakan dengan serius dan konsisten, mampu mengubah landskap keselamatan jalan raya Malaysia.
Fenomena kesesakan dan kemalangan maut musim perayaan tidak wajar dianggap tradisi tahunan tanpa penyelesaian. Isu ini berpunca daripada kelemahan dasar, sikap masyarakat, serta kegagalan sistem pengangkutan dan pelancongan berevolusi selari dengan lonjakan permintaan.
Kitaran negatif ini boleh ditamatkan melalui usaha kerjasama antara kerajaan, penguatkuasa, industri pelancongan, dan orang awam demi menjamin keselamatan dan kualiti hidup rakyat.

