Oleh: Muhamad Nur Hakim & Nurain Batrisyia

BANGI, 29 MEI – Pasukan Pencak Silat Universiti Kebangsaan Malaysia meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada Kejohanan Silat Peringkat Kebangsaan di Tangkak, Johor yang akan berlangsung dari 2 hingga 6 Jun ini.
Sasaran tersebut dilihat realistik berdasarkan persiapan rapi yang telah dijalankan oleh pasukan sepanjang lima bulan lalu menerusi program latihan berfasa yang menekankan aspek kecergasan fizikal, teknik, taktikal serta kekuatan mental atlet.
Ketua jurulatih pasukan, Azman Bin Mat Zain berkata, pihaknya yakin atlet-atlet UKM berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi kejohanan tersebut selepas menjalani latihan intensif secara konsisten sejak awal tahun.
Menurut beliau, persiapan pasukan bukan sahaja tertumpu kepada latihan gelanggang semata-mata, malah melibatkan pembangunan menyeluruh atlet bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh negara.
“Alhamdulillah, persiapan pasukan berjalan seperti yang dirancang. Kami telah menjalani latihan selama lima bulan secara berterusan dan atlet menunjukkan komitmen yang sangat baik sepanjang tempoh tersebut. Berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan, saya yakin mereka mampu memberikan saingan yang sengit kepada mana-mana pasukan,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan terakhir pasukan di UKM.
Beliau menjelaskan bahawa jadual latihan yang dilaksanakan merangkumi tiga sesi utama setiap hari iaitu sesi pagi, petang dan malam bagi memastikan setiap aspek prestasi atlet dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.
Menurut Azman, sesi pagi lebih tertumpu kepada pembangunan daya tahan kardiovaskular dan kecergasan umum melalui larian, latihan stamina serta aktiviti kecergasan berintensiti tinggi.
“Sesi pagi biasanya kami fokus kepada kecergasan asas kerana stamina merupakan komponen yang sangat penting dalam silat. Atlet perlu mempunyai tahap ketahanan yang tinggi untuk mengekalkan prestasi sepanjang perlawanan,” jelasnya.
Beliau berkata, sesi petang pula memberi tumpuan kepada pengukuhan teknik asas, kombinasi serangan dan pertahanan serta penguasaan pergerakan yang diperlukan dalam pertandingan sebenar.
“Sesi petang lebih kepada aspek teknikal. Atlet akan mengulang teknik-teknik tertentu secara konsisten supaya setiap pergerakan menjadi lebih kemas, tepat dan berkesan ketika bertanding,” katanya.
Tambah beliau, sesi malam digunakan untuk latihan taktikal, simulasi perlawanan serta analisis prestasi bagi membantu atlet memahami strategi lawan dan meningkatkan keyakinan diri menjelang kejohanan.
“Pada waktu malam kami banyak melakukan simulasi pertandingan sebenar. Atlet perlu membiasakan diri dengan tekanan pertandingan supaya mereka tidak mudah gugup apabila berada di gelanggang nanti,” ujarnya.
Mengulas mengenai sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan, Azman menyifatkan sasaran tersebut bukan sesuatu yang mustahil dicapai sekiranya semua atlet berjaya menampilkan prestasi terbaik mereka sepanjang kejohanan berlangsung.
“Sasaran tiga emas ini dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet dan keputusan-keputusan yang mereka capai dalam beberapa kejohanan sebelum ini. Saya percaya mereka mempunyai kemampuan untuk mencapainya jika dapat mengekalkan fokus dan disiplin yang sama seperti ketika latihan,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kejohanan Silat Peringkat Kebangsaan di Tangkak bukan sekadar pertandingan biasa, malah menjadi platform penting bagi menilai tahap kesiapsiagaan pasukan sebelum menghadapi kejohanan yang lebih besar pada masa akan datang.
Beliau menjelaskan bahawa kejohanan tersebut akan dijadikan medan persiapan terakhir menjelang penyertaan pasukan UKM dalam SUKIPT yang dijadualkan berlangsung di Universiti Malaya pada bulan Ogos nanti.
“Kejohanan ini sangat penting kerana ia merupakan salah satu penanda aras kepada tahap sebenar pasukan sebelum SUKIPT. Melalui pertandingan ini, kami boleh melihat kekuatan dan kelemahan yang masih perlu diperbaiki sebelum turun ke kejohanan yang lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua atlet supaya tidak mengabaikan tanggungjawab akademik walaupun sedang memberi tumpuan penuh kepada latihan dan pertandingan.
Menurut Azman, kejayaan sebenar atlet universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian dalam sukan, tetapi juga kemampuan mereka untuk mengekalkan prestasi akademik yang baik.
“Saya sentiasa ingatkan atlet supaya menyiapkan tugasan dan kerja kursus yang diberikan oleh pensyarah sebelum berangkat ke kejohanan. Mereka datang ke universiti sebagai pelajar terlebih dahulu sebelum menjadi atlet. Sebab itu saya mahu mereka berjaya dalam kedua-dua bidang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keseimbangan antara akademik dan sukan perlu diberikan perhatian serius kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan atlet.
“Kalau kita pandai mengurus masa, sebenarnya tidak mustahil untuk berjaya dalam pelajaran dan sukan secara serentak. Ramai atlet UKM sebelum ini membuktikan perkara tersebut dan saya berharap generasi sekarang dapat meneruskan kecemerlangan itu,” tambahnya.
Sementara itu, ketua pasukan silat UKM, Nur Qistina Binti Nurul Fadzli yang akan beraksi dalam kategori A puteri (45 hingga 50 kilogram) turut menyuarakan keyakinan bahawa pasukan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan oleh barisan kejurulatihan.
Menurut beliau, semangat kekeluargaan yang wujud dalam pasukan menjadi faktor utama yang membantu atlet menghadapi tekanan latihan dan pertandingan.
“Saya yakin pasukan kami mampu memberikan keputusan yang baik di Tangkak. Semua atlet telah bekerja keras sepanjang lima bulan ini dan kami datang dengan satu matlamat yang sama iaitu membawa pulang pingat untuk UKM,” katanya.
Beliau berkata, setiap atlet perlu mempunyai disiplin tinggi serta sentiasa menjaga aspek pemakanan, rehat dan kesihatan bagi memastikan prestasi berada pada tahap optimum sepanjang kejohanan.
“Antara perkara yang saya selalu tekankan kepada rakan-rakan pasukan ialah menjaga tidur, pemakanan dan fokus mental. Kadang-kadang latihan yang kuat sahaja tidak mencukupi jika kita abaikan proses pemulihan badan,” ujarnya.
Tambah Qistina, komunikasi yang baik antara atlet dan jurulatih juga memainkan peranan penting dalam memastikan setiap masalah atau kelemahan dapat diperbaiki lebih awal.
“Kalau ada kelemahan atau kecederaan kecil, selalunya kami akan maklumkan kepada jurulatih dengan kadar segera supaya tindakan yang sesuai boleh diambil kerana kami harus memastikan yang tubuh badan kami sedia untuk bertanding tanpa kecederaan serius,” katanya.
Beliau turut berharap agar semua atlet dapat memberikan persembahan terbaik dan menjadikan kejohanan tersebut sebagai platform untuk meningkatkan pengalaman serta keyakinan diri sebelum menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.
Dengan persiapan yang telah dilaksanakan selama lima bulan, latihan intensif tiga sesi sehari serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh atlet dan barisan kejurulatihan, pasukan silat UKM kini bersedia untuk menggalas cabaran di Tangkak. Sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan bukan sahaja menjadi simbol keyakinan pasukan terhadap kemampuan atlet, malah mencerminkan kesungguhan seluruh warga pasukan dalam mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan sebelum meneruskan misi yang lebih besar di SUKIPT 2026.


