Sukan

image

Riduan Nasir Kongsi Rahsia Kekal Cemerlang Sebagai Atlet dan Pelajar UKM

BANGI, 17 Mei – Atlet silat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Riduan Nasir membuktikan bahawa kejayaan dalam sukan dan akademik mampu dicapai secara seiring hasil disiplin tinggi, pengurusan masa yang baik serta semangat juang yang konsisten.

Riduan merupakan pelajar Tahun Tiga Fakulti Pendidikan UKM serta bekas atlet SUKMA Pahang pada edisi SUKMA Sarawak berkongsi rutin hariannya yang padat demi memastikan dirinya terus berada pada tahap terbaik sebagai atlet dan pelajar universiti.

Menurut Riduan, beliau akan bangun seawal jam 4 pagi setiap hari bagi melakukan larian sejauh lima kilometer sebelum menunaikan solat Subuh dan memulakan aktiviti harian sebagai pelajar di kampus.

“Saya memang biasakan diri bangun awal sebab waktu pagi sangat penting untuk bina stamina dan kekuatan mental. Lepas jogging, saya akan bersiap ke kelas seperti biasa sebelum menyambung

latihan pada waktu petang dan malam,” katanya ketika ditemui di sesi latihan Kelab Pencak Silat UKM.

Tambah Riduan lagi, jadual hariannya perlu diurus dengan sangat teliti bagi memastikan prestasi akademik tidak terjejas walaupun menjalani latihan intensif hampir setiap hari.

“Sebagai atlet universiti, saya kena pandai bahagi masa. Bila ada kelas saya fokus belajar, bila latihan saya fokus sepenuhnya kepada sukan. Disiplin itu paling penting kalau nak berjaya dalam kedua-dua bidang,” ujarnya.

Selain latihan yang konsisten, Riduan turut menitikberatkan aspek pemakanan sihat bagi memastikan tahap kecergasan sentiasa berada dalam keadaan optimum menjelang kejohanan.

Menurutnya, beliau lebih memilih makanan tinggi protein seperti ayam, telur dan sayur-sayuran selain mengurangkan makanan berminyak, makanan segera serta minuman manis.

“Saya memang jaga makan sebab pemakanan memainkan peranan penting terhadap prestasi atlet. Biasanya saya akan makan makanan yang bersih dan seimbang supaya badan lebih ringan, cepat pulih dan bertenaga semasa latihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Riduan turut berkongsi bahawa waktu rehat dan tidur yang mencukupi juga memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang atlet.

“Saya cuba tidur awal sekitar jam 10 atau 11 malam supaya badan dapat rehat yang cukup. Kalau tidur tak cukup, prestasi latihan dan fokus dalam kelas pun boleh terganggu,” katanya.

Hasil disiplin serta kerja keras yang ditunjukkan, Riduan kini bakal membawa cabaran Malaysia ke kejohanan Asia University Games bagi kategori tanding Kelas D (60-65 kilogram).

Beliau turut menjadikan Kejohanan Terbuka Tangkak yang bakal berlangsung Jun ini sebagai medan persiapan terakhir bersama pasukan Kelab Pencak Silat UKM sebelum menghadapi kejohanan antarabangsa tersebut.

“Kejohanan Tangkak nanti penting untuk nilai prestasi semasa dan perbaiki kelemahan sebelum saya turun mewakili Malaysia. Saya harap dapat berikan yang terbaik demi negara, keluarga dan UKM,” katanya penuh semangat.

Semangat juang, disiplin serta pengorbanan yang ditunjukkan Riduan jelas membuktikan bahawa atlet universiti bukan sahaja mampu menyerlah di arena sukan, malah turut cemerlang dalam akademik sehingga menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus mengejar kejayaan dalam pelbagai bidang.

Riduan Nasir Kongsi Rahsia Kekal Cemerlang Sebagai Atlet dan Pelajar UKM Read More »

image

KL Night Runners Satukan Komuniti Larian Malam di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Bermula sebagai usaha peribadi untuk menurunkan berat badan, KL Night Runners (KLNR) kini berkembang menjadi sebuah komuniti larian malam yang menghimpunkan ratusan peserta setiap minggu di Kuala Lumpur. Komuniti tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk mengamalkan gaya hidup sihat, malah menyediakan tunjuk ajar, bimbingan dan sokongan kepada pelari baharu yang ingin melangkah ke dunia larian.

KL Night Runners Satukan Komuniti Larian Malam di Kuala Lumpur Read More »

image

Pasukan Rugby SJI Sasar Piala SSR Challenge Cup

KUALA LUMPUR, 6 Apr – Pasukan ragbi SMK St John (SJI Rugby) bersedia mencipta impak dalam penampilan sulung mereka di pentas Super School Rugby (SSR) Challenge Cup, meskipun berdepan pelbagai kekangan dalam persiapan. Dikenali sebagai antara pasukan yang pernah mencipta nama dalam kancah ragbi Kuala Lumpur, SJI kini kembali dengan misi untuk membuktikan mereka masih relevan dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi. 

Menurut ketua jurulatih, Azim Azri, persiapan pasukan kali ini agak mencabar berikutan penyertaan yang diterima pada saat akhir. “Persiapan kami menjelang SSR ini agak sulit kerana penyertaan dimaklumkan agak ‘last minute call’. Oleh itu, pasukan SJI hilang beberapa pemain utama yang dipilih untuk bermain bersama pasukan SSRA,” katanya. Situasi ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kestabilan pasukan, khususnya dari segi kombinasi pemain dan keserasian di atas padang.

Pasukan Rugby SJI Sasar Piala SSR Challenge Cup Read More »